Kisah Ummu Hisyam binti Harisah: Bahagia Dalam Dakapan Islam
Sebelum membicarakan lebih lanjut kisah perjalanan hidup Ummu Hisyam, mari kita melihat sejenak keluarga yang terdiri daripada orang-orang yang mulia ini.
Ibu Ummu Hisyam ialah Ummu Khalid binti Khalid bin Ya’isy Al-Anshariyah, dari suku Malik. Beliau masuk Islam dan telah berbaiat kepada Nabi SAW. Beliau antara wanita mulia yang sukar dicari tandingannya. Beliau bernikah dengan Harisah bin Nu’man dari suku Najar, seorang duda dan mempunyai dua orang cahaya mata iaitu Ummu Kalsum dan Amatullah. Pernikahannya dengan Ummu Khalid dikurniakan lima orang cahaya mata yang diberi nama Abdullah, Abdurrahman, Saudah, Umrah dan Ummu Hisyam.
Ummu Hisyam dan saudara-saudara perempuannya turut berbaiat kepada Nabi SAW. Secara keseluruhannya, anggota keluarga mereka telah memeluk Islam. Ayah Ummu Hisyam ialah Harisah bin Nu’man, seorang tokoh sahabat yang tiada tandingan yang telah memeluk Islam di masa awal. Dengan ikhlas, beliau telah menawarkan tempat tinggalnya untuk didiami oleh Rasulullah SAW. Pada ketika itu, Harisah memiliki beberapa buah rumah yang dekat dengan tempat tinggal Nabi SAW. Setiap kali ahli keluarga Rasulullah SAW bertambah, maka Harisah akan memberikan satu demi satu rumahnya.
Sejarawan Yakut Al-Hamawi menyatakan tentang kemurahan Harisah sehingga beliau sanggup memberikan rumah-rumahnya kepada Nabi SAW, “Orang yang pertama kali memberikan tanah dan rumahnya kepada Nabi SAW adalah Harisah bin Nu’man.”
Rasulullah SAW Pernah Mendengar Suara Harisah Di Syurga
Aisyah RA meceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Aku tidur dan bermimpi berada di Syurga. Aku mendengar suara seorang lelaki membaca al-Quran. Aku bertanya, “Siapakah orang itu?” Para malaikat menjawab, “Dia ialah Harisah bin Nu’man.” Lalu Rasulullah SAW berkata kepada Aisyah, “Itulah pahala kebajikan, itulah pahala kebajikan.”
Harisah bin Nu’man RA juga seorang yang paling berbakti kepada ibunya. Aisyah RA berkata, “Ada dua orang sahabat nabi yang merupakan orang yang paling berbakti kepada ibunya, Uthman bin Affan dan Harisah bin Nu’man. Uthman berkata, “Aku tidak dapat mengingat wajah ibuku sejak memeluk Islam.” Sedangkan Harisah selalu menyuapi ibunya ketika makan dan selalu mentaati semua perintah ibunya. Jika beliau tidak memahami perintah ibunya, beliau bertanya kepada orang yang ketika itu ada bersama mereka, tanpa pengetahuan ibunya.”
Malaikat Jibril Menjawab Salam Yang Diucapkan Oleh Harisah RA
Harisah bin Nu’man menceritakan, “Aku lalu berdekatan Rasulullah SAW. Ketika itu malaikat Jibril sedang duduk bersama Rasulullah. Aku mengucapkan salam kepada Baginda, kemudian aku berlalu. Ketika aku kembali dan Rasulullah sudah beralih dari tempat duduknya tadi, Baginda berkata, “Apa kamu tahu siapa yang bersamaku tadi?” Aku menjawab, “Ya” Baginda bersabda, “Dia itu Jibril. Dan dia telah menjawab salammu.”
Allah SWT Menjamin Rezeki Harisah Di Syurga
Harisah bin Nu’man berkata, “Sepanjang usiaku, aku melihat Malaikat Jibril dua kali. Pertama, pada peristiwa Shauran ketika Rasulullah SAW pergi menuju Bani Quraizah, Malaikat Jibril menemui kami dengan menggunakan tubuh Dikhyah. Kedua, ketika mengenal pasti yang terkorban pada perang Hunain. Aku lalu mendekatinya ketika Jibril sedang berbicara dengan Rasulullah SAW. Aku tidak mengucap salam. Jibril kemudian bertanya kepada Rasulullah, “Siapa orang ini?” Rasulullah menjawab, “Harisah bin Nu’man.” Jibril berkata, “Dia termasuk seratus mujahid yang kukuh pendiriannya ketika perang Hunain. Allah menjamin rezeki mereka di Syurga seandainya dia mengucapkan salam, kami akan menjawab salamnya.”
Dalam dakapan keluarga yang penuh berkah inilah, Ummu Hisyam binti Harisah hidup dan membesar menjadi orang yang mulia. Satu demi satu firman Allah SWT dan Hadis Nabi SAW beliau hayati dengan sepenuh jiwa dan raga.
Seterusnya, marilah kita lihat bagaimana keluarga ini memeluk Islam dan bagaimana Allah SWT meninggikan darjat mereka di dunia dan akhirat.
Keimanan Masuk Ke Rumah Harisah bin Nu’man RA
Ketika itu musim haji, Rasulullah SAW bertemu dengan beberapa orang dari suku Khazraj di Madinah. Rasulullah SAW kemudian menawarkan ajaran Islam kepada mereka, walaupun Rasulullah SAW telah mengetahui bahawa mereka berasal dari kaum Yahudi hingga sudah tidak asing lagi bagi mereka tentang Allah SWT, para Rasul yang diutuskan dan kitab suci di antara mereka. Oleh itu, ketika mereka ditawari Islam dan diminta untuk mendengarkan ayat-ayat al-Quran, maka mereka terus bersedia menerima dan memeluk Islam. Bahkan, mereka berjanji akan menawarkan Islam kepada para penduduk Madinah.
Kemudian mereka pulang ke Madinah dan mengotakan janji mereka dengan menyebarkan Islam kepada suku Aus dan Khazraj sehingga Islam menyebar di seluruh pelusuk Madinah. Pada tahun berikutnya dua belas orang dari mereka datang ke Mekah dan berbaiat kepada Rasulullah SAW di bukit Aqabah. Kemudian mereka pulang ke Madinah, dan Rasulullah SAW mengutus seorang sahabat pilihan iaitu Mus’ab bin Umair untuk membacakan al-Quran dan mengajarkan Islam kepada penduduk Madinah. Mus’ab RA melakukan tugasan ini dengan baik. Sikapnya yang bijak sehingga dapat melembutkan hati orang-orang Aus dan Khazraj, sehingga dakwah Islam sampai ke telinga Harisah bin Nu’man, dan beliau pun segera menemui Mus’ab dan menyatakan keislamannya. Oleh sebab beliau sangat berbakti kepada ibunya, maka beliau sangat gembira ketika ibunya (Ja’dah binti Ubaid) turut memeluk Islam. Dan setelah itu dituruti dengan seluruh ahli keluarga beliau yang turut sama memeluk Islam. Begitulah kisah keislaman Ummu Hisyam binti Harisah RA berserta ahli keluarga beliau. Dalam dakapan Islam, mereka menikmati kebahagian yang belum pernah mereka nikmati sebelumnya.
Sumber : https://www.muslimahnews.com

