Penglibatan kanak-kanak dalam sektor pekerjaan bukanlah isu baru. Bahkan sebelum pandemik, isu buruh kanak-kanak menjadi isu penting yang sering dibincangkan diperingkat global. Namun permasalahan ini masih tiada penyelesaian tuntas malah semakin membimbangkan tatkala krisis pandemik Covid-19 melanda dunia.
Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) pada 2020 telah memberikan peringatan bahawa pandemik Covid-19 berkemungkinan besar akan menyumbang pada bertambahnya jumlah kanak-kanak yang terpaksa bekerja, dan mereka cenderung terlibat dalam kegiatan yang membahayakan kesihatan. Hal ini juga bermakna akan berlakunya peningkatan jumlah kanak-kanak yang dieksploitasi dan dipaksa masuk ke dalam sektor pekerjaan. Dalam laporannya, ILO turut mengatakan bahawa sukar untuk menjangkakan kesan akibat implikasi ekonomi ketika pandemik akan melemahkan usaha perlindungan kanak-kanak menerusi penggubalan undang-undang. Padahal, perlindungan undang-undang ini sangat penting untuk memastikan agar kanak-kanak “boleh menikmati masa kanak-kanak mereka, mengembangkan potensi diri dan bebas dari hal-hal yang mengganggu perkembangan fizikal dan mental”. Menurut ILO lagi, terdapat sekitar 152 juta kanak-kanak berusia antara 5 hingga 17 tahun yang dipaksa bekerja.
Antara faktor penting yang mendesak kanak-kanak terjun ke sektor pekerjaan semasa krisis pandemik dalam skala besar adalah penutupan sekolah dan peningkatan kadar kemiskinan. Bila sekolah ditutup, ramai kanak-kanak kehilangan akses kepada pendidikan menyebabkan mereka sukar belajar dan membina potensi diri. Situasi ini sekaligus akan melarikan fokus kegiatan atau aktiviti utama golongan kanak-kanak semasa pandemik. Manakala krisis ekonomi yang melanda menyebabkan meningkatnya kadar kemiskinan juga akan memaksa mereka terlibat dalam pekerjaan untuk membantu keluarga.
Di Malaysia, laporan media tempatan mengenai nasib keluarga miskin bandar yang terkesan menyebabkan kanak-kanak dan remaja terpaksa membantu ekonomi keluarga bukanlah hal yang asing. Perubahan kegiatan utama kanak-kanak ketika pandemik ini tidak boleh dipandang ringan. Selain dari merisikokan mereka terhadap keciciran pelajaran dan gangguan terhadap pembinaan potensi diri, perubahan ini juga boleh menyebabkan kehidupan kanak-kanak terganggu baik dari segi emosi mahupun fizikal. Tidak dinafikan, sebahagian kanak-kanak menjadi matang bila menempuh ujian kehidupan, namun ada sebahagiannya kecundang dalam kemelut. Maka, jika masalah ini tidak ditanggapi dengan benar, kanak-kanak juga akan mengalami perubahan mind set atau cara berfikir yang akan mempengaruhi keperibadiannya di masa depan.
Selain dari faktor kemiskinan, faktor kehilangan ibu bapa atau salah seorang penjaga sebagai penafkah utama keluarga turut menjadi faktor yang memaksa sebahagian kanak-kanak dan remaja untuk terjun ke sektor pekerjaan demi kelangsungan diri dan keluarga. Misalnya seperti kisah adik Faris Danial yang dikongsikan dalam Sinar Harian, terpaksa menggalas tanggungjawab ketua keluarga pada usia 17 tahun, selepas bapanya meninggal pada September 2021 akibat Covid-19. Beliau membuat pelbagai kerja-kerja sampingan demi mendapat wang simpanan untuk membantu keluarga.
Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), kira-kira 1,500 pelajar seluruh negara menjadi anak yatim susulan pandemik sejak Mac 2020. Anak-anak yatim ini ditempatkan di bawah program berasaskan keluarga, manakala bagi yang tiada waris diuruskan oleh kerajaan untuk ditempatkan di bawah institusi khas kerajaan di bawah JKM. Selain itu bantuan bulanan RM1000 per keluarga turut diberikan.
Disebalik pelbagai insentif dan janji menarik yang tawarkan ini, persoalannya adakah ia benar-benar mencukupi untuk membantu kemelut yang melanda, memandangkan sudah banyak krisis ekonomi dan sosial sistemik yang membelenggu kehidupan manusia hari ini? Adakah krisis pelbagai cabang dan berangkai ini dapat diatasi seacara tuntas melalui polisi sedia ada? Adakah ia akan menjamin masa depan norma baru yang sejahtera bagi anak-anak korban Covid-19 ini?
Dari perbincangan dua isu yang saling berkaitan di atas, hal ini membuktikan bahawa krisis pandemik benar-benar memperparahkan masalah penglibatan kanak-kanak dan remaja dalam sektor pekerjaan, menjadi tulang belakang ekonomi keluarga. Masalah yang sebenarnya bukanlah baru tapi merupakan kemelut dan dilema sedia ada dalam sistem kapitalisme ini. Ekonomi berasaskan kapitalisme membuka ruang ekploitasi sumber tenaga manusia dari pelbagai peringkat untuk mengaut keuntungan semaksima mungkin. Bahkan dasar ekonomi kapitalisme juga tidak bersedia untuk menopang masa depan anak-anak kita secara percuma. Setiap sektor dalam negara yang menerapkan ekonomi kapitalisme hari ini menjadi penjana kewangan dan memerlukan kos tinggi termasuklah pendidikan, kebajikan dan kesihatan. Walhal sektor ini sangat penting dan sepatutnya boleh dinikmati secara percuma tanpa perlu menjadi kebimbangan rakyat. Justeru apabila berdepan dengan krisis, prinsip kapitalisme langsung tidak berguna untuk menyelamatkan manusia secara amnya. Sebaliknya akan mencampakkan manusia ke dalam lembah krisis yang lebih buruk saban hari. Hal ini terbukti dengan ketidaksaediaan negara-negara hari ini menghadapi krisis pandemik, telah turut mengorbankan kehidupan kanak-kanak dan remaja.
Sumber berita:
1. BBC.com (13 Jun 2020)
2. https://www.msn.com/…/pertambahan…/ar-AANKlSh…
3. https://api.hmetro.com.my/…/7-institusi-khas-tempatkan…
4. https://www.astroawani.com/…/anak-yatim-calon-spm-kerja…
5. https://premium.sinarharian.com.my/…/yatim-covid-19…
#KeluargaSejahtera #Generasi #KebangkitanGenerasi #COVID19 #pascacovid19

