Penulis: Najmah Saiidah
Anak-anak yang soleh dan solehah tidak akan dilahirkan begitu sahaja, mereka memerlukan proses pendidikan dan pembinaan yang baik. Di sinilah peranan penting ayah dan ibu untuk bekerjasama, baik dalam mendidik secara langsung, memberi contoh nyata, mahupun memudahkan agar anak-anak mendapatkan pendidikan yang tepat.
Anak yang dididik dengan ajaran Islam akan tumbuh dan berkembang menjadi sosok yang mempunyai iman yang kukuh, taat kepada Penciptanya, berbuat baik dan berbakti kepada kedua ibu bapanya, serta saling menyayangi.
Hal ini dapat direalisasikan dengan baik jika hak anak-anak dipenuhi, lebih-lebih lagi jika adab ibu bapa terhadap anak dipenuhi, maka hasilnya akan semakin baik.
Jadi, bukan hanya anak-anak yang mempunyai kewajipan untuk berbakti kepada ibu bapa, akan tetapi ibu bapa juga mempunyai tanggungjawab dan kewajipan terhadap anak mereka.
Begitu juga dengan adab, bukan sahaja anak-anak yang harus memerhatikan adab mereka kepada ibu bapa, tetapi sebaliknya ibu bapa juga demikian sehingga ibu bapa tidak melakukan sewenang-wenangnya terhadap anak-anak mereka.
Cuma kadang-kadang perkara ini dilupakan, malah dianggap remeh oleh ibu bapa. Padahal hakikatnya, Rasulullah saw telah memberikan contoh terbaik untuk kita semua dalam hal ini.
Kemudian, bagaimana Islam memperincikan adab ibu bapa terhadap anak, sehingga proses pertumbuhan dan perkembangan anak dapat berlangsung dengan baik?
Adab Ibu Bapa terhadap Anak-anak
Imam Al-Ghazali berpendapat dalam kitabnya, Al-Adab fi Al-Din, bahawa sekurang-kurangnya terdapat lima perkara adab ibu bapa terhadap anak-anak,
“Adab ibu bapa terhadap anak iaitu: membantu mereka berbuat baik kepada ibu bapa; tidak memaksa mereka melakukan kebaikan melebihi batas kemampuan mereka; tidak memaksa kehendak mereka ketika dalam kesusahan; tidak menghalang mereka untuk taat kepada Allah SWT.; tidak menjadikan mereka sengsara kerana pendidikan yang salah.”
Dalam banyak hadis, Rasulullah saw telah memberikan teladan kepada kita, begitu juga banyak teladan dari para sahabat tentang bagaimana adab ibu bapa terhadap anak-anak, mari kita perincikan.
- Ketika anak lahir, ibu bapa mendoakan, mengazankan, dan mengiqamahkan.
Semasa anak lahir perkara pertama yang dilakukan adalah mendoakannya, “Barakallah fii al mauhubi laka, wa syakarta al-wahiba, wa balagha asyuddahu, wa ruziqta birrahu.” (Semoga Allah memberkati anak yang dianugerahkan kepadamu, semoga kamu dapat mensyukuri Sang Pemberi, semoga cepat besar dan dewasa dan engkau mendapat baktinya si anak).
Setelah itu, mengazankan di telinga kanan dan iqamah di telinga kiri anak. Dari Hasan bin Ali, Rasulullah saw bersabda, “Barang siapa yang melahirkan seorang anak, lalu mengumandangkan azan pada telinganya, maka dia tidak akan dicelakakan oleh Ummu Shibyan.” Dengan mendengarkan azan, diharapkan dapat menanamkan benih keimanan kepada anak sejak dari awal.
Seterusnya, mentahnik bayi iaitu mengunyah kurma sehingga lumat, kemudian gosok dengan lembut pada lelangit mulut bayi.
Dari Abi Musa, “Anakku telah lahir lalu aku membawanya kepada Rasulullah saw. Kemudian beliau menamakannya Ibrahim dan mentahniknya dengan sebiji kurma, lalu mendoakan agar mendapat keberkatan, kemudian mengembalikannya kepadaku.” (HR Bukhari)
- Memberi nama yang baik.
Nama adalah doa untuk anak. Jadi, memberi nama yang baik bermaksud mendoakan anak mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Nama yang baik adalah cara pertama ibu bapa melakukan kewajipannya untuk masa depan buah hati mereka. Abu Darda meriwayatkan, Nabi Muhammad saw bersabda,
“Sesungguhnya kalian akan dipanggil pada hari kiamat dengan nama-nama kalian dan nama-nama ayah kalian. Oleh itu, perbaiklah nama kalian.” (HR Ahmad, Abu Daud, Ibnu Hibban, dan ad-Darimi)
Imam Abu Laits menceritakan kisah seseorang yang mengadu kepada Saidina Umar bin Khattab, dia berkata, “Anakku ini derhaka kepadaku.” Maka Umar berkata kepada anak lelaki itu, “Apakah kamu tidak takut kepada Allah? Engkau telah berbuat derhaka terhadap ayahmu, engkau tahu kewajipan anak untuk ibu bapanya (begini dan begitu).” Lalu anak itu bertanya, “Ya Amirul mukminin, apakah anak itu tidak berhak terhadap ayahnya?” Jawab Umar, “Ada hak iaitu harus memilih ibu yang mulia, jangan sampai tercela kerana ibunya, mesti memberi nama yang baik dan mengajarkan kitabullah.”
Maka anak itu berkata, “Demi Allah, dia tidak memilih untukku ibuku, dia membeli hamba wanita dengan harga 400 dirham dan itulah ibuku. Dia tidak memberi nama yang baik untukku, aku dinamakan “kelawar jantan” dan aku tidak diajar kitab Allah walaupun satu ayat.” Maka Umar menoleh kepada ayahnya dan berkata, “Engkau telah derhaka kepada anakmu sebelum dia derhaka kepadamu. Pergilah engkau dari sini.”
- Bersikap lemah lembut dan tidak kasar.
Dalam sebuah hadis diriwayatkan, “Suatu hari Rasulullah saw dikunjungi oleh seorang ibu (Sa’idah binti Jazi) bersama anaknya yang berusia satu setengah tahun. Lalu dipangku oleh Rasulullah, kemudian anaknya terkencing di pangkuan baginda. Kerana segan anaknya telah mencemari Rasulullah, maka dia dengan agak kasar menarik anaknya dari pangkuan baginda. Dengan segera Rasulullah memberi nasihat, “Dengan satu gayung bajuku yang najis kerana kencing anakmu dapat dibersihkan, tetapi luka di hati anakmu kerana ditarik oleh kamu dari pangkuanku tidak dapat kamu ubati dengan bergayung-gayung air.”
“Suatu hari Rasulullah saw sedang memimpin solat berjemaah dengan para sahabat, salah satu sujudnya cukup lama, sehingga mengundang kehairanan para sahabat. Setelah selesai solat, seorang sahabat bertanya, “Mengapa begitu lama anda bersujud?” Jawab baginda, “Di atas punggungku cucuku sedang bermain. Kalau aku tegakkan punggungku maka mereka akan terjatuh. Kerana itu, aku menunggu mereka turun, baru aku selesaikan sujudku.”
Nabi saw memberi pelajaran kepada kita agar dalam mendidik anak mengutamakan sikap lemah lembut, penuh cinta dan kasih sayang. Perlakuan keras terhadap anak akan membawa pengaruh buruk kepada perkembangan keperibadian mereka di kemudian hari. Pengaruh tersebut boleh menyebabkan anak berperilaku kasar, pemarah, tumpul hati nuraninya, bahkan anak gemar melakukan keganasan dan ancaman untuk melepaskan perasaan dendamnya.
- Mendidik dengan kata-kata yang baik dan penuh nasihat
Rasulullah saw memberikan teladan yang indah dalam membimbing dan mendidik anak-anak. Beliau sentiasa berbicara lemah lembut dan tidak pernah mencela anak-anak. Beliau juga menemani anak-anak makan. Bila mereka melakukan kesalahan, Rasulullah akan meluruskannya dengan baik.
Umar bin Salamah, anak tiri beliau menceritakan, “Ketika masih kecil, aku pernah dipangku oleh Rasulullah saw, tanganku melayang ke arah dulang berisi makanan. Rasulullah saw berkata kepadaku , ‘Nak, bacalah basmalah, lalu makanlah dengan tangan kanan dan ambillah makanan yang paling dekat denganmu.’ Maka seperti itulah cara makanku seterusnya.” (HR Bukhari dan Muslim)
- Berlaku adil dan tidak membandingkan satu anak dengan anak yang lain
Nu’man bin Basyir pernah bercerita, “Ayahku menginfakkan sebahagian dari hartanya untukku. Ibuku Amrah binti Rawahah kemudian berkata ‘Saya tidak suka engkau melakukan hal itu sehingga menemui Rasulullah.’ Ayahku pergi menemui Rasulullah saw sebagai saksi atas sedekah yang diberikan kepadaku. Rasulullah berkata, “Apakah engkau melakukan hal ini kepada semua anak-anakmu?” Dia berkata, ‘Tidak.’ Rasulullah saw berkata, ‘Bertakwalah kepada Allah dan berlaku adillah kepada anak-anakmu.’ Ayahku kemudian kembali dan menarik sedekah itu lagi.” (HR Muslim dalam Kitab AI-Hibaat)
Kita sebagai ibu bapa sangat digalakkan untuk berlaku adil kepada setiap anak mengikut keperluannya, sehabis boleh menghindari pilih kasih dan tidak membandingkan anak. Kerana perkara ini akan menimbulkan perasaan rendah diri pada anak yang lain, belum tentu setiap anak mempunyai kemampuan yang sama.
Setiap anak-anak istimewa, mereka mempunyai kelebihan masing-masing yang berbeza antara satu sama lain.
- Tidak memaksa kehendak anak selama berada di landasan syariat
Membiarkan anak-anak menentukan sikap mereka termasuk dalam bermain dan berkawan, asalkan mereka positif adalah salah satu perkara yang sangat penting dalam tempoh mengenal persekitaran dan mencari identiti diri. Anak-anak masih perlu bermain dan juga berkawan dengan rakan sebaya.
Perkara penting adalah memberikan panduan mengenai batasan syariat dan tidak terjerumus ke dalam perkara yang sia-sia. Kita juga harus mengajar adab kepada anak kita mana yang baik dan mana yang tidak baik serta bagaimana hendak memilih kawan.
Kerana Rasulullah saw juga telah memerintahkan kepada anak kita untuk mengetahui adab Islam sejak awal, baginda bersabda, “Hormatilah anak-anak kalian dan perbaikilah adab-adab mereka.” Dari Amr bin ‘Ash, bahawa Nabi saw bersabda, “Tidak ada pemberian ibu bapa untuk anaknya yang lebih utama daripada adab yang baik.“ (HR Tirmidzi)
Dengan tidak mengekang anak, tetapi tetap memantaunya, hal ini akan menjadikan anak mampu berfikir dan mempelajari pelajaran penting mengenai perbezaan, mampu membezakan mana yang harus dia teruskan berkawan dan mana yang harus dijauhi.
Kelak anak-anak juga akan lebih selesa bercerita kepada ibu bapa sekiranya ada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Di sinilah kesempatan ibu bapa untuk mengarahkan dan memberi pemahaman kepada anak mengenai baik dan buruknya akan sesuatu perkara.
- Memberi kasih sayang secara seimbang
Rasulullah saw memberikan banyak teladan dalam pergaulannya dengan anak-anak. Beliau sentiasa menunjukkan kasih sayang secara seimbang. Kewujudan kasih sayang beliau kadang-kadang dalam bentuk penghargaan, teguran lembut, atau hukuman sesuai dengan usia dan keadaan anak.
Penghargaan diberikan oleh Rasulullah adakalanya dalam bentuk hadiah contohnya seperti kurma, kadang-kadang memberi ciuman, belaian atau pelukan. Tetapi Rasulullah juga tidak teragak-agak memberikan hukuman kepada anak-anak ketika melakukan kesalahan.
Telah datang beberapa orang Badwi menghadap Rasulullah saw dan bertanya, “Apakah engkau suka mengucup (mencium) anak-anakmu? Beliau menjawab, “Ya.” Mereka kemudian berkata, “Tetapi, demi Allah kami tidak pernah mencium anak-anak kami.” Rasulullah lalu bersabda, “Aku tidak mempunyai kuasa apabila Allah telah mencabut rasa kasih sayang dari hatimu.” (HR Bukhari dan Muslim).
Ciuman berperanan efektif dalam menggerakkan perasaan dan jiwa anak, dapat menenangkan gelombang amarahnya.
Pujian kepada anak-anak mempunyai pengaruh yang dominan, sehingga akan menggerakkan perasaan dan inderanya selagi pujian itu diberikan pada waktu dan tempat yang tepat serta tidak berlebihan.
Rasulullah saw telah mengingatkan bahawa pujian akan memberikan kesan positif kepada jiwa anak, dia akan tergerak untuk menerima panggilan dan melaksanakan tugas yang diberikan kepadanya. Rasulullah saw pernah memberikan pujian kepada seorang anak yang belajar bahasa Arab dan bahasa Syria untuk membantunya. Rasulullah memujinya dengan, “Dia adalah anak muda yang terbaik.”
Memberi hadiah akan memberi pengaruh yang baik kepada jiwa anak asalkan tidak berlebihan. “Kalian hendaklah saling memberi hadiah, pasti kalian akan saling mencintai.” (HR Thabrani)
Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw ketika dianugerahkan buah, beliau berdoa, “Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami dalam kota kami ini, mengenai buah kami, mud kami dan sha’ kami, yang merupakan keberkatan demi keberkatan.” Lalu, beliau memberikan buah tersebut kepada anak paling kecil yang datang kepada beliau.
Ini bukan bererti bahawa Rasulullah saw tidak pernah marah atau tidak pernah memberikan “pelajaran” atau hukuman kepada anak-anak. “Hasan bin Ali pernah mengambil sebiji kurma dari kurma sedekah dan kemudian hendak memakannya. Selepas itu juga Rasulullah bersabda, “Kakh… Kakh.. buang! Tidakkah engkau tahu bahawa kita tidak makan barang sedekah?” (HR Bukhari Muslim)
Dalam hadis ini terdapat kata lembut dalam memberi larangan, iaitu dengan kata kakh… kakh! Imam Tirmidzi meriwayatkan dari Ummu Salamah bahawa dia berkata, “Rasulullah saw pernah melihat salah seorang anak kami yang bernama Aflah. Ketika dia sujud dia suka meniup tanah/pasir, maka beliau menegurnya dengan lembut, “Wahai Aflah tempelkan wajahmu ke tanah.”
- Ketika memberikan hukuman, jangan menggunakan fizikal, kecuali hampir baligh sebagai ta’dib (dalam hadis: sekitar 10 tahun).
Rasulullah saw juga memberikan contoh bagaimana memberi hukuman secara fizikal kepada anak-anak. Pada tahap awal, beliau memerintahkan sahabat untuk menakut-nakutkan anak dengan menggantungkan cemeti, untuk memperlihatkannya agar anak bergegas memperbaiki diri, bersaing untuk berpegang kepada yang benar. Dari Ibnu Abbas, “Gantunglah cemeti yang dapat dilihat oleh keluargamu agar hal itu menjadi peringatan bagi mereka.” (HR Thabrani)
Tahap seterusnya adalah dengan mencubit telinga, sebagai hukuman fizikal pertama ketika menghampiri usia sepuluh tahun. Imam Nawawi dalam kitab Al-Adzkar mengatakan, “Ibnu Sunni meriwayatkan dari Abdullah bin Burs Al-Mazini, dia berkata, “Ibuku pernah mengirimkan aku untuk menghadap Rasulullah saw dengan membawa setangkai anggur, lalu aku makan sebahagian darinya sebelum aku berikan kepada beliau. Ketika aku sampai, maka beliau mencubit telingaku dan berkata, “Wahai anak yang tidak amanah.”
Dari Ibnu Amr bin Al-Ash dari Rasulullah saw bahawa beliau bersabda, “Suruhlah anak-anak kamu melaksanakan ibadat solat ketika mereka sudah berusia tujuh tahun. Dan jika mereka sudah berusia sepuluh tahun, maka pukullah mereka jika tidak mahu melaksanakan solat dan pisahkan tempat tidur mereka.” (HR Hakim dan Abu Daud)
Rasulullah saw mengajar kepada kita agar membiasakan anak mengerjakan solat sejak 7 tahun. Kalau 3 tahun setelah itu (usia 10 tahun), ternyata belum juga solat, adalah wajar jika diberi hukuman fizikal dengan pukulan yang tidak meninggalkan kesan dan berbahaya.
Pada dasarnya, tempoh tiga tahun seharusnya sudah cukup untuk mendidik kebiasaan solat. Islam mengajar kepada ibu bapa untuk memberikan pengertian, pemahaman dan kebiasaan dalam rentang waktu yang cukup panjang dengan penuh kasih sayang.
Perlu difahami bahawa pukulan yang diberikan adalah pukulan yang tidak berbahaya, tidak memukul bahagian tubuh yang penting dan tidak menyebabkan kecacatan atau kematian. Fungsi memukul di sini adalah untuk mendidik atau mendisiplinkan (ta’dib), bukan untuk menyeksa anak.
Khatimah
Demikianlah, Rasulullah saw telah mengajarkan kepada kita tentang adab ibu bapa terhadap anak-anak kita, selain tanggungjawab kita memenuhi hak mereka. Sudah tentu, semua ini harus difahami dan kemudian direalisasikan dalam kehidupan.
Semoga dengan ikhtiar kita sebagai ibu bapa untuk selalu memenuhi hak anak kita dan menunaikan adab sebagai ibu bapa terhadap anak-anak kita, kelak akan melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah, anak-anak yang berkeperibadian Islam yang hebat. Bukan hanya menajamkan pola pemikirannya, tetapi kita juga menguatkan jiwa, perasaan, dan kecenderungannya agar sesuai dengan Islam. Wallahu a’lam bishawwab. [MNews/Rgl]

