Mengapa pada hari ini orang begitu mudah murtad daripada Islam? Mengapa pula kes penghinaan terhadap Islam seperti melecehkan al-Quran, Nabi Muhammad SAW, syariat Islam, jilbab, jihad, Khilafah, dan lain-lain sering berlaku? Mengapa juga masih ada Muslim yang menolak syariat Islam? Bukankah perbuatan melecehkan Islam dan menolak syariat Islam pun boleh menjadikan pelakunya murtad daripada Islam?
Asal-usul Sekularisme
Sekularisme yang diterapkan di negara ini sudah tentu berperanan besar dalam melahirkan golongan yang murtad daripada Islam, juga dalam melahirkan golongan yang sering melecehkan Islam dan menolak syariat Islam.
Sekularisme adalah akidah (kepercayaan asas) yang memisahkan agama daripada kehidupan. Sekularisme menjadi asas kepada ideologi kapitalisme. Kapitalisme melahirkan, antaranya, sistem demokrasi. Dalam sistem demokrasi, terdapat beberapa bentuk kebebasan yang dijamin oleh undang-undang. Antaranya kebebasan beragama, kebebasan berpendapat/ bersuara dan kebebasan bertingkah laku.
Dalam konteks kebebasan beragama, misalnya, setiap orang memang dibiarkan menganut mana-mana agama dan kepercayaan. Mereka juga bebas menukar agama. Hari ini Islam, esok Hindu, lusa Buddha, dan seterusnya. Tidak ada masalah dalam sistem demokrasi.
Begitu juga dalam konteks kebebasan berpendapat/bersuara dan bertingkah laku. Setiap orang bebas untuk berpendapat/bersuara dan bertingkah laku walaupun ia menghina Islam, al-Quran, Nabi Muhammad SAW dan syariat Islam. Juga tidak ada masalah dalam sistem demokrasi.
Oleh itu, dalam sistem sekular hari ini wajarlah jika ada Muslim yang begitu mudah murtad daripada Islam. Terdapat juga ramai Muslim yang melecehkan ajaran Islam atau secara terang-terangan menolak syariat Islam. Padahal tindakan sebegitu pun boleh membuatkan pelakunya murtad daripada Islam.
Akibat Murtad
Allah SWT berfirman,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman,barangsiapa di antara kamu yang murtad (keluar) daripada agama kamu, pasti Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia cintai dan mereka pun mencintaiNya. Mereka bersikap lemah-lembut kepada kaum mukmin dan bersikap keras terhadap kaum kafir.” [TMQ al-Ma’idah (5): 54]
Menurut Imam Ibnu Kathir rahimahullah, melalui ayat ini Allah SWT memberitahu tentang kekuasaanNya yang agung, bahawa sesiapa yang berpaling daripada usaha menolong agamaNya dan menegakkan syariatNya, maka sesungguhnya Allah SWT pasti akan menggantikannya dengan orang yang lebih baik. Mereka lebih bersungguh-sungguh dalam melindungi (agamaNya) dan lebih lurus jalannya. Menurutnya juga, memetik kata-kata dari Imam al-Hasan al-Basri, ayat ini diturunkan berkaitan dengan orang-orang yang murtad (keluar) daripada Islam pada masa Khalifah Abu Bakar RA (Ibnu Kathir, Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm, 3/135).
Berkenaan ayat di atas, menurut Imam at-Thabari rahimahullah, sesungguhnya kaum yang murtad tersebut, iaitu selepas Nabi Muhammad SAW wafat, menyatakan, “Berkenaan solat, maka kami akan tetap solat. Adapun mengenai zakat, maka demi Allah, kami tidak akan menyerahkan harta-harta kami.” Mendengar hal itu, Khalifah Abu Bakar RA berkata, “Demi Allah, aku tidak akan memisahkan perkara yang telah Allah satukan (solat dan zakat, ed.). Demi Allah, andai mereka menolak untuk menyerahkan kepadaku zakat unta dan kambing yang telah Allah dan Rasul-Nya wajibkan (atas mereka), aku pasti akan memerangi mereka kerana penolakan mereka itu.” (At-Thabari, Jâmi’ al-Bayân fî Ta’wîl al-Qur’ân, 21/431).
Berdasarkan penjelasan Imam at-Thabari tersebut, orang-orang yang menolak salah satu syariat Islam (antaranya zakat) diperlakukan sama dengan orang-orang yang murtad. Mereka sama-sama dibunuh/diperangi.
Mengenai orang yang murtad, Imam as-Syafi’i dalam kitabnya, Al-Umm, menjelaskan bahawa seseorang yang berpindah daripada syirik kepada iman, kemudian dia berpindah lagi daripada iman kepada syirik, maka jika orang itu sudah dewasa, sama ada lelaki atau perempuan, dia diminta untuk bertaubat. Jika dia bertaubat, maka taubatnya diterima. Sebaliknya, jika dia enggan bertaubat, maka dia mesti dihukum mati (As-Syafi’i, Al-Umm, 6/168).
Pendapat Imam as-Syafi’i ini adalah berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW,
لاَ يَحِلُّ دَمُ امْرِئِ مُسْلِمٍ إِلاَّ بِإِحْدَى ثَلاَثٍ: كُفْرٌ بَعْدَ إِيْمَانٍ وَزِنًا بَعْدَ إِحْصَانٍ وَقَتْلُ نَفْسٍ بِغَيْرِ نَفْسٍ
“Tidak halal (menumpahkan) darah seorang Muslim kecuali kerana salah satu dari tiga sebab: kufur selepas beriman; zina selepas beristeri; membunuh seseorang bukan kerana orang itu membunuh.” [HR Bukhari dan Muslim]
Hukuman mati bagi orang murtad juga ditegaskan dalam sabda Nabi Muhammad SAW,
مَنْ بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوهُ
“Sesiapa yang menukar agamanya (murtad daripada Islam, ed.), bunuhlah dia!” [HR Bukhari dan An-Nasa’i]
Jelas sekali, hukuman mati bagi orang murtad, 100% berdasarkan ketetapan Nabi SAW. Ketetapan baginda sudah tentu berasal daripada wahyu Allah SWT. Oleh itu, hukuman ini bukan hasil pemikiran manusia. Lebih-lebih lagi dikaitkan dengan latar belakang politik umat Islam.
Namun demikian, hukuman mati bagi orang murtad mesti dilakukan oleh pemerintah umat Islam (Imam/Khalifah) dengan beberapa peruntukan, antaraya:
Pertama, penetapan hukuman mati bagi orang murtad hanya boleh diputuskan oleh mahkamah syariah.
Kedua, mesti ada penangguhan hukuman jika pelaku murtad ada harapan untuk kembali ke pangkuan Islam. Imam as-Thauri berpendapat, “Hukumannya ditangguhkan jika ada harapan pelaku murtad mahu bertubat.” (Ibnu Taimiyah, As-Sharim al-Maslul, hlm. 328).
Ketiga, selama penangguhan hukuman, pelaku murtad didakwahkan dengan hikmah dan nasihat yang baik, diajak berdialog/berdebat supaya dia mahu bertaubat dan kembali ke pangkuan Islam.
Makna ‘Tidak Ada Paksaan dalam Agama’
Ada yang berpendapat bahawa tidak ada paksaan dalam agama, maka sesiapa sahaja bebas menganut apa jua agama termasuk untuk berpindah-pindah agama. Mereka kemudian berdalil dengan ayat,
لاَ إِكْرَاهَ فِي الدِّيْنِ
“Tidak ada paksaan dalam agama.” [TMQ Al-Baqarah (2): 256]
Menurut Imam al-Alusi, ayat di atas bermaksud, “Janganlah kamu memaksa (manusia) untuk masuk Islam.” (Al-Alusi, Rûh al-Ma’âni, 2/322).
Dengan demikian, memang sesiapa pun tidak boleh dipaksa untuk memeluk agama Islam. Namun, apabila mereka sudah menjadi Muslim, haram bagi mereka untuk murtad (keluar) daripada Islam. Jika mereka murtad, seperti yang dijelaskan di atas, mereka wajib dihukum mati, kecuali jika mereka mahu segera bertaubat dan kembali ke pangkuan Islam.
Akibat Menolak Syariat
Sebagaimana diharamkan murtad (keluar) daripada Islam, juga diharamkan menolak syariat Islam, sama ada secara keseluruhan atau sebahagiannya. Allah SWT telah mencela dengan sekeras-kerasnya sikap demikian,
أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلاَّ خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ
“Adakah kamu mengimani sebahagian al-Kitab dan mengingkari sebahagian yang lain? Tidak ada balasan bagi orang yang berbuat demikian melainkan kehinaan dalam kehidupan dunia dan pada Hari Kiamat kelak dia akan dilemparkan ke dalam azab yang sangat keras.” [TMQ al-Baqarah (2): 85]
Oleh itu, sebagaimana orang murtad dijatuhkan hukuman mati, begitu juga penolak syariat. Mereka diperangi. Inilah yang dilakukan oleh Khalifah Abu Bakar as-Siddiq RA terhadap orang-orang murtad dan golongan yang menolak membayar zakat.
Dasar yang diamalkan oleh Khalifah Abu Bakar RA dalam menghukum secara tegas orang murtad dan mereka yang enggan membayar zakat menjadi bukti bahawa pemerintah umat Islam wajib menjaga akidah umat. Jangan sampai banyaknya orang murtad dan orang yang menolak syariat merebak ke masyarakat secara meluas. Ini sudah tentu tidak boleh berlaku.
Malangnya, pada hari ini kita tidak boleh banyak berharap kepada para pemerintah umat Islam dalam membenteng akidah umat. Sebab, mereka sendiri adalah penjaga sistem sekular. Mereka tidak akan peduli jika akidah umat rosak, bahkan lenyap sekalipun. Walhasil, sudah tiba masanya untuk umat mencabut sekularisme dan segala terbitannya. Kemudian tegakkan sistem Islam!
Hikmah:
Allah SWT berfirman,
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ اْلإِسْلاَمِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي اْلآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
“Sesiapa yang mencari agama selain Islam tidak akan pernah agama itu diterima (oleh Allah) daripada dirinya dan di akhirat nanti dia termasuk kaum yang rugi.” [TMQ Ali Imran (3): 85]
Sumber: Buletin Kaffah No. 216 (22 Rabiulawal 1443 H/29 Oktober 2021 M)

