Site icon MuslimahHTM News

KESAN KRISIS PANDEMIK TERHADAP KANAK-KANAK: MASALAH SOSIAL

Akibat dari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas rakyat, terdapat banyak masalah yang timbul dalam segenap aspek termasuklah masalah sosial di kalangan remaja dan kanak-kanak. Sepanjang PKP, anak-anak terpaksa meneruskan sesi pembelajaran di rumah (PdPr). Kebanyakan anak-anak meluangkan banyak masa bersendiri bersama peranti elektroniknya sepanjang sesi pembelajaran. Keadaan ini menyebabkan anak-anak terdedah dengan dunia digital tanpa batas dan pengawasan sewajarnya. Selain itu, `overexposure’ terhadap gadget juga menyebabkan sebahagian kanak-kanak mengalami sindrom ketagihan gadget. Namun, apa yang lebih menggusarkan adalah anak-anak juga bebas mengakses dunia digital tanpa sempadan ini dengan mudah tanpa kawalan. Hal ini menyebabkan anak-anak terdedah dengan pelbagai ancaman berupa isi kandungan yang tidak sesuai, yang terdapat di alam maya, seperti laman-laman pornografi, drama atau filem dewasa yang mengandungi unsur-unsur keganasan, elemen-elemen seksual atau pelbagai adegan yang tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak mahupun remaja. Misalnya aplikasi popular tanpa tapisan seperti Netflix yang menyajikan pelbagai jenis drama dan filem dari luar negara. Tidak kurang juga pelbagai rangkaian TV yang menyajikan aneka program berunsur hedonisme dan liberal yang merosakkan pemikiran generasi seperti program hiburan K-pop, rancangan-rancangan realiti yang menormalisasikan pergaulan bebas dan `enjoyment’ diluar batasan syarak. Selain itu, mereka juga boleh mengakses dunia pornografi dan bahan terlarang lain secara mudah dengan menggunakan Virtual Private Network (VPN) atau rangkaian komputer persendirian yang dihubungkan melalui rangkaian awam atau internet. Dengan adanya VPN ini anak-anak boleh mengakses dunia tanpa sempadan tanpa halangan, sekaligus menjadikan mereka semakin rentan terhadap impak negatif globalisasi dunia digital.

Kebimbangan ini didasarkan pada statistik dalam laporan Berita Harian (23/9/2019) mendedahkan kajian yang dilakukan pihak Malaysians Against Pornografi (MAP) pada 2018, dimana data yang diperoleh amat mengejutkan apabila kira-kira 80 peratus kanak-kanak berusia antara 10 hingga 17 tahun telah menonton pornografi secara sengaja. Sementara hampir 89 peratus daripada kanak-kanak berusia 13 hingga 17 tahun menjadi mangsa antun (sexual grooming) dalam talian.

Keadaan ini membuktikan tahap kronik anak-anak yang terdedah dan terpengaruh dengan anasir-anasir yang tidak sewajarnya mereka terlibat pada usia mereka. Atau dengan erti kata lain anak-anak ini telah menjadi mangsa dunia arus digital yang membawa mereka kepada kebinasaan sekiranya masalah ini terus berlanjutan. Ironinya, anak-anak yang dijangka selamat berada di rumah sendiri ternyata tidak lagi selamat kerana industri digital tanpa sempadan ini membuka begitu banyak pintu ancaman kepada generasi Z dan Alpha ini.

Bermula dari keseronokan mengakses dunia hiburan, kanak-kanak seterusnya terjebak dalam menonton pornografi. Situasi ini diperparahkan lagi bila mana mereka turut terlibat dalam pergaulan bebas di laman sosial. Justeru, apabila anak-anak terjebak menonton pornografi, menyebabkan ketagihan dan mendorong mereka ke kancah gejala yang tidak bermoral dan bertentangan dengan hukum syarak seperti melakukan zina. Situasi yang membimbangkan ini ternyata bukan sekadar teori atau prasangka apabila Sinar Harian (5/9/2021) melaporkan bahawa berlaku peningkatan kes jenayah rogol dan sumbang mahram ketika pandemik Covid-19 dan PKP di negeri Kelantan. Sebanyak 65 kes dilaporkan dari Januari hingga Julai berbanding 54 kes dalam tempoh sama, tahun lepas. Mangsa yang terbabit berusia dari 13 hingga 16 tahun manakala pelaku berusia belasan tahun hingga 30-an. Kebanyakan kes ini melibatkan pasangan suka sama suka, yang berkenalan di laman sosial, dan merupakan kawan sekolah. Namun kerana pihak yang terlibat di bawah umur, jadi kes dikategorikan sebagai jenayah rogol. Inilah permasalahan sosial berantai yang bermunculan akibat daripada industri digital yang didominasi oleh budaya sekular-kapitalis-liberal.

Kebebasan dalam mengakses laman-laman pornografi ini telah menyebabkan ransangan seksual yang tidak terbendung seterusnya mengundang jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan remaja itu sendiri. Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mendedahkan bahawa enam kanak-kanak dan remaja menjadi mangsa jenayah seksual setiap hari sejak 2018. Dalam laporan Kosmo (3/11/2021) Ketua Penolong Pengarahnya, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 6,897 kes jenayah seksual ke atas kanak-kanak dan remaja dicatatkan pada 2018 hingga 2020. Sebanyak 2,010 kes jenayah seksual yang diterima melibatkan dua golongan itu pada 2018, 2,297 kes (2019) dan 2,590 kes (2020). Daripada jumlah itu, 3,324 kes melibatkan rogol; Akta Ke­salahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (2,483 kes), sumbang mahram (708 kes), rogol berkumpulan (175 kes), seks luar tabii (120 kes), pornografi kanak-kanak (54 kes), pengantungan kanak-kanak (25 kes) dan cabul (8 kes). Angka kes ini terus meningkat walaupun ketika negara dilanda pandemik Covid-19 sejak awal tahun lalu. Tambah beliau lagi, jumlah kes yang diterima tahun lalu membabitkan jenayah rogol adalah 1,105 kes diikuti Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak sebanyak 1,100 kes.

Berdasarkan statistik di atas, menunjukkan masalah gejala sosial dan jenayah melibatkan kanak-kanak dan remaja menjadi isu yang genting. Pasti ramai yang tertanya-tanya mengapa hal ini boleh berlaku ke atas anak-anak tempatan kita? Hal demikian kerana industri digital di Malaysia mengamalkan dasar terbuka. Walaupun kita mempunyai badan khusus yang mengawal bahan-bahan penyiaran dan aktiviti-aktiviti terkait industri digital dan multimedia, iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia Malaysia (SKKM), namun fungsi dan peranan suruhanjaya ini tidak menyeluruh. Ya, terdapat laman-laman yang disekat, namun masih terdapat banyak lagi laman dan aplikasi yang menyajikan isi kandungan yang tidak senonoh boleh diakses dengan bebasnya disebabkan dasar terbuka dunia digital tempatan.

Tidak boleh dinafikan tidak bahawa masalah ini adalah masalah yang berpunca daripada kegagalan negara yang sepatutnya boleh menyekat dan menghalang kandungan luar dari masuk ke dalam negara, termasuklah menutup kebebasan akses ke laman sesawang dan aplikasi tidak bermoral secara menyeluruh. Namun, ianya tidak berlaku. Inilah bahana kehidupan pada hari ini yang berlandaskan pada kebebasan dan sekularisme yang jauh sekali dari kehidupan yang berpaksikan hukum syarak. Jika keadaan ini berterusan tanpa tindakan yang tuntas, apakah yang bakal dihadapi generasi kita? Apakah jenis generasi yang akan kita lahirkan pada masa akan datang? Sewajarnya semua pihak buka mata dan bertindak dengan segera dan sedarlah bahawa generasi hari ini adalah penerus kehidupan masa depan, penerus agama dan syariat Allah. Bagaimana mampu kita mempersiapkan mereka memikul amanah Allah sedangkan kita tidak memelihara mereka daripada ancaman industri digital sekular?

Wallahu’alam.

Sumber rujukan berita:

1)  https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/03/544573/80-peratus-kanak-kanak-10-17-tahun-tonton-pornografi

2)  https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/09/751288/kes-rogol-meningkat-ketika-pandemik-covid-19-pkp-metrotv

3)  https://www.kosmo.com.my/2021/11/03/jadi-pelindung-bukan-perosak-kanak-kanak/

Exit mobile version