Oleh: Dr Aslam Diyana Selamat
Kematian akibat jangkitan virus COVID19 ini terus meningkat meskipun usaha pemberian vaksin di setiap negara dijalankan secara intensif sebagai usaha kawalan jangkitan. Malah data terkini kes kematian COVID19 seluruh dunia melalui perangkaan WHO akibat wabak ini telah mencecah 5 juta. Sementara kes kematian COVID19 di Malaysia hampir mencecah 30,000 ribu nyawa yang mana sebilangan besarnya terdiri dari kelompok warga emas dan golongan dewasa berusia 30 tahun ke atas.
Realiti hidden pandemic iaitu kesan tersembunyi dari pandemik khususnya terhadap institusi kekeluargaan telah mula mendapat perhatian dan menjadi topik perbincangan di seluruh dunia termasuklah Malaysia. Bahkan kerajaan Malaysia juga baru-baru ini memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia dan memperuntukkan sejumlah peruntukan yang besar dalam Belanjawan 2022 bagi mencapai hasrat ini. Kes kematian COVID19 yang tinggi dari golongan dewasa telah menyebabkan lebih 2 juta kanak-kanak kehilangan ibu bapa atau penjaga di seluruh dunia. Kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata oleh sejumlah besar kanak-kanak ini merupakan satu pengalaman trauma yang meninggalkan kesan psikologi mendalam terhadap jiwa mereka.
Sehingga kini, tidak dapat dipastikan sejauh mana nasib kanak-kanak malang ini dipelihara agar tidak tercicir dari peluang kehidupan yang lebih baik. Malah, apa yang lebih menggusarkan apabila terdapat pihak tertentu yang sering mengintai dan merebut peluang ke atas realiti ini dengan memanipulasi kanak-kanak ini bagi kepentingan tertentu. Persoalannya, sejauh mana sistem perundangan dalam kehidupan sekarang benar-benar dapat memelihara dan memberi perlindungan serta jaminan kehidupan terhadap sejumlah besar kanak-kanak yang telah kehilangan tempat bergantung hidup ini ?
Firman Allah : “ Dan mereka bertanya kepadamu tentang anak yatim, katakanlah : Mengurus urusan mereka secara patut adalah baik dan jika kamu mengauli mereka, maka mereka adalah saudaramu. Dan Allah mengetahui siapa yang membuat kerosakan dari yang mengadakan perbaikan, dan jikalau Allah menghendaki, nescaya Dia dapat mendatangkan kesulitan kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana. ”(TMQ al-Baqarah(2): 220 )
Lagi Sabda Nabi SAW:
مَنْ قَبَضَ يَتِيمًا مِنْ بَيْنِ الْمُسْلِمِينَ إِلَى طَعَامِهِ وَشَرَابِهِ أَدْخَلَهُ اللَّهُ الجَنَّةَ الْبَتَّةَ إِلاَّ أَنْ يَعْمَلَ ذَنْبًا لاَ يُغْفَرُ لَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang memelihara anak yatim dan memberinya makan dan minum niscaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga kecuali jika dia melakukan dosa yang tidak dapat diampuni.” (HR Tirmizi, no. 1917)
Sesungguhnya syariat Islam mengutamakan anak yatim dan menjunjung tinggi orang yang menjaga serta memeliharanya. Bahkan terbukti sepanjang era peradaban Islam ramai tokoh ulama hebat yang telah dicetak meskipun membesar sebagai seorang yatim termasuklah junjungan besar Nabi saw, tauladan pemimpin agong sepanjang zaman. Oleh itu, kita sangat mendambakan sebuah sistem kehidupan yang benar-benar mampu melindungi hak anak-anak yatim oleh setiap individu yang wajib bertanggungjawab ke atas mereka secara keseluruhannya merangkumi hak penjagaan, pewarisan harta serta pembangunan intelektual, spiritual dan emosi.

