Site icon MuslimahHTM News

Indahnya Mengutamakan Kepentingan Orang Lain

Sikap mendahulukan kepentingan orang lain daripada kepentingan peribadi dalam Islam disebut dengan itsar. Salah satu akhlak yang paling utama, bahkan berada pada tingkat tertinggi dalam implementasi ukhuwah Islamiyah. Abu Jahm bin Hudzaifah Al-‘Adawi berkata, “Dalam peperangan Yarmuk, aku pergi untuk mencari anak bapa saudaraku, dan aku membawa sebekas air. Aku berkata dalam hati, ‘jika anak bapa saudaraku masih hidup, aku ingin memberinya minum dari tempat minumku ini, lalu aku basuh mukanya dengan air ini juga.’ Benar, aku menemukan beliau, aku bertanya kepadanya, ‘Mahu minum?’ beliau memberi isyarat dengan mengiyakan.

Tiba-tiba lelaki di sebelahnya mengeluh kehausan, ‘AH’, anak bapa saudaraku memberi isyarat agar aku menuju ke tempat orang tersebut dengan membawa bekas air. Lelaki tersebut tidak lain adalah Hisyam bin Al-Ash saudara kandung ‘Amr bin Al-Ash. Aku mendekati beliau dan bertanya, ‘Mahu minum?’ kemudian terdengar orang lain berkata, ‘AH’ kerana kehausan. Hisyam memberi isyarat agar aku menuju ke tempat orang tersebut. Aku menuruti keinginannya untuk mendatangi orang tersebut, sesampainya di situ ternyata orang tersebut telah meninggal dunia. Aku pergi semula kepada Hisyam, beliau juga sudah meninggal. Kemudian aku kembali mendatangi anak bapa saudaraku, beliau juga sudah meninggal dunia.

Sungguh mulia apa yang dilakukan oleh para sahabat, mereka lebih mendahulukan kepentingan orang lain meskipun dirinya sendiri sangat memerlukannya.

Begitulah seharusnya akhlak seorang Muslim, berempati dan merasa menderita ketika saudaranya mengalami kesusahan.

Dalam Al-Quran, Allah Subhanahu wa Taala menggambarkan sikap itsar-nya para sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum kedatangan mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang-orang yang hijrah ke tempat mereka. Dan mereka tidak menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (Muhajirin) atas dirinya sendiri, meskipun mereka juga memerlukan. Dan siapa yang dijaga dirinya dari kekikiran, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung.” [TMQ Al-Hasyr (59): 9]. [MNews/Gz]

Sumber:

  1. https://www.facebook.com/812692572241893/posts/1956736394504166/
  2. https://quranbest.page.link/gRCn3LNwGux9Admt5
Exit mobile version