Site icon MuslimahHTM News

Duhai Bonda, Syurga Berada di Bawah Kedua Kakimu

Penulis: Najmah Saiidah

Kita sering mendengar ungkapan “Syurga di bawah telapak kaki ibu.” Tentu saja ini bukanlah maksud yang sebenarnya, tetapi merupakan ungkapan indah dan penuh makna. Ungkapan ini sering dikonotasikan kepada kewajipan seorang anak adalah perlu taat, sayang dan berbakti kepada ibunya. Sebab, ibulah yang telah mengandungkannya selama sembilan bulan, melahirkan, menyusukan, mengasuh dan seterusnya. Jarang sekali ia diungkap sebaliknya. Jadi, bagaimanakah sosok seorang ibu yang di bawah kedua telapak kakinya terletak syurga buat anak-anaknya?

Sesungguhnya Islam telah menempatkan seorang ibu pada posisi yang sangat mulia. Tampak jelas dari beberapa hadis Rasulullah SAW. Antaranya, seseorang datang kepada Rasulullah SAW dan berkata, “wahai Rasulullah, kepada siapakah aku harus berbakti pertama kali?” Nabi SAW menjawab, “Ibumu!” Dan orang tersebut kembali bertanya, ” kemudian, siapa lagi?” Nabi SAW menjawab, “Ibumu!” Orang tersebut bertanya lagi, “kemudian, siapa lagi?” Baginda menjawab, “Ibumu!” Orang tersebut bertanya lagi, “kemudian, siapa lagi?” Rasulullah menjawab, “kemudian, ayahmu.* (HR Bukhari)

Hadis lainnya adalah yang diriwayatkan dari Sahabat, Mu’awiyah bin Jahimah

أنه جاء النبي صلى الله عليه وآله وسلم فقال: يا رسول الله، أردت أن أغزو، وجئت أستشيرك فقال: «هل لك من أم؟» قال: نعم، قال: «فَالْزَمْهَا، فَإِنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ رِجْلَيْهَا»

Bahawasanya, ia (Mu’awiyah bin Jahimah) datang kepada Nabi SAW, lalu ia berkata, “wahai Rasulullah, aku ingin berperang dan aku datang untuk meminta petunjukmu.” Nabi SAW bersabda, “apakah engkau memiliki ibu?” Aku menjawab, “iya, benar.” Lalu Rasulullah menjawab, “menetaplah dengannya kerana sungguh, syurga di bawah kedua kakinya.” (HR Ibnu Majah, An-Nasa’i, Ahmad, Ath-Thabrani di dalam kitab Al-Mu’jam Al-Kabir dengan sanad hasan, disahihkan oleh Imam al-Hakim)

“Nikahilah wanita-wanita yang penuh kasih sayang lagi subur (banyak anak), kerana sungguh aku akan menyaingi umat-umat yang lain dengan bilangan kalian pada hari kiamat kelak.” (HR Ahmad)

“Janganlah kalian menikahi perempuan kerana kecantikannya. Kerana kecantikannya itu akan menjadikannya berlebihan. Jangan pula kalian menikahi perempuan kerana hartanya, kerana hartanya itu akan membuatnya membangkang. Nikahilah perempuan atas dasar agamanya. Sesungguhnya seorang hamba sahaya perempuan yang hitam legam yang memiliki kebaikan agama adalah lebih utama. (HR Ibn Majah)

Dari hadis-hadis di atas, dapat kita fahami bahawa Islam telah meletakkan posisi yang penting dah mulia bagi seorang wanita, khususnya untuk seorang ibu. Syariat Islam telah mengatur dengan terperinci, bahkan memperingatkan agar memilih pasangan yang subur, penyayang dan memiliki fahaman Islam yang sempurna kerana kelak, seorang wanitalah yang akan menjadi ibu yang berperanan sangat penting dalam sebuah keluarga.

Pentingnya Peranan Ibu

Ibu adalah madrasah pertama dan utama bagi anak-anaknya kerana tanggungjawab untuk mengasuh, memelihara dan mendidik anak-anak berada di bahunya. Jika ibunya bukan seorang yang penyayang dan tidak faham deen Islam, dapat kita bayangkan generasi apakah yang akan dihasilkan. Sejarah panjang pada masa keemasan Islam yang bermula dari awal tahun Hijriah sehingga sekitar 14 abad seterusnya diwarnai oleh ramai orang-orang besar. Para Khalifah mengukir nama mereka sebagai pemimpin terbaik saat itu.

Para pejuang membawa Islam dalam kemenangan yang gemilang. Mereka tidak takut mati, bahkan mati di jalan Allah menjadi tujuan tertinggi hidup mereka. Pada ulama pula berjuang dengan tinta dan pena mereka. Kerana merekalah kita dapat mengenal dan mempelajari Islam saat ini.

Di sebalik kehebatan mereka, ada insan-insan yang tidak kalah hebatnya. Nama mereka memang tidak terukir dalam sejarah, tetapi harumannya semerbak dek keunggulan anak-anak yang mereka lahirkan dan didik. Merekalah para ibu teladan yang mendidik anak-anak mereka dengan keimanan, mengukuhkan ketundukan mereka pada aturan Allah serta menyemaikan bibit keberanian, pantang menyerah dan sentiasa bersemangat untuk mengejar redha Allah dalam perjuangannya. Merekalah para ibu yang menjadi syurga bagi anak-anaknya.

Jadi, bagaimana dengan kita? Para ibu yang hidup di tengah-tengah lumpur sistem sekular kapitalisme yang penuh dengan kemungkaran dan kemaksiatan. Di rumah, kita mendidik anak-anak dengan pemahaman Islam yang benar. Tetapi ketika mereka melangkah ke luar rumah, mereka perlu berhadapan dengan perkara-perkara yang kebanyakannya bertentangan dengan apa yang diajar oleh ibu bapanya di rumah.

Dengan keadaan dan situasi yang sekarang ini, kita diperintahkan untuk tidak menyerah diri. Laa yughauyiru maa bi qaumin hatta yughayyiru maa bi anfusihim. Apatahlagi masa depan umat ini mahu tidak mahu telah menjadi salah satu tanggungjawab kita termasuklah usaha untuk mengembalikan kemuliaan umat dengan membina kembali generasi hebat seperti generasi-generasi terdahulu. Caranya tidak lain adalah dengan mencerdaskan dan membina diri kita dan para ibu umat saat ini agak kita juga memiliki kualiti sebagaimana para ibu terdahulu. Tentu saja hanya dengan merujuk kepada asas Islam. Di sinilah pentingnya mengoptimumkan peranan seorang ibu.

Bekalan Untuk Mengoptimumkan Peranan Ibu

Islam sebagai deen yang lengkap dan sempurna telah meletakkan sosok ibu dalam posisi yang sangat mulia dan tidak kalah penting dari peranan kaum lelaki. Fungsi ibu bukan hanya bersifat biologi tetapi juga bersifat strategik (sebagai arkitek generasi pemimpin masa hadapan). Kerana itu, Islam menuntut agar kaum wanita betul-betul boleh menjalankan fungsi keibuan dengan optimum sehingga sekalipun Islam mengatur tugas dan peranan kaum wanita sebagai anggota masyarakat, tugas dan peranan tersebut tidak boleh mengalahkan peranan dan fungsi utamanya sebagai ummu wa rabbat al-bayt (ibu dan pengatur rumah suaminya).

Sangatlah tepat ketika Islam memberikan tugas utama kepada wanita sebagai ibu. Melalui rahimnyalah anak-anak manusia dilahirkan. Penderitaan tidak ia rasakan demi buah hatinya, bahkan nyawa menjadi taruhannya. Ibu, bagaikan langit yang selalu memberikan perlindungan, bagaikan bumi sebagai tempat untuk berpijak dan bagaikan matahari yang memberikan kehangatan kepada anak-anaknya. Betapa mulianya seorang ibu sehingga diibaratkan syurga berada di bawah telapak kakinya.

Sebagai ibu, tentu saja kita tidak boleh mensia-siakan perkara ini. Kita perlu terus mengoptimumkan diri kita sehingga peranan dan fungsi kita sebagai ibu dalam mempersiapkan generasi unggul dapat dilaksanakan. Dengan merujuk kepada nas-nas dan pelajaran yang boleh kita dapati dari Rasulullah SAW dan juga para Sahabiyat, ada beberapa bekalan yang pelu kita miliki. Antaranya,

1- Memiliki ketakwaan yang tinggi

Ketakwaan ini dimanifestasikan ke dalam cata fikir dan tingkah laku yang sentiasa bersandar pada Islam. Allah SWT telah menjelaskan kepada kita bahawa kemuliaan seseorang adalah kerana ketakwaannya [Al-Hujuurat (49) : 13]. Dengan ketakwaan yang tinggi, seorang ibu akan memiliki keyakinan bahawa anak adalah amanah dari-Nya. Ibu seperti ini akan mendidik anaknya agar memahami hakikat dan tujuan hidup, menamkan keimanan yang kukuh sekaligus mengajar anak-anaknya untuk tunduk dan patuh pada aturan Sang Pencipta. Ibu akan muncul sebagai teladan bagi anak-anaknya melalui cara berfikir dan bertingkah laku. Ibarat kaset yang kosong, anak akan merakam segala tindak-tanduk orang tuanya terutama ibu.

2- Memiliki rasa kasih sayang yang benar

Seorang ibu mesti mampu mendidik anak-anaknya dengan rasa kasih dan sayang yang benar (iaitu dengan mendahulukan rasa cinta dan sayang kepada Allah dan Rasul melebihi segalanya), sehingga anak-anaknya sendiri akan memiliki rasa cinta dan kasih sayang yang benar terhadap Allah dan Rasul beserta orang tua dan keluarganya. Rasa cinta seorang ibu terhadap anaknya tidak menghalanginya untuk mendidik anaknya untuk menjadi seorang mujahid yang rela berkorban jiwa dan raganya untuk Islam. Begitu juga seorang anak tidak akan terhalang untuk mengorbankan apa yang dimilikinya untuk memperjuangkan tegaknya Islam walaupun dia perlu berpisah dengan kedua orang tuanya.

3- Memiliki pemahaman bahawa anak adalah aset perjuangan dan masa depan umat

Saat ini, umat sangat memerlukan pemimpin yang kuat dalam perjuangan untuk bangkit kembali sebagai khairu ummah sebagaimana yang sepatutnya [Ali Imraan (3) ; 110). Pemimpin yang kuat hanya akan lahir dan dibentuk dari ibu yang sangat arif tentang posisi anak sebagai aset perjuangan dan masa depan umat. Ibu yang memiliki kesedaran seperti ini akan berusaha untuk menumbuhkan jiwa kepemimpinan dalam diri seorang anak, membekalkan mereka dengan sifat-sifat terpuji bagi seorang pemimpin seperti mandiri, rela berkorban, lemah-lembut, bertanggungjawab, peduli terhadap masalah umat dan banyak lagi.

4- Memiliki kesedaran politik Islam

Kesedaran politik Islam bermaksud memahami dan meyakini bahawa pemeliharaan urusan-urusan umat perlu diatur dengan syariat Islam. Inilah bentuk kesedaran politik yang paling asas. Dengan demikian, seorang ibu juga perlu memiliki ilmu yang benar tentang syariat Islam, tentang cara penerapannya dalam kehidupan, siapa yang wajib menerapkannya, urusan apa yang menjadi hak dan kewajipan dan adakah hukum-hukum itu sudah dilaksanakan. Seorang ibu yang memiliki kesedaran politik Islam akab memiliki kepekaan yang tinggi dalam melihat kezaliman yang menimpa umat akibat tidak diterapkan sistem Islam. Dia juga akan berperanan untuk menghilangkan kezaliman itu ddngan aktiviti dakwah dan menjadikan anak-anaknya juga sebagai kader dakwah.

5- Memiliki ilmu dan wawasan yang luas tentang konsep pendidikan anak

Pada tataran praktik seorang ibu memerlukan “ilmu tambahan” terkait dengan konsep pendidikan anak-anak sesuai dengan tahap perkembangannya agar pembentukan generasi unggul dapat diwujudkan dengan baik termasuklah pengetahuan terkait masa emas anak yang perlu ditangani secara optimum oleh setiap ibu agar pembentukan dasar-dasar proses berfikir anak dan pertumbuhannya boleh dimaksimumkan. Begitulah, sangat jelas betapa besarnya perana dan posisi seorang ibu. Ia merupakan insan yang dekat dengan kasih sayang, kedamaian, pengorbanan dan pengabdian yang tulus tanpa memikirkan diri sendiri. Ibu memiliki peranan penting dan mewarnai corak sebuah generasi. Sebegitu tinggi penghargaan yang Islam berikan terhadap kaum ibu sehingga Rasulullah SAW mengatakan dalam hadisnya bahawa syurga berada di bawah kedua kakinya.

Jadi, wanita mana yang tidak mahu berperanan sebagai ibu?

Exit mobile version