Site icon MuslimahHTM News

Suami Berdakwah, Isteri Raih Pahala

Kehidupan berkeluarga dari pasangan suami isteri yang memahami kewajipan berdakwah tentu saja memberi kesan yang berbeza dengan kehidupan keluarga muslim pada umumnya. Mereka memahami dengan jelas dan benar tentang seruan Allah untuk melakukan aktiviti amar makruf nahi mungkar kerana sebagai hamba Allah, tidak kiralah lelaki mahupun perempuan, memikul kewajipan tersebut.

Jadi, bagaimana sepatutnya sikap seorang isteri yang nafkahnya sudah terpenuhi tetapi suami memiliki aktiviti lain iaitu dakwah? Adakah isteri perlu redha menerima keadaan yang dimana kadangkala suami tidak ada bersama untuk melakukan tugas harian di rumah dek kerana berbagai amanah dakwah bahkan waktu-waktu suami berbahagi dengan waktu belajar (menuntut ilmu). Mungkinkah isteri akan mengatakan bahawa suami kurang bertanggungjawab atau kurang peduli terhadap keluarga?

Duhai para isteri, jangan tergesa-gesa mengatakan bahawa suami kurang peduli, kurang bertanggungjawab. Fahamilah bahawa amanah dakwah yang suami tunaikan merupakan kewajipan yang datangnya dari Allah SWT. Selain memenuhi kewajipan sebagai ketua keluarga, ada hak Allah juga yang perlu suami tunaikan.

Sokong Aktiviti Suami

Seorang isteri sepatutnya mendukung aktiviti suami. Pertama, jika suami sedang belajar di rumah, berusahalah untuk tidak “mengganggu” dan menjaga anak-anak. Kedua, isteri perlu redha ketika suami keluar rumah untuk menuntut ilmu dan berdakwah sehingga kadang-kadang suami perlu meninggalkannya dalam waktu tertentu. Ketiga, jangan selalu protes jika suami meninggalkannya untuk perkara kebaikan agar sang suami dapat fokus berdakwah di luar. Keempat, doakanlah suami agar diberi kemudahan oleh Allah SWT untuk menunaikan setiap amanah dakwah. Insya Allah banyak kebaikan dan pahala yang akan isteri dapatkan jika dia redha atas aktiviti dakwah suaminya.

Rasulullah SAW bersabda, “… Fahamilah wahai ibu dan beritahulah para wanita di belakangmu bahawa ketaatan isteri kepada suaminya, usahanya untuk memperoleh redhanya dan kepatuhannya terhadap keinginannya menyamai semua itu.” (Usudul Ghaayah fi Ma’rifatis Shahabah. 7: 17. Darul Kutub Al-‘Ilmiyah).

Sabda Nabi SAW di atas menggambarkan bahawa pahala kebaikan yang akan isteri perolehi jika dia taat dan redha atas suaminya adalah menyamai pahala jihad dan dakwah. Oleh kerana itu, janganlah khuatir duhai isteri. Jika suami keluar berdakwah, itulah peluang untuk isteri meraih banyak pahala yang sungguh luar biasa. Belajarlah dari Sahabiyah Asma binti Abu Bakar yang setia mendampingi Zubair bin Awwam dalam kehidupan dan perjuangannya. Asma pernah berkata, “Zubair menikahiku, sedangkan dia tidak memiliki apa-apa kecuali kudanya. Akulah yang mengurusnya dan memberinya makan dan aku juga yang menyirami pokok kurma dan mencari air. Aku juga yang mengusung kurma setelah dipotong Rasulullah dari tanahnya Zubair. Aku juga yang membawa kurma dengan mengangkatnya di atas kepalaku dan berjalan sejauh dua pertiga farsakh (batu).”

Inilah dia contoh seorang isteri hebat yang sanggup susah senang bersama suaminya dalam keadaan suka dan duka. Janganlah dipersoalkan kesetiaanya mendampingi perjuangan sang suami. Tentu saja banyak ujian yang dia hadapi. Sungguh, seorang wanita yang mentaati suaminya di rumah ketika suaminya pergi berdakwah akan mendapatkan pahala setara usaha sang suami. Oleh kerana itu, bersabar dan dukunglah suamimu wahai para isteri. Kurangkan mengeluh dan gantilah dengan doa-doa kepada Allah agar suami mendapat kemudahan serta pertolongan dalam dakwahnya. Jadilah isteri yang berusaha membantu suami dalam memenuhi hak-hak Allah.

Ketahuilah bahawa suami yang memenuhi hak-hak Allah tidak akan mengabaikan pemenuhan hak-hak manusia terutamanya hak isteri dan anak-anaknya. Masya Allah!

Sumber : https://www.muslimahnews.com/2021/11/06/nafsiyah-suami-berdakwah-istri-raih-pahala/

Exit mobile version