Penulis: Arini Retnaningsih
Piagam Madinah dianggap sebagai satu bentuk undang-undang bertulis yang pertama dalam sejarah. Keberadaan Piagam Madinah sebagai suatu perlembagaan menegaskan bahawa institusi yang dibentuk oleh Rasulullah SAW di Madinah bukanlah sekadar masyarakat sahaja, tetapi ianya merupakan pembentukan sebuah negara. Kita sampai pada kesimpulan bahawa sebenarnya tidak ada perbezaan tentang isi kandungan Piagam Madinah di antara para ahli sejarah dan ilmuan Muslim. Malangnya, ramai di antara mereka yang kemudiannya menjadikan Piagam Madinah ini sebagai dalil bagi idea-idea yang dibawa oleh Islam moderat, contohnya seperti negara madani, demokrasi, negara kesepakatan dan banyak lagi. Perkara ini dapat kita saksikan dari beberapa penulisan dan kenyataan para tokoh pemikir Islam moderat.
Antaranya adalah seperti yang pernah dimuatnaik di laman NU online sebagai berikut :
“Piagam Madinah merupakan ketuanan perjanjian negara pertama dalam sejarah Islam yang didirikan oleh Nabi Muhammad. Dengan kata lain, Nabi SAW mendirikan Darul Mitsaq iaitu negara kesepakatan antara kelompok-kelompok masyarakat yang berbeza-beza.”
Bekas Menteri Agama Indonesia, Fachrul Razy juga mengeluarkan kenyataan tentang Piagam Madinah bahawa Rasulullah bersama masyarakat Madinah yang majmuk membina kesepakatan berupa Piagam Madinah kemudian mewujudkannya dalam kehidupan yang penuh toleransi dan keadilan. Pendapat serupa dilontarkan oleh Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia, Airlangga Hartarto yang menyebut, “Piagam Madinah seperti yang saya jelaskan, sesungguhnya memiliki kesamaan dengan Pancasila sebagai kesepakatan luhur bangsa kita. Di dalam Pancasila mengandungi nilai ketuhanan, kemanusiaan, persatuan, musyawarah dan keadilan sosial yang perlu kita jadikan sebagai roh dan semangat bagi jalan kehidupan berbangsa dan bernegara.” Perkara inilah yang perlu dikaji lebih dalam. Adakah layak Piagam Madinah dijadikan dalil untuk membenarkan pemikiran-pemikiran Islam moderat tersebut?
Isi Piagam Madinah
Piagam Madinah mencerminkan penguasaan tatanegara pada diri Nabi Muhammad SAW. Baginda memahami bahawa dengan keadaan masyarakat Madinah yang majmuk, kemungkinan terjadinya konflik di antara mereka adalah sangat besar. Sebagai gambaran, ketika itu, Madinah diduduki oleh tiga kelompok besar. Pertama, kelompok muslim dari kalangan Muhajirin dan Ansar. Mereka adalah kelompok majoriti penduduk Madinah. Kedua, kelompok musyrik yang terdiri dari Bani Aus dan Khazraj yang belum memeluk Islam dan jumlah mereka sedikit di antara kaumnya. Ketiga, kelompok Yahudi yang terbahagi kepada empat golongan. Satu bermukim di dalam kota Madinah dan tiga golongan lainnya berada di luar kota Madinah. Yahudi yang tinggal di dalam kota adalah Bani Qainuqa’. Yang tinggal di luar kota pula adalah yahudi dari Bani Nadhir, Yahudi Khaibar dan Bani Quraizhah.
Untuk menjangkakan potensi konflik antara masyarakat yang berbeza dan menyatukan masyarakat dalam satu institusi negara, Rasulullah SAW pun menyusun Piagam Madinah. Teks lengkap Piagam Madinah boleh dibaca dalam kitab Sejarah Hidup Muhammad karya Muhammad Husain Haekal. Secara umum, Piagam Madinah mengatur hubungan antara kaum muslimin dari kalangan Muhajirin dan Ansar iaitu persamaan hak dan kewajipan mereka. Begitu juga hubungan antara kaum muslimin dan Yahudi yang mencakup bentuk kerjasama mereka dalam menghadapi masalah negara dan masyarakat serta jaminan kebebasan bagi kedua pihak untuk menjalankan agama masing-masing. Beberapa poin perjanjian yang mencerminkan hal di atas adalah sebagai berikut :
- Kaum mukminin yang berasal dari Quraisy dan Yatsrib (Madinah), dan yang bergabung dan berjuang bersama mereka adalah satu umat.
- Sesungguhnya orang Yahudi yang mengikuti kaum mukminin berhak mendapatkan pertolongan dan santunan selama kaum Yahudi ini tidak menzalimi kaum muslimin dan tidak bergabung dengan musuh dalam memerangi kaum muslimin.
- Kaum Yahudi memikul biaya bersama mukminin selama berada dalam peperangan.
- Kaum Yahudi dari Bani ‘Auf adalah satu umat dengan mukminin. Kaum Yahudi berhak ke atas agama, anak-anak dan jiwa-jiwa mereka. Ketentuan ini juga berlaku bagi kaum Yahudi lain yang berasal dari Bani Najjar, Bani Harits, Bani Sa’idah, Bani Jusyam, Bani al-Aus dan Bani Tsa’labah. Kerabat Yahudi (di luar kota Madinah) sama seperti mereka (Yahudi).
- Kaum muslimin dan Yahudi perlu saling membantu dalam menghadapi orang yang memusuhi pendukung piagam ini. Saling memberi nasihat serta membela pihak yang dizalimi.
Jika kita perhatikan isi perjanjian tersebut, memang tampak jelas bagaimana kedudukan kaum Yahudi sebagai warganegara yang diakui dan disamakan hak serta kewajipannya dengan kaum muslimin. Inilah yang menjadi dasar justifikasi bagi sebahagian tokoh Muslim untuk mengatakan bahawa Piagam Madinah adalah simbol negara madani, negara kesepakatan dan menjadi persamaan. Ini adalah kesimpulan yang terburu-buru dan pemikiran yang dangkal kerana mereka tidak mengkaji realiti dari Piagam Madinah secara terperinci dengan kacamata yang sebenar-benarnya.
Piagam Madinah Bukan Kesepakatan
Jika kita kaji sejarah dan teks dari Piagam Madinah, kita boleh dapati fakta yang bertentangan dengan kenyataan yang mengatakan bahawa Piagam Madinah adalah sebuah kesepakatan. Yang sebenarnya adalah, Piagam Madinah merupakan perjanjian yang Rasulullah SAW buat untuk orang-orang beriman dan orang-orang Yahudi.
Kita boleh lihat fakta bahawa teks perjanjian itu diawali dengan sabda Rasulullah :
“Bismillahirrahmanirrahim. Ini adalah perjanjian dari Muhammad Nabi SAW antara kaum mukmin yang muslim dari kalangan Quraisy dan Yatsrib serta orang-orang yang mengikuti mereka….. Dan seterusnya.”
Kita sama-sama mengetahui bahawa orang Yahudi dengan jelas menolak kenabian Muhammad SAW sehingga jika ini adalah kesepakatan yang dibuat bersama, tentu saja perkataan “Nabi SAW” tidak akan dicantumkan sebagaimana dalam Perjanjian Hudaibiyah iaitu ketika Suhail yang menjadi wakil Quraisy menolak pencantuman perkataaan “Nabi” sehingga akhirnya ia ditulis sebagai “Muhammad” sahaja. Piagam Madinah itu menyebutkan apa yang perlu dilakukan di antara sesama kaum mukmin. Hubungan kaum Yahudi dengan kaum mukmin diletakkan di bahagian tengah teks perjanjian. Yang dimaksudkan dengan kaum Yahudi di sini bukanlah kabilah-kabilah Yahudi yang hidup berjiran, tetapi mencakupi setiap orang yang ingin menjadi warganegara Daulah Islam. Mereka berhak memperoleh perlindungan dan hak yang sama dalam muamalah bersama-sama kaum muslimin. Kabilah-kabilah Yahudi sendiri (yang tercakup dalam perjanjian) disebutkan nama-nama kabilah mereka di bahagian akhir perjanjian tersebut iaitu setelah tuntasnya pengaturan interaksi antara kaum mukmin.
Perjanjian itu menyebutkan Yahudi Bani ‘Auf, Yahudi Bani Najjar dan seterusnya. Perjanjian tersebut juga mengatur hubungan mereka dengan Daulah Islam disertai syarat-syarat tertentu. Syarat-syarat ini juga membuktikan bahawa Yahudi tidak bebas untuk berhukum dengan hukum mereka sendiri saat berinteraksi sebagai warganegara. Memang benar mereka dijamin dalam menjalankan agama mereka, tetapi dalam urusan masyarakat sebagai warganegara, mereka wajib tunduk kepada hukum Islam. Bukan demokrasi, bukan juga hukum kesepakatan. Dalam teks perjanjian ada ditunjukkan dengan jelas hubungan antara kaum Yahudi dengan kaum muslim atas dasar berhukum kepada Islam. Juga berlandaskan ketundukan kaum Yahudi pada kekuasaan Islam serta ketundukan mereka untuk bekerjasama demi kemaslahatan Daulah Islam. Dalam teks perjanjian tersebut ada beberapa poin yang membuktikan perkara tersebut. Antaranya adalah :
- Tidak seorang pun dari orang Yahudi yang boleh keluar (Madinah) kecuali dengan izin Muhammad SAW.
- Kota Yatsrib perlu dihormati oleh pihak yang menerima perjanjian.
- Kejadian dan perselisihan yang timbul di antara pihak-pihak (yang menyetujui) perjanjian ini, yang dirisaukan kerosakannya, maka akan dikembalikan kepada Allah dan Muhammad Rasulullah SAW.
- Tidak boleh menjalinkan kerjasama dengan kafir Quraisy dan tidak boleh memberi pertolongan kepada mereka.
Begitulah perjanjian Rasulullah SAW yang mengatur semua kabilah Yahudi yang berjiran dengan Madinah. Mereka disyaratkan tidak boleh keluar dari Madinah kecuali dengan izin Rasulullah SAW atau izin negara. Mereka diharamkan untuk merosak kehormatan kota Madinah, baik memerangi atau memberi bantuan kepada siapa pun yang memerangi Islam. Mereka juga diharamkan untuk menjalin hubungan dengan kafir Quraisy dan tidak dibenarkan siapa pun dari mereka untuk menolong Quraisy. Pelanggaran apa pun yang mereka lakukan terhadap perjanjian tersebut, maka Rasulullah SAW yang akan menyelesaikannya. Maksudnya, diselesaikan dengan hukum Islam, bukan dengan kesepakatan. Banyak kabilah Yahudi yang bersepakat dengan isi perjanjian ini antaranya Yahudi Bani ‘Auf, Bani Najjar, Bani Harits, Bani Sa’adah, Bani Jasyim, Bani Aus dan Yahudi Bani Tsa’labah. Tetapi ada juga kabilah-kabilah Yahudi yang tidak ikut menandatangani teks perjanjian ini iaitu Yahudi Bani Quraizhah, Bani Nadhir, dan Bani Qainuqa’. Tetapi, tidak lama kemudian mereka juga turut menandatangani perjanjian tersebut. Mereka juga tunduk pada syarat-syarat yang sama sebagaimana yang disebutkan dalam perjanjian di atas.
Fakta-fakta penyusunan Piagam Madinah di atas justeru menguatkan lagi kesimpulan bahawa yang dibentuk oleh Rasulullah SAW ketika masuk ke Madinah bukanlah negara kesepakatan, bukan juga penerimaan atas kebenaran agama Yahudi, malah bukan negara kompromi dan permusyawarahan. Negara yang dibentuk oleh Rasulullah adalah negara yang berdasarkan syariat Islam, negara yang diatur dengan aturan Islam yang memberikan hak dan kewajipan yang sama bagi setiap warganegara, menjamin hak pemeluk agama lain untuk menjalankan agamanya serta melindungi semua warganegara baik muslim ataupun bukan.
Dengan itu, menjadikan Piagam Madinah sebagai dalil bagi idea-idea Islam moderat adalah salah besar. Ini merupakan penyimpangan terhadap dalil yang biasa dilakukan oleh kelompok Islam moderat ini untuk memberikan pembenaran ke atas pendapat-pendapat mereka.
Sumber : https://www.muslimahnews.com/2021/09/05/menelikung-piagam-madinah-sebagai-dalil-moderasi-beragama/

