:عن أبي هريرة رضي اللَّه عنه قال
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَقُولُ « اللَّهُمَّ أَصْلِحْ لِى دِينِىَ الَّذِى هُوَ عِصْمَةُ أَمْرِى وَأَصْلِحْ لِى دُنْيَاىَ الَّتِى فِيهَا مَعَاشِى وَأَصْلِحْ لِى آخِرَتِى الَّتِى فِيهَا مَعَادِى وَاجْعَلِ الْحَيَاةَ زِيَادَةً لِى فِى كُلِّ خَيْرٍ وَاجْعَلِ الْمَوْتَ رَاحَةً لِى مِنْ كُلِّ شَرٍّ »
Dari Abu Hurairah ra. berkata, “Rasulullah SAW pernah berdoa sebagai berikut: “Allahumma ashlih lii diiniilladzii huwa ‘ishmatu amrii, wa ashlih lii dun-yaayallatii fiihaa ma’aasyii, wa ash-lih lii aakhirotiillatii fiihaa ma’aadii, waj’alil hayaata ziyaadatan lii fii kulli khoirin, waj’alil mauta roohatan lii min kulli syarrin.”
Maksudnya :
“ Ya Allah Ya Tuhanku, perbaikilah bagiku agamaku sebagai benteng (ishmah) urusanku; perbaikilah bagiku duniaku yang menjadi tempat kehidupanku; perbaikilah bagiku akhiratku yang menjadi tempat kembaliku! Jadikanlah ya Allah kehidupan ini mempunyai nilai tambah bagiku dalam segala kebaikan dan jadikanlah kematianku sebagai kebebasanku dari segala kejahatan.“ (HR Muslim No. 2720)
Iktibar dan pelajaran yang terdapat dalam hadis ini :
- Islam adalah benteng yang melindungi seseorang agar tidak terjerumus dalam kesalahan dan dosa, serta menjaganya dari kesesatan atau mengikuti hawa nafsu.
- Seorang Muslim hendaklah beramal untuk dunianya seakan-akan ia hidup selamanya dan beramal untuk akhiratnya seakan-akan ia akan mati esoknya.
- Umur panjang seorang Muslim hendaklah dijadikan peluang untuk menambah amalan kebaikan dan ketaatan.
- Kematian adalah kebebasan dari segala kejahatan. Maksudnya, boleh jadi ketika seseorang itu hidup di dunia, dia disakiti dan diganggu oleh pelbagai pihak ketika berdakwah dan membawa kebenaran. Oleh karena itu, kematian itulah yang akan dapat membebaskannya dari pelbagai kejahatan yang perlu ia hadapi.
- Hidup ini adalah sementara dan kematian pasti datang, maka hendaklah setiap individu memperbaiki ibadahnya dan mengukuhkan amalannya, bertawakal, dan sentiasa meminta pertolongan Allah SWT.
- Semoga doa pendek yang penuh bermakna ini dapat kita hafal dan amalkan serta kita dapat manfaat darinya.
Pengajaran Hadis Berkaitan Dengan Al-Quran
Doa ini memohon kepada Allah agar dikurniakan semua kebaikan di dunia dan meminta supaya dijauhkan dari semua keburukan. Sesungguhnya kebaikan di dunia ini merangkumi semua yang dihajati dalam kehidupan dunia, seperti kesihatan, rumah yang lapang, isteri yang baik, rezeki yang banyak, ilmu yang bermanfaat, amal yang soleh, kenderaan yang mudah dan tuturkata yang baik serta pelbagai kebaikan yang lain lagi. Itu semua terangkum dalam pengertian kebaikan di dunia.
Adapun mengenai kebaikan di akhirat, yang paling tinggi ialah mendapat redha Allah SWT dan dapat masuk syurga dengan ihsanNya. Kebaikan di akhirat juga termasuk terselamat dari rasa takut yang amat besar di padang mahsyar, dimudahkan proses hisab dan dijauhkan dari azab neraka.
Firman Allah SWT :
وَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ , أُولَئِكَ لَهُمْ نَصِيبٌ مِمَّا كَسَبُوا وَاللَّهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ
“Maka di antara manusia ada orang yang berdoa, ‘Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia,’ dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat. Dan di antara mereka ada orang yang berdoa, ‘Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa neraka.’ Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan; dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya.” [TMQ Al-Baqarah (2): 201-202]

