Penulis: Ustaz Hafidz Abdurrahman
Ada dua fenomena yang secara fizikalnya tampak pada diri manusia. Pertama, penampilan fizikal manusia seperti bentuk tubuh, wajah dan pakaian. Kedua, fenomena aktiviti dan gerak-geri manusia. Ramai orang yang salah menilai ketika ingin membina keperibadian yang unik. Ada yang menganggap bahawa penampilan fizikal lah yang mempengaruhi keperibadiannya. Tentu saja ini merupakan pemikiran yang cetek kerana tidak didasari oleh analisis atau hujah yang kuat. Kerana yang membezakan seseorang dengan manusia yang lain adalah perbuatannya.
Perbuatan yang mencerminkan suluk (tingkah laku) manusia itulah yang sesungguhnya paling menentukan tinggi atau rendahnya keperibadian seseorang. Dalam waktu yang sama, suluk seseorang juga sangat ditentukan oleh mafhum-nya. Bermakna, mafhum seseorang sangat mempengaruhi tingkah laku mereka. Intipatinya, suluk seseorang merupakan pengumpulan dari perbuatannya dan pada dasarnya perbuatan seseorang merupakan wujud dari pemenuhan orang tersebut terhadap dorongan yang lahir dari keperluan jasmani (al-hajat al-udhiwiyyah) dan naluri (gharizah)-nya. Hal ini kerana tidak ada satu pun perbuatan manusia yang dilakukan untuk memenuhi keperluan lain selain daripada keperluan naluri dan jasmaninya. Contohnya seperti makan. Aktiviti tersebut dilakukan oleh seseorang untuk memenuhi rasa laparnya. Tidur pula dilakukan untuk memenuhi rasa mengantuknya. Duduk dan menggerakkan anggota tubuh yang lain dilakukan oleh seseorang kerana menenuhi rasa letihnya. Begitu juga dengan bekerja. Aktiviti itu dilakukan untuk memenuhi gharizatul baqa’-nya, baik untuk mempertahankan diri supaya tetap mampu bertahan hidup ataupun untuk meningkatkan kualiti gaya hidupnya. Belajar, mencari ilmu, membaca, mengikuti berita dan sebagainya dilakukan kerana dorongan gharizatul baqa’ dalam dirinya. Berkahwin, menyayangi anak, isteri, keluarga dan mencurahkan kasih sayang kepada orang tua adalah aktiviti yang didorong oleh gharizatul an-naw’ seseorang yang berfungsi untuk melestarikan keturunan dan keluarga. Sama halnya seperti solat, zikir, berdoa, munajat, puasa, zakat, jihad, haji mahupun ibadah lain yang dilakukan oleh seseorang. Aktiviti tersebut dilakukan atas dorongan gharizatul tadayyunnya dan aktiviti tersebut dilakukan sama ada untuk mengagungkan Zat Yang Maha Agung, mencurahkan kelemahannya ataupun meluahkan isi hatinya.
Sekalipun jika yang mendorong seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan adalah kerana keperluan jasmani dan nalurinya, tetapi tidaklah secara automatik dorongan tersebut boleh dia penuhi. Kerana yang menentukan dorongan tersebut dipenuhi ataupun tidak adalah kecenderungan (muyul) dan mafhum orang tersebut. Dari sinilah dapat kita simpulkan bahawa yang membentuk keperibadian seseorang adalah mafhum dan juga muyul-nya. Dengan demikian, keperibadian seseorang pada dasarnya merupakan pengumpulan cara berfikir orang tersebut dalam mentafsir realiti serta kecenderungannya terhadap realiti tersebut atau dengan istilah yang lebih sederhana, keperibadian (personality) itu merupakan pengumpulan dari aqliyah dan nafsiyah manusia. Perkara inilah yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW,
“Sesungguhnya Allah tidak menilai wajah kamu serta kekayaan kamu, tetapi Dia hanya menilai hati dan amal perbuatan kamu.” (HR Muslim dan Ibn Majah dari Abu Hurairah).
Sumber: Hafidz Abdurrahman, Islam Politik & Spiritual

