Site icon MuslimahHTM News

[RINGKASAN EKSEKUTIF] MASA DEPAN ANAK YATIM: PERANAN WARIS DAN NEGARA

Oleh : Puan Iman Farhana

Kanak-kanak merupakan generasi pemimpin pada masa hadapan. Namun, pengabaian hak kanak-kanak dalam pelbagai aspek pasti memberi kesan kepada prestasi masa depan mereka. Hakikatnya, pengabaian kanak-kanak benar-benar sedang terjadi.  Ada kanak-kanak yang terpaksa tidur di kaki lima pada malam hari setelah penat merayau-rayau di sekitar ibu kota pada siang hari. Ada antara mereka perlu meminta-minta dan bekerja untuk meneruskan kelangsungan hidup. Mereka hidup merata-rata tanpa perlindungan, keselamatan dan peluang pendidikan. Realiti ini benar-benar sudah terjadi sebelum pandemik Covid-19 lagi.

Situasi pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia menjadikannya lebih buruk lagi. Ramai kanak-kanak kehilangan penjaga sama ada kehilangan ibu atau ayah, dan lebih menyayat hati ada dalam kalangan mereka kehilangan kedua-dua orang tua mereka. Anak-anak yang hilang tempat bergantung ini turut hilang tempat mengadu dan belaian kasih sayang. Lebih buruk lagi, ada antara mereka hilang tempat perlindungan dan peluang pendidikan.

Menjadi tanda tanya bagi kita,  bagaimana pengurusan anak-anak yatim ini setelah kedua-dua orang tua mereka sudah tiada? Tanpa pengurusan yang betul, kanak-kanak ini berdepan dengan pelbagai ancaman dan hak-hak mereka dinafikan. Adakah kita mahu melihat hak kanak-kanak  terus terabai? Oleh itu, sangat penting untuk memahami konsep mengurus anak-anak yatim mengikut syariat Islam melalui peranan keluarga, masyarakat  dan negara.

Seorang Muslim yang baik pasti tidak akan lari daripada memikul kewajipan. Oleh itu, kita haruslah mengambil peluang ini untuk berbuat baik kepada anak yatim kerana pelbagai berita gembira yang dikhabarkan oleh Allah SWT tentang kelebihan berbuat baik kepada anak yatim seperti dalam sabda Rasulullah:

“Demi Allah yang mengutus aku dengan kebenaran di hari kiamat Allah S.W.T tidak akan mengazab orang yang mengasihi anak yatim dan berlaku ramah padanya serta manis tutur katanya. Dia benar-benar menyayangi anak yatim dan mengerti kekurangannya, dan tidak menyombongkan diri pada tetangganya atas kekayaan yang di peroleh Allah kepadanya.” (HR Thabrani)

Tanggungjawab mulia ini perlulah dipikul dengan penuh amanah oleh setiap waris yang beriman  tanpa dolak dan dalih, tetapi semata-mata demi meraih redha Allah SWT. Tatkala tiada waris yang mampu memikul tanggungjawab ini, maka negara wajib memikul kewajipan ini  sebagai sebuah amanah daripada yang maha Esa.

Exit mobile version