SABTU, 27 November 2021- Masa depan yang bakal menimpa sejumlah besar anak yatim pascapandemik perlu difikirkan oleh semua pihak. Keprihatinan akan isu ini tidak sewajarnya terhenti sekitar perbincangan hukum fikih namun meliputi isu politik dengan memastikan peranan masyarakat dan negara berjalan seiring sesuai perintah Allah SWT. Ini penting bagi merealisasikan cita-cita mulia ke arah kebangkitan generasi Islam sebenar.
Bertemakan kempen Keluarga Sejahtera yang telah dilancarkan bermula awal November sehingga penghujung Disember 2021, Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) telah mengadakan Forum Muslimah Online dengan mengangkat tajuk “Cabaran dan Harapan Kebangkitan Generasi PascaCovid-19”. Majlis yang berlangsung selama lebih dari 2 jam, dengan penyertaan lebih dari 300 orang peserta muslimah ini dimulakan dengan alunan bacaan ayat suci Al-Quran oleh saudari Afiqah Izzati. Forum ini menampilkan Puan Samsia Izzah selaku moderator dan dua ahli panel jemputan khas iaitu Dr Aslam Diyana dan Puan Iman. Kedua-dua ahli panel telah mengetengahkan kepedulian utama dalam tema forum ini iaitu nasib anak-anak yatim mangsa Covid-19 yang semakin meningkat dan kesannya terhadap masa depan generasi kita. Penerangan padat meliputi pelbagai sudut terkait anak yatim termasuklah pendefinisan anak yatim, isu-isu penafkahan dan hak penjagaan, pembelaan masa depan mereka dan cabaran-cabaran yang terpaksa diharungi dalam realiti kehidupan hari ini. Selain itu, penjelasan turut merangkumi pengurusan anak yatim dalam Islam, termasuklah kutipan dari sirah dan sejarah para khalifah dalam menyantuni anak yatim.
Alhamdulillah forum ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari para peserta online yang bersemangat mengajukan pelbagai persoalan dan pandangan terkait isu ini. Hal ini sekaligus menunjukkan isu cabaran generasi khususnya anak yatim benar-benar menjadi kepedulian para muslimah yang hadir. Forum ini diakhiri dengan sesi bergambar dan bacaan doa oleh saudari Hani. Semoga semua peserta yang hadir mendapat input yang bermanfaat dan semakin sedar akan kewajipan politik serta pentingnya pembelaan terhadap generasi berlandaskan syariat. Bagi menjamin masa depan generasi yang benar-benar berkualiti dan mampu mendepani cabaran masakini adalah dengan menyediakan nuansa persekitaran yang Islami, yang menjadikan syariat Islam sebagai pasak sistem kehidupan. Sesungguhnya, hanya dengan sistem kehidupan yang benar-benar Islami-lah juga yang akan menjamin pemenuhan hak anak-anak yatim secara adil dan tuntas menurut kehendak syariah, sekaligus menjadi benteng dalam mengekang cabaran-cabaran sistemik yang merintangi kehidupan mereka hari ini.
Sekian, wallahu’alam.

