Orang zalim akan selalu ada pada setiap zaman. Ketika dia berkuasa, dia menjadi penguasa diktator. Setiap keputusan-keputusannya menzalimi rakyat. Namun Allah SWT menunda seksaan dan ajal mereka agar mereka kian bertambah zalim dan melampaui batas. Mengapa demikian? Allah SWT berfirman, “…kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia), dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat kelak).” [TMQ Ali-Imraan (3): 178]
Allah SWT juga memberi ancaman pada orang-orang zalim dengan mendahulukan hukuman mereka di dunia sebelum kembali ke akhirat kerana hinanya kezaliman yang mereka lakukan dan buruknya kesan terhadap rakyatnya. Rasulullah SAW bersabda, “Tidak ada sesuatu yang aku patuhi kepada Allah di dalamnya (amalan itu) yang lebih cepat mendapat ganjaran lebih dari menyambung tali silaturrahim dan tidak ada sesuatu yang lebih cepat hukumannya dari melakukan kezaliman dan memutuskan silaturrahim.” (HR Baihaqi)
Demikianlah balasan bagi orang zalim. Bagi mereka, pengakhiran hidup yang sangat menyakitkan. Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah akan menangguhkan seksaan bagi orang yang berbuat zalim. Apabila Allah telah menghukumnya, maka Dia tidak akan pernah melepaskannya.” Kemudian Rasulullah membacakan ayat yang berbunyi “Dan demikianlah azab Tuhanmu, apabila ia menimpa (penduduk) negeri-negeri yang berlaku zalim. Sesungguhnya azabNya itu tidak terperi sakitnya, lagi amat keras serangannya.” [TMQ Hud (11): 102]
Catatan Sejarah
Sejarah telah mencatatkan pengakhiran hidup orang yang zalim adalah amat hina dan menyedihkan. Firaun mati tenggelam di Laut Merah. Kaum Aad dan Tsamud yang berlaku zalim juga dihancurkan dengan hukuman yang pedih. Kaum Tsamud dihancurkan oleh Allah dengan thaagiah (suara yang sangat kuat). Kaum Aad pula dihancurkan dengan badai angin yang sangat dingin dan kencang selama lapan hari tujuh malam. Begitu juga dengan Raja Namrud yang mati kerana serangan nyamuk. Abu Jahal tewas menyedihkan di Badar. Ataturk mati membusuk di ranjang. Kekuasaan mereka tidak abadi sementara jejak kezaliman mereka kekal sehingga kini
Imam Al-Ghazali menulis di dalam kitabnya yang berjudul Ihya’ Ulumuddin (2/74), “Sungguh beruntung orang yang jika mati maka mati juga dosa-dosanya. Dan celaka seseorang yang mati dan dosa-dosanya tetap mengalir seratus tahun, dua ratus tahun atau lebih. Dia diseksa di kuburnya kerana dosa yang terus mengalir dan diminta pertanggungjawaban atasnya sehingga berakhirnya dosa tersebut.”
Ingatlah wahai pelaku kezaliman. Sungguh, jika kalian sedang berkuasa, kekuasaan kalian tidak akan abadi dan hanya akan berakhir dengan pengakhiran yang menyedihkan. Segeralah bertaubat jika Allah masih berikan kesempatan untuk hidup. Sungguh tempat kembali yang kekal bagi manusia hanya dua. Syurga atau neraka. Jalan yang manakah yang akan kita pilih dan pergi?
Sumber : https://www.muslimahnews.com/2021/10/27/nafsiyah-akhir-hidup-orang-zalim/

