Site icon MuslimahHTM News

Harim bin Hayyan, Penjaga Kuda Umar

Harim bin Hayyan al-Abdi al-Azdi al-Bashri gemar beribadah dan zuhud. Dia digelar Harim kerana hidup dalam kurun waktu yang cukup lama sehingga semua giginya tanggal.

Suatu malam, Harim keluar dan menyeru dengan suara yang keras, “Saya hairan dengan syurga. Bagaimana orang yang mencarinya dapat tertidur lena? Saya hairan dengan neraka. Bagaimana orang yang menghindarinya dapat tidur lena?”

Kemudian dia membaca ayat,

“Maka, adakah penduduk kota-kota itu merasa selamat dari seksaan Kami yang menimpa mereka pada waktu malam ketika mereka sedang tidur? Atau adakah penduduk kota-kota itu merasa selamat dari seksaan Kami yang menimpa mereka ketika matahari setengah terbit semasa mereka sedang bermain? Maka apakah mereka merasa selamat dari azab Allah (yang tidak dijangka)? Tiada yang merasa selamat dari azab Allah kecuali orang-orang yang rugi.” [TMQ Al-A’raf (7) : 97—99]

Dia mengulangi panggilannya kepada manusia sehingga mereka bergegas keluar ke masjid. Di antara mereka ada yang mendirikan solatnya di dalam rumah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Begitulah salah satu wasiat dari salah seorang ahli zuhud, Harim bin Hayyan. Dia selalu memberi wasiat dengan al-Quran dan berbicara kepada banyak orang dengan al-Quran.

Warak dan Zuhud

Suatu hari, dia pernah memberi gambaran tentang “alim bertakwa” dan “alim yang rosak”. Ramai orang yang merasa pelik dengan istilah “alim yang rosak”.

Dia membezakan jawapan kepada mereka bahawa “alim yang rosak” adalah orang yang berbicara dengan ilmu, namun amal perbuatannya fasik dan rosak kerana tidak bertindak dengan ilmunya. Dia (alim yang rosak tadi) tidak menjadi contoh dengan ilmunya dan menjadi lebih berbahaya bagi umat manusia. Sebab, dia mengaburkan kebenaran dari mereka sehingga sampai kepada kesesatan.

Pelbagai riwayat mengenai ciri-cirinya menyebutkan, dia adalah orang yang tidur sebentar dalam kegelisahan, orang yang terjaga dalam kehausan, menjalani kehidupan dengan mencintai Allah dan sangat merindukan pertemuan dengan-Nya.

Harim bin Hayyan mendapat hadis dari Amirul mukminin Umar bin Khatthab dan Uthman bin Affan. Dia bekerja sebagai penjaga kuda Umar dan juga kuda-kuda tentera Islam.

Dia mendapat penghargaan sendiri dalam kebenaran riwayat hadis dan ilmunya. Dia dipercayai oleh para khalifah Rasulullah saw.. Mereka memberi tugas kepadanya untuk memimpin pasukan dalam penaklukan Parsi. Ini terjadi pada masa pemerintahan Khalifah Umar dan Uthman.

Ini adalah gambaran kecil tentang Harim bin Hayyan. Dia mempunyai ramai teman dan sahabat. Mereka digambarkan oleh para perawi sebagai orang yang warak (selalu menjaga diri dari dosa dan perkara syubhat). Di antara mereka adalah Hamamah, seorang sahabat Rasulullah saw.

Suatu malam, Harim pergi mengunjungi Hamamah. Harim menginap di rumah Hamamah pada malam itu. Malam itu, Hamamah menghabiskan malamnya dengan menangis sehingga subuh.

Harim tidak berbicara sepatah pun dengannya sehingga matahari terbit. Ketika itu dia menyambut pagi dengan bertanya kepada temannya, “Wahai Hamamah, apa yang membuatmu menangis semalaman?”

Hamamah menjawab, “Saya ingat pada suatu malam yang paginya semua kubur bertaburan sehingga mengeluarkan sesiapa saja yang ada di dalamnya. Bintang-bintang di langit bertebaran. Inilah yang membuatku menangis, wahai temanku.”

Setelah beberapa saat berlalu, kedua-dua sahabat itu keluar menuju ke pasar Ar-Raihan. Dalam perjalanan, kedua-dua sahabat itu meminta kepada Allah agar diberikan syurga. Kedua-duanya terus memperbanyakkan doa di sepanjang perjalanan.

Dalam perjalanan, mereka melepasi beberapa tukang besi yang sedang mencairkan besi dalam kobaran api. Masing-masing mengulangi doa, “Ya Allah, lindungilah kami dari neraka. Ya Allah, lindungilah kami dari neraka.”

Lalu, kedua-duanya berpisah menuju ke rumah masing-masing, setelah merenung banyak perkara yang mereka jumpai dalam perjalanan.

Dari sahabatnya ini, Harim bin Hayyan belajar tentang bagaimana bersikap qanaah (menerima) dan bagaimana zuhud (menghindarkan diri) dari dunia dan seisinya.

Matanya selalu mengarahkan kepada kehidupan yang menetap, negeri akhirat dan hari kebangkitan, sehingga mampu meninggalkan setiap kekuasaan di muka bumi kecuali apa yang ada di jalan Allah.

Wasiat Harim

Harim bin Hayyan sering menjalankan tugas memimpin pasukan Islam dan misi-misi pasukan untuk menakluki pelbagai wilayah.

Uthman bin Ash pernah menghantarnya menuju ke sebuah perkampungan yang diberi nama Bajrah atau perkampungan para guru. Para penduduknya adalah pembangkang yang menentang umat Islam. Masalahnya menjadi sulit kerana tentangan sengit mereka.

Namun, Harim tetap dalam tekad, kecemerlangannya dalam berfikir, dan pembelaan terhadap agama, akhirnya beliau berjaya menaklukkan perkampungan tersebut pada 26 H dan membuat mereka berlutut membayar jizyah (penghormatan).

Dia dapat menegakkan keadilan sehingga menjadikan mereka mencintai Islam dan masuk ke dalamnya tanpa rasa takut dan terancam.

Harim terkenal dengan etika kerja dan sikap tegasnya dalam pelbagai peperangan. Tidak hairan apabila Amirul Mukminin mengukuhkannya dalam pasukan pelbagai misi.

Dia menjadi ikon bagi seorang panglima yang berjaya dan kuat, yang dapat mengatur segala perkara berkaitan dengan urusan peperangan secara bijaksana dan nasihat yang baik. Hal ini dia selalu mengulanginya pada setiap masa dan kesempatan.

Ketika Harim sakit, banyak orang datang mengunjunginya, memberikan hiburan atas penyakitnya. Mereka meminta agar dia memberikan wasiat pada mereka setelah menjalani umur yang panjang sebagai seorang yang zuhud, teladan, tsiqah, dan panglima yang teguh dan berjaya.

Salah seorang dari mereka berkata, “Wahai Harim, berikanlah wasiat kepada kami.”

Dia menjawab, “Saya tidak tahu apa yang harus saya wasiatkan. Tapi juallah baju perangku ini dan bayarlah hutangku dengan hasil jualan itu. Jika tidak cukup membayar hutang, maka juallah hambaku juga.”

Kemudian dia terdiam sebentar. Kemudian mereka mengulangi permintaannya, “Berilah wasiat kepada kami, wahai Harim.”

Dia menjawab, “Aku berwasiat kepada kalian dengan ayat terakhir dari surah An-Nahl,

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.

Dan jika kamu memberikan balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar.

Bersabarlah (wahai Muhammad) dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah dan janganlah kamu bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa yang mereka tipu dayakan. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan.” [TMQ An-Nahl (16): 125—128].

Begitulah gambaran sifat Harim. Tokoh yang tegas dalam kelembutan, keras dalam kasih sayang, panglima yang empati bersama pasukannya. Meskipun tegas, dia tetap mempunyai etika dan kesopanan. Dia tidak suka ada kata-kata yang kurang enak pada saudaranya.

Apa pun tahap kekuasaan dan kekuatannya, baginya, orang seperti ini lemah di hadapan undang-undang. Dia juga mengukuhkan dirinya sebagai musuh bagi kezaliman dan para pelakunya.

Semoga keteladanan warak dan zuhudnya Harim, memberi inspirasi bagi kita bagaimana memandang dunia dan akhirat sebagai ladang untuk beramal soleh.

Exit mobile version