Site icon MuslimahHTM News

Hubungan Mertua dan Menantu, Bagaimana Pengaturannya dalam Islam?

Penulis: Najmah Saiidah

Perkahwinan bukan sekadar menyatukan dua insan dalam satu perjanjian (mitsaqan ghalizhan), ianya lebih dari itu. Berkahwin bermaksud menyatukan dua keluarga besar dengan latar belakang yang berbeza bahkan banyak yang saling bertentangan. Akidah Islam dan ilmu pemahaman hukum-hukum syarak akan menjadikan hubungan dua keluarga besar ini terjalin dengan baik, menjadi harmoni dan saling mendukung antara satu sama lain.

Melalui pernikahan, terjalin satu hubungan silaturrahim yang luas antara dua keluarga. Pengaruh hubungan ini berlangsung hingga ke akhirat kelak ketika Allah meminta pertanggungjawaban pada setiap hamba-Nya. Firman Allah SWT yang berbunyi “Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” [TMQ An-Nisaa’ (4): 1]

Jadi, bagaimana Islam mengatur hubungan silaturrahim dan bagaimana pula syariat Islam mengatur hubungan menantu dan mertua?

1. Islam memposisikan mertua sebagaimana ibu bapa kandung

Ketika seseorang berkahwin, dia akan memiliki ibu bapa yang baru iaitu mertua. Mertua adalah orang paling dekat dengan kita selain keluarga. Merekalah yang mengasuh dan merawat pasangan kita dari kecil sehingga dewasa. Berkat redha dan doa restunya jugalah, perkahwinan kita dapat dilaksanakan dengan penuh keberkatan. Posisi mereka adalah seperti ibu bapa kandung. Bezanya, mereka tidak mewarisi atau diwarisi serta tidak ada ikatan perwalian antara menantu dan mertua.

Sebagai pasangan, kita memiliki kewajipan untuk memelihara hubungan silaturrahim antara mertua dan anaknya. Sedangkan sebagai menantu, kita juga berkewajipan untuk memuliakan mertua sebagaimana anaknya yang wajib memuliakan kedua orang tuanya. Allah SWT berfirman, “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.” [TMQ An-Nisaa’ (4): 36]

Ayat di atas memberikan kita pemahaman bahawa wajib untuk kita menghormati mertua, menyayangi mereka, menjaga kehormatan dan hartanya serta mentaati perintahnya selama dia tidak bertentangan dengan syariat Allah dan Rasul-Nya. Kita juga tidak boleh menghalang suami untuk berbakti kepada orang tuanya. Terdapat hadis yang menjelaskan perkara ini, “Yang paling berhak atas seorang wanita adalah suaminya. Yang paling berhak atas seorang lelaki adalah ibunya.” (HR Tirmidzi).

Ketika anda memutuskan untuk berkahwin, ia bermaksud anda juga perlu bersedia menerima pasangan dan keluarganya. Redha dan murka kedua ibu bapa masing-masing sangat mempengaruhi keadaan suami isteri di dalam rumahtangga. Kerana itu, pasangan yang baik adalah mereka yang menganjurkan pasangannya untuk sentiasa berbuat baik pada kedua orang tuanya.

2. Mertua dan menantu menjadi mahram kerana perkahwinan

Secara bahasa, mahram berasal dari perkataan “harama”. Dalam kamus Al-Munawwir, perkataan مَحْرَمٌ berasal dari kata حَرَمَ – يَحْرُمُ – حَرَمًا وَمَحْرَامًا yang bermaksud ‘mencegah”. Sedangkan kata مَحْرَمٌ sendiri membawa maksud ‘yang haram’ atau ‘terlarang’. Secara istilah, ‘mahram” bermaksud semua orang yang haram dinikahi selama-lamanya atas sebab nasab, penyusuan dan perkahwinan (Imam Ibnu Qudamah dalam Al-Mughni). Ibnu Hajar al-‘Asqalani dalam Fathul Bari dan Imam an-Nawawi dalam Syarah Shahih Muslim menjelaskan yang dimaksudkan dengan mahram adalah ‘setiap lelaki yang haram menikahinya, selamanya, disebabkan oleh faktor yang mubah, lantaran kemuliaannya’. Syeikh Atha’ bin Abu Rusytah mengemukakan bahawa mahram adalah lelaki yang termasuk dalam kelompok muhaarim perempuan (orang yang haram dinikahi perempuan).

Berkenaan siapa saja mahram, Allah telah menjelaskannya di beberapa ayat Al-Quran. Antaranya di dalam surah An-Nuur,

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” [TMQ An-Nuur (24): 31]

Imam Qurthubi dalam tafsirannya berkata, “Makna bu’uulatihinna adalah suami dan tuan bagi hamba wanita. Dari ayat-ayat ini, dapat kita fahami bahawa yang termasuk mahram kerana perkahwinan adalah suami, bapa mertua yang mencakup bapa suami atau bapa dari ayah dan ibu suami juga bapa-bapa di atas mereka, anak tiri (anak suami dari isteri lain) dan seterusnya, iaitu cucu tiri baik cucu dari anak tiri lelaki ataupun perempuan, bapa tiri dan menantu lelaki (suami anak kandung)”

3. Diharamkan berkahwin antara menantu dan mertua

Dari penjelasan sebelumnya, kita memahami bahawa mertua dan menantu bermahram kerana sebab pernikahan. Kerana itu, hukum-hukum terkait dengan mahram terpakai ke atasnya termasuklah tentang pernikahan dengan mahram. Kerana itu, haram hukumnya bagi menantu untuk berkahwin dengan mertua dan perkara ini disepakati oleh para ulama. Dalilnya jelas dalam surah An-Nisaa’, “Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu kecuali apa yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji, dan dibenci (oleh Allah), serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan).” [TMQ An-Nisaa’ (4): 22]

Berdasarkan ayat tersebut, Ibnu Katsir menyatakan, ibu isterinya (ibu mertua) menjadi mahram cukup dengan berlangsungnya akad nikah ke atas anak perempuannya baik sudah berhubungan badan ataupun belum. Keharaman tersebut adalah mutlak dan bersifat kekal. Walaupun seorang lelaki telah menceraikan isterinya, tidak kisah sama ada isteri itu sudah disetubuhi ataupun belum, ataupun pasangannya sudah meninggal dunia, ibu atau bapa mertua tetap haram untuk berkahwin dengan menantunya. Tidak ada istilah bekas menantu atau bekas mertua kerana mereka selamanya tetap dalam status menantu dan mertua.

4. Menantu tidak wajib menafkahi mertuanya

Lelaki yang telah berkahwin wajib untuk menafkahi isterinya. Adapun mertua tidak termasuk dalam tanggungjawab wajib menantunya. Dengan demikian, Islam tidak membenarkan seorang isteri mengambil harta suaminya kemudian diberikan kepada orang tuanya kecuali dengan izin serta keredhaan suami. Jadi, siapakah yang wajib menafkahi mertua?

Menafkahi mertua yang kurang mampu atau tidak mampu lagi memenuhi keperluan hariannya atau telah uzur/tua adalah kewajipan anak lelakinya. Sekiranya seorang isteri memiliki harta peribadi (bukan harta suami) dan harta tersebut melebihi keperluannya, maka bernilai pahala baginya jika dia menafkahi kedua orang tuanya yang fakir. Secara umum, menafkahi kedua orang tua adalah kewajipan anak-anaknya. Perkara itu merupakan bentuk bakti kepada orang tuanya. Ibnul Mundzir berkata, “Telah sepakat ahli ilmu bahawa nafkah kedua orang tua yang fakir yang tidak memiliki penghasilan dan tidak memiliki harta adalah sebuah kewajipan pada harta seorang anak.”

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin Aisyah ra, Nabi SAW bersabda, “Sungguh sebaik-baik makanan yang dimakan oleh seseorang adalah dari hasil usahanya dan sesungguhnya anaknya adalah sebahagian dari hasil usahanya.” (HR Abu Dawud). Para ulama berpendapat bahawa hadis ini menerangkan bahawa orang tua memiliki hak atas harta anaknya dengan syarat-syarat yang telah ditentukan oleh syarak. Pada dasarnya, menantu lelaki tidak wajib menafkahi mertuanya. Hanya saja ia merupakan sesuatu yang baik dan mendatangkan pahala serta keberkatan jika menantu lelaki mengizinkan isteri menggunakan lebihan harta darinya untuk kedua orang tuanya, lebih-lebih lagi jika mertuanya dalam keadaan sukar mencari nafkah.

Khatimah

Begitulah, perkahwinan merupakan penyatuan dua keluarga yang memiliki latar belakang yang berbeza. Kerana itu, diperlukan usaha keras agar kehidupan keluarga kita dan pasangan berlangsung dengan harmoni. Semua akan terwujud dengan baik jika semua pihak menjadikan syariat Islam sebagai pijakan dalam menjalaninya lebih-lebih lagi pihak yang paling dekat hubungannya iaitu mertua dan menantu. Semoga dengan memahami aturan Islam terkait perkara ini, akan terjalin hubungan yang baik, harmoni dan penuh keberkatan di antara dua keluarga besar. Wallahualam.

Exit mobile version