Site icon MuslimahHTM News

Doa Agar Ditunjukkan Kebenaran

[Doa Pilihan] Doa Agar Ditunjukkan Kebenaran

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقَّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ وَلاَ تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلُّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ إِمَامًا

“Ya Allah, tunjukkanlah yang kebenaran itu sebagai kebenaran, dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutinya (memperjuangkannya), dan tunjukkanlah yang batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya serta menghapuskannya. Jangan jadikan yang benar dan batil itu samar-samar bagi kami, yang akan menyebabkan kami sesat. Dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.” (HR Bukhari & Muslim)

==

Umat Islam hendaklah berpegang teguh dengan ajaran Islam kerana ia adalah satu-satunya jalan lurus yang telah ditunjukkan oleh Allah SWT melalui Rasulullah SAW. Setiap pemimpin dan yang dipimpin mestilah sentiasa menggunakan al-Quran dan as-Sunnah sebagai pemutus atas semua pertikaian dan perselisihan. Kerana wajib bagi manusia untuk menerapkan hukum-hukum Allah.

Islam melarang keras mana-mana Muslim yang berdiam diri, apatah lagi redha atau bersama-sama dengan kemaksiatan dan kejahatan pemerintah.

Sabda baginda SAW, “Siapa sahaja yang melihat seorang penguasa yang zalim, menghalalkan yang diharamkan oleh Allah, melanggar janji Allah, menyimpang dari Sunnah Rasulullah SAW dan memerintah hamba Allah (sesama manusia) dengan dosa dan permusuhan, kemudian dia tidak mengubahnya, baik dengan perbuatan mahupun ucapan, maka menjadi hak Allah untuk memasukkannya ke tempat yang sama” (bersama penguasa tersebut) [HR al-Thabari]

Ketika kemungkaran itu muncul dari pemimpin atau penguasa, maka rakyat wajib mengingkari penguasa tersebut sekaligus menasihati dan membetulkan dirinya. Sudah tentu hal itu tidak dilakukan berdasarkan suka dan tidak suka, tetapi berdasarkan tolok ukur bahawa itu merupakan kemungkaran atau menyalahi hukum-hukum syariah.

Nasihat atau kritikan (muhasabah) kepada penguasa itu juga bukan kerana atau demi kepentingan dunia, melainkan kerana kepentingan akhirat, iaitu melaksanakan kewajipan dari Allah SWT.

Walaupun demikian, muhasabah kepada penguasa itu akan memberikan kebaikan di dunia. Kerana dengan itu, masyarakat boleh terhindar dari keburukan akibat kemungkaran penguasanya.

Ketika pemimpin atau penguasa itu melakukan kemungkaran, ertinya dia melakukan kezaliman. Dalam hal yang demikian, haram menyokong kezaliman itu. Jangankan menyokong, bahkan cenderung kepada pelaku kezaliman sudah haram dan akibatnya sangat parah

Allah SWT berfirman:

وَلاَ تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لاَ تُنصَرُونَ

“Janganlah kalian cenderung kepada orang-orang zalim yang menyebabkan kalian disentuh api neraka. Sesekali kalian tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah. Kemudian kalian tidak akan diberi pertolongan.” [TMQ Hud (11): 113].

Pemimpin yang mempunyai kesedaran seperti itu tentu akan mendorong rakyatnya untuk bersikap kritis kepada dirinya. Dia akan mendorong rakyat untuk membetulkan dirinya ketika menyimpang dari syariat. Dia pun akan mendorong rakyat untuk mentaati dirinya hanya dalam kemakrufan, tidak dalam perkara yang sebaliknya.

Exit mobile version