Bagi orang berilmu, susah untuk menentang Khilafah. Kerana perkara itu wujud di semua sisi, dari fakta sejarah, fikih sehingga nubuwwah (nubuat) atau janji-Nya. Orang-orang yang berilmu itu tidak akan mungkin menentang ketiga-tiganya. Bagi mereka yang masih dalam penafian, mereka biasanya akan menggunakan ayat “jangan terburu-buru”, “umat belum bersedia” atau “jangan terlalu memaksa” dan banyak lagi alasan-alasan lain.
Apa yang dilakukan oleh para pengemban dakwah saat ini bukanlah sesuatu yang “terburu-buru”. Mereka berdakwah secara perlahan bermula dengan akidah, syariat sehinggalah ke syakhsiyah. Semua itu dalam rangka untuk mempersiapkan umat. Tidak ada pemaksaan sama sekali. Bagaimana boleh disebut memaksa? Sedangkan yang dilakukan hanya menyampaikan secara lisan?. Tentang pesanan supaya “jangan terburu-buru”, sebenarnya kita sudah terlalu lambat. Setelah Rasul SAW wafat, para Sahabat memerlukan waktu tiga hari saja untuk memilih Abu Bakar sebagai Khalifah (pengganti) Rasulullah SAW memimpin Daulah Islam. Fakta ini menjadi ijmak Sahabat tentang waktu maksimum ketiadaan Khalifah iaitu 3 hari 3 malam. Perlu ditekankan bahawa ijmak Sahabat juga satu dari empat sumber hukum dalam Islam.
Sedangkan kita pada hari ini sudah menghampiri 100 tahun ketiadaan Khalifah. Tentang cara penegakan, tentu saja perlu mengikuti Rasulullah SAW. Dalam sirah, sangat jelas diceritakan tentang bagaimana cara perjuangan Baginda sebelum kewujudan Daulah iaitu ketika fasa Mekah.
Selama di Mekah, Rasul SAW tidak pernah membentuk pasukan ketenteraan ataupun mengangkat senjata. Tentu saja cara itu perlu diikuti oleh para pengemban dakwah. Jika kita amati, apa yang dilalui oleh para pengemban dakwah itu sangat mirip dengan pengalaman para Sahabat ketika di fasa Mekah. Pada awalnya mereka diperkecilkan, dikatakan sebagai berkhayal. Kemudian mereka difitnah sebagai penyihir (jika sekarang disebut sebagai radikal). Seterusnya diusir, diboikot dan sebagainya. Namun, para Sahabat dan para pengemban dakwah yang sekarang menjalani semua itu dengan penuh kesabaran, sehingga Allah menunaikan janji-Nya. Dahulu, sebahagian besar Quraisy yang menentang dakwah Rasulullah akhirnya menjadi pengikut Islam setelah fathul Mekah. Diharapkan itulah yang terjadi kepada para penentang dakwah ini kelak.

