Site icon MuslimahHTM News

[Mafahim Islamiyah] Al-Nafsiyah

“Tidak sempurna iman salah seorang di antara kamu, sehingga nafsunya mengikuti apa yang datang dari aku (Nabi).” (Al-Hadis)

Gharizah dan hajah ‘udhwiyyah yang dimiliki oleh manusia menuntut pemenuhan yang akan mendorong manusia untuk melakukan aktiviti pemenuhan tersebut. Manusia akan bergerak secara fitrah sebagai pemenuhan (isyba’) yang disebut dengan dorongan-dorongan (dawafi’).

Maka, jika manusia dibiarkan dalam dorongan-dorongan ini tanpa peraturan dan kayu ukur tertentu, manusia akan memenuhi gharizah dan hajah ‘udhwiyyah mengikut hawa nafsunya. Oleh itu, dorongan-dorongan tersebut mesti dikaitkan dengan mafahim manusia tentang al-a’mal dan al-asyya’.

Oleh kerana manusia hidup bermasyarakat, maka perlu ada pemikiran-pemikiran tertentu dalam menentukan hukum al-asyya’ dan al-af’al, yang boleh mempengaruhi dan mengakses masyarakat. Dengan begitu, pemikiran tersebut dapat dijadikan sebagai mafahim tertentu untuk menghukumi dorongan-dorongan tersebut.

Hubungan antara dorongan-dorongan dan mafahim manusia disebut dengan muyul (kecenderungan). Maka, muyul lebih tinggi daripada dorongan-dorongan, kerana muyul adalah dorongan-dorongan yang dikaitkan dengan mafahim.

Dorongan-dorongan pemenuhan wujud pada manusia dan haiwan, manakala muyul wujud pada manusia dan tidak wujud pada haiwan, kerana perbezaan asas antara manusia dan haiwan terletak pada idrak/tafkir: manusia boleh berfikir, haiwan tidak boleh, dan dengan tafkir sahaja mafahim diperolehi.

Maka, nafsiyah adalah cara manusia mengaitkan dorongan-dorongan pemenuhan dengan suatu mafahim, dan mafahim ini kembali kepada pemikiran-pemikiran tertentu yang bersumber dari perspektif kehidupan, dalam erti kata hidup itu terbatas atau tidak.

Jika mafahim itu muncul dari akidah Islam, sudah tentu nafsiyah-nya adalah nafsiyah Islam. Begitu juga jika mafahim-nya muncul dari akidah komunisme atau kapitalisme, maka nafsiyah-nya adalah komunisme dan kapitalisme.

Jika mafahim-nya muncul dari pelbagai qaidah/peraturan, bermakna nafsiyah-nya adalah nafsiyah yang kacau-bilau dan cenderung kepada anarkisme.

Nafsiyah ialah yang menjadikan manusia mengutamakan untuk beraktiviti atau menahan diri daripada beraktiviti. Nafsiyah inilah yang menghukumi dan memutuskan dalam dorongan-dorongan gharizah dan hajah ‘udhwiyyah.

Seorang muslim, sebelum khamr diharamkan, suka meminum khamr kerana mafahim-nya tentang khamr adalah mubah/boleh. Maka, ketika turun ayat:

“Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamr dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan solat; maka berhentilah kamu (dari melakukan pekerjaan itu).” [TMQ Al-Maidah(5): 91]

Ketika mendengar ayat tentang pengharaman khamr di atas, mereka berkata, “Sesungguhnya kami telah berhenti dari meminum khamr dan menahan mereka yang masih terjerat dengan khamr.” Kemudian diteruskan dengan menumpahkan semua khamr di jalan-jalan Madinah, selepas itu mereka tidak meminum khamr lagi.

Perubahan pemahaman tentang khamr telah mengubah muyul/kecenderungan mereka terhadap khamr. Kecenderungan baru ini adalah hasil daripada mengaitkan dorongan-dorongan dengan mafahim (nafsiyah).

Mafahim Islam datang untuk mengubah muyul orang Arab (untuk pertama kali), dan dengan mafahim Islam ini telah mampu mengubah sepenuhnya muyul mereka hingga ke akar-akarnya.

Kita boleh membaca kisah dua orang adik-beradik yang salah seorangnya memeluk Islam, iaitu Muhayyishah bin Mas’ud dan seorang lagi masih kafir, iaitu Huwayyishah bin Mas’ud. Rasulullah SAW memerintahkan sahabat yang beragama Islam, iaitu Muhayyishah untuk membunuh Ka’ab bin Yahuudza.

Kemudian, saudaranya yang kafir yaitu Huwayyishah mencela Muhayyishah sambil berkata, “Adakah engkau telah membunuh Ka’ab bin Yahuudza? Sesungguhnya Ka’ab telah sering memberi kamu makan dan hartanya tumbuh dalam perutmu, engkau sungguh tercela, Muhayyishah.”

Maka, Muhayyishah bin Mas’ud menjawab, “Sesungguhnya Rasul telah memerintahkan aku untuk membunuhnya, seandainya Rasul menyuruhku membunuhmu, maka aku akan membunuhmu.”

Huwayyishah menjawab, “Demi Allah, sungguh menakjubkan agama yang datang kepadamu.” Maka, Huwayyishah bin Mas’ud pun masuk Islam.

Nafsiyah Muhayyishah bin Mas’ud adalah adanya hubungan antara dorongan-dorongan dengan mafahim-nya, sehingga menjadikan muyul-nya berlandaskan hukum syarak.

Hal ini jelas dari kata-kata Muhayyishah kepada Huwayyishah, “Sesungguhnya Rasul menyuruhku membunuh Ka’ab, sehingga seandainya Rasul menyuruhku membunuhmu, tentu aku akan membunuhmu.” Jadi, ia tidak berdasarkan gharizah atau kemaslahatan, sebagaimana yang dijadikan pegangan oleh saudaranya yang kafir.

Itulah nafsiyah yang benar sebagimana yang diajarkan oleh Islam, sehingga menimbulkan kekaguman saudara yang kafir, yang diikuti dengan mengisytiharkan dirinya menjadi Islam.

Sumber: Mafahim Islamiyah, Muhammad Husain Abdullah

Exit mobile version