Site icon MuslimahHTM News

[KENYATAAN MEDIA] JHEAINS Bertindak Lebih Ekstrem Daripada Jabatan Agama Lainnya Dengan Menahan Anggota, Isteri dan Ahli Keluarga Anggota Hizbut Tahrir!

Pihak penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah menahan isteri dan ahli keluarga seorang syabab (pemuda) Hizbut Tahrir / Malaysia (HTM) di Seremban, kira-kira jam 11.00 malam pada hari Selasa lalu. Sebelum ditahan, rumah mereka telah terlebih dahulu digeledah oleh sepasukan penguatkuasa JHEAINS yang melakukan operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan sejumlah buku telah dirampas. Semasa kejadian, syabab HTM tersebut tiada di rumah dan beliau dihubungi melalui telefon oleh isterinya yang menjelaskan apa yang berlaku. Melalui telefon yang sama, beliau telah diminta oleh pegawai JHEAINS tersebut supaya segera pulang. Selain isteri beliau, 45, dan anak perempuan beliau, 22, turut ditahan ialah dua orang pekerja beliau yang mana salah seorang daripadanya ialah anak saudara beliau. Kesemua yang ditahan kemudiannya dibawa ke Pusat Dakwah Islamiah, Paroi untuk disoal siasat.

Syabab HTM terbabit, Sdr. Jamaluddin Maidin Syed, 45, kemudian dihubungi melalui telefon dan diminta hadir segera ke Pusat Dakwah Islamiah tersebut. Beliau kemudian hadir ke pusat berkenaan sekitar jam 2.30 pagi dan terus ditahan serta-merta oleh JHEAINS. Kesemua mereka telah didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 iaitu kesalahan “mencela, menghina dsb agama Islam”, yang membawa hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Kesemua mereka telah disoal siasat di sepanjang malam dan pagi tersebut serta tidak dibenarkan tidur. Lebih buruk, permintaan isteri dan anak beliau untuk solat Isyak tidak dibenarkan, hinggalah ke jam 5.30 pagi. Lebih kurang jam 4.00 pagi, kedua-dua pekerja beliau dibebaskan, manakala soal siasat ke atas beliau, isteri dan anaknya terus disambung hingga ke petang 27 Oktober. Ketiga-tiga mereka kemudian dibebaskan sekitar jam 5.30 petang tersebut dengan ikat jamin sebanyak RM2,500 seorang oleh Mahkamah Tinggi Syariah Seremban.

Wahai JHEAINS! Sesungguhnya kalian telah melanggar hukum syarak secara nyata dengan memecah masuk kediaman dan merampas harta benda orang lain tanpa izin. Kalian cuba mencemar maruah dan menakut-nakutkan penghuninya serta bertindak atas dasar fitnah yang keji. Tahukah kalian bahawa kafir Quraisy semasa mengepung rumah Rasulullah (saw), tidak menceroboh masuk ke rumah baginda kerana masih menjaga kemuliaan rumah dan penghuninya? Mereka masih memiliki harga diri dan rasa malu. Mereka menunggu di luar rumah sehingga ke waktu pagi kerana harga diri mereka melarang mereka memecah masuk rumah orang lain secara paksa. Namun, kalian sudah tidak punya harga diri dan rasa malu, menceroboh rumah orang lain, merampas harta benda dan menakut-nakuti isteri dan anak-anak penghuninya!

Kami, Hizbut Tahrir / Malaysia dengan ini membantah sekeras-kerasnya penangkapan anggota kami dan keluarga beliau serta penggeledahan dan rampasan yang dilakukan oleh JHEAINS. Sesungguhnya tangkapan dan penggeledahan ini jelas merupakan sebuah kezaliman dan melanggar bukan sahaja hukum syarak, bahkan melanggar undang-undang yang mereka cipta sendiri. Dakwaan bahawa anggota kami menghina Islam di bawah Seksyen 50 sungguh tidak masuk akal yang mana gunung ganang pun boleh pecah berkecai mendengar pendustaan seumpama ini.

Tidak cukup dengan penangkapan tersebut, Mufti Negeri Sembilan dalam komennya kepada akhbar Harian Metro mengenai tangkapan ini, menyatakan bahawa fahaman Hizbut Tahrir ialah ekstrem dan bertentangan dengan Ahlu Sunnah Wal Jamaah, membawa perpecahan serta menjejaskan keselamatan negara. Sesungguhnya kami tidak terkejut sedikit pun dengan kenyataan ini kerana ia merupakan naratif dan tuduhan yang sama yang telah dibawa oleh pihak berkuasa agama di negeri lainnya, yang telah pun dijawab oleh kami dan tidak satu pun daripada mereka yang mampu membalas jawapan tersebut, dan dengan izin Allah (swt), mereka tidak akan mampu menjawabnya sampai kiamat, kerana apa yang mereka katakan hanyalah sebuah fitnah, pembohongan dan suatu yang diada-adakan ke atas Hizbut Tahrir.

Kami ingin tegaskan bahawa tindakan JHEAINS ini lebih ekstrem daripada tindakan yang telah dilakukan oleh Jabatan Agama negeri lain, kerana menangkap bukan sahaja anggota Hizbut Tahrir yang tidak melakukan apa-apa kesalahan, malah turut menangkap isteri, anak perempuan dan dua orang pekerja beliau. Tuduhan JHEAINS bahawa anggota HTM dan keluarganya telah menghina Islam juga merupakan sebuah tuduhan yang sangat ekstrem. Malah, tindakan menangkap pendakwah dan memperlakukan pendakwah sebagai penjenayah, itu sendiri merupakan suatu tindakan yang ekstrem oleh pihak berkuasa agama, apatah lagi dalam keadaan kemaksiatan yang terlalu banyak dalam negara dibiarkan begitu sahaja oleh pihak berkuasa agama.

Menyatakan fahaman Hizbut Tahrir sebagai ekstrem hanyalah sebuah naratif yang dibawa oleh Barat yang sekarang ini berada dalam ketakutan dengan dakwah Hizbut Tahrir untuk menegakkan syariah dan Khilafah, kerana seruan ini telah disahut oleh semakin ramai umat Islam di seluruh dunia. Barat tahu yang segala kejahatan dan dominasinya ke atas dunia Islam akan berakhir dan mereka akan mendapat pembalasan sewajarnya dari Sang Khalifah apabila tegaknya Khilafah sedikit masa lagi. Atas dasar itu, mereka bersungguh-sungguh menghalang dakwah Hizbut Tahrir, menggerakkan kesemua ejen mereka di dunia Islam untuk melawan Hizbut Tahrir, dengan menabur pelbagai fitnah, tohmahan dan pendustaan ke atas Hizbut Tahrir, termasuklah tuduhan ekstrem, radikal dan pengganas. Sedangkan dalam masa yang sama, Barat memuji golongan moderat, liberal, LGBT, penganut demokrasi, malah memuji penguasa-penguasa diktator di seluruh dunia Islam, kerana semua ini selari dengan nilai-nilai dan kepentingan Barat.

Kami ingin tegaskan bahawa tangkapan ke atas anggota Hizbut Tahrir dilakukan tidak lain kecuali kerana sebuah fatwa politik yang penuh dengan fitnah dan pendustaan ke atas Hizbut Tahrir. Kami ingin mengingatkan pihak berkuasa agama untuk ke sekian kalinya supaya jangan terfikir yang dengan penangkapan, fitnah, pembohongan dan segala kezaliman yang kalian lakukan ke atas anggota Hizbut Tahrir, akan menghenti atau memperlahankan dakwah Hizbut Tahrir, malah sebaliknya ia akan terus meningkatkan dakwah ini kerana sesungguhnya kami berdakwah kerana mengharapkan redha Allah (swt), bukan mengharapkan redha manusia. Kami melaksanakan tugas untuk menegakkan agama Allah (swt) di dunia dan mata kami hanya memandang kenikmatan ukhrawi, tidak sebagaimana kalian yang melaksanakan tugas untuk menghalang dakwah dan mata kalian hanya memandang kenikmatan duniawi.

Wahai pihak berkuasa agama! Oleh kerana kami masih mengharapkan kebaikan buat kalian, maka kami sudahi kenyataan akhbar ini dengan sedikit peringatan buat kalian, jika kalian masih memiliki sekelumit keikhlasan dan ketakutan kepada Allah (swt):

﴿إِنَّ الَّذِينَ فَتَنُوا الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَتُوبُوا فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ الْحَرِيقِ﴾

“Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan cubaan kepada orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab (neraka) Jahannam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar” [Al-Buruj (85): 10].

 

Pejabat Media

Hizbut Tahrir Malaysia

Exit mobile version