Site icon MuslimahHTM News

Unsur Pertama Keperibadian Manusia: Aqliyah

Penulis: Ustaz Hafidz Abdurrahman

Jika aqliyah dinyatakan sebagai salah satu unsur yang membentuk keperibadian manusia, pada dasarnya ini merupakan kenyataan. Tetapi apa dan bagaimana sebenarnya aqliyah? Lafaz aqliyah berasal dari bahasa Arab; dari lafaz aql yang ditambah dengan huruf yâ’ an-nisbah, yakni huruf yang berfungsi untuk menisbahkan kepada kata yang diberi tambahan huruf tersebut. Biasanya huruf tersebut berfungsi untuk mengubah kata benda menjadi sifat. Maka, pengertian aqliyah secara etimologis bererti sesuatu yang berkaitan dengan akal dan sejenis dengannya, serta mempunyai sifat-sifat akal. Sedangkan akal itu sendiri, dapat digunakan untuk menghukumi sesuatu. Atau dengan ungkapan yang lebih tegas: Akal adalah kemampuan untuk menghukumi realiti (fakta) tertentu, baik yang berkaitan dengan perbuatan mahupun benda yang dibangun berdasarkan pandangan hidup tertentu. Dengan demikian, makna aqliyah tidak boleh dilepaskan dari makna akal itu sendiri, sehingga aqliyah dapat didefinisikan dengan: Cara (metod) yang digunakan untuk memahami atau menghukumi realiti (fakta) tertentu.

Dengan kata lain, aqliyah adalah metod yang digunakan oleh seseorang untuk mengasosiasikan antara realiti yang dihadapi dengan informasi awal (previous information) yang dimilikinya dengan cara mengembalikannya kepada satu kaedah atau beberapa kaedah tertentu. Inilah yang disebut dengan aqliyah. Kerana itu, aqliyah juga boleh dideskripsikan sebagai cara manusia untuk: (1) menghukumi atau menyimpulkan, dan (2) mengasosiasikan antara realiti dengan informasi berdasarkan standard (kaedah) tertentu. Standard (kaedah) tertentu yang digunakan untuk mengasosiasikan antara realiti dengan informasi tersebut boleh jadi merupakan standard perbuatan (miqyâs al-amal), atau kaedah syarak yang menyatakan,

“Hukum asal perbuatan adalah manusia terikat dengan hukum Allah.”

Kaedah ini boleh digunakan untuk memutuskan atau menghukumi realiti yang berkaitan dengan perbuatan (al-af’âl). Kaedah ini tentu berlaku bagi orang Islam yang menjadikan akidah Islam sebagai landasan berfikirnya, yang mendorongnya untuk mengikatkan diri kepada hukum syarak ketika melakukan perbuatan. Dengan demikian, hukum asal perbuatan seorang muslim adalah mengikuti hukum syarak. Kaedah yang menjadi standard tersebut tentu berbeza antara satu orang dengan yang lain berdasarkan akidah dan landasan berfikirnya. Kaedah orang Islam, kapitalis, mahupun sosialis jelas berbeza. Jika kaedah yang menjadi standard seorang muslim adalah, “Hukum asal setiap perbuatan terikat dengan hukum syarak,” maka kaedah yang dijadikan standard orang kapitalis adalah, “Hukum asal perbuatan manusia adalah bebas (tanpa aturan).” Sementara, “Hukum asal perbuatan manusia mengikuti perubahan materi (benda),” merupakan kaedah yang menjadi standard berfikir kaum sosialis. Bagi orang kapitalis, perbuatan manusia tidak perlu diatur, atau bebas sebebas-bebasnya, yang kemudian perlu diatur ketika ada masalah. Sementara bagi orang sosialis, seluruh aktivitinya dilakukan seiring dengan perubahan materi, dan dalam konteks perubahan materi (materialism dialectic). Adapun kaedah yang digunakan untuk menjadi standard benda adalah hukm al-asyâ’ (hukum benda). Dalam pandangan Islam, kaedah yang dijadikan standard untuk menghukumi benda tersebut adalah, “Hukum asal benda adalah mubah selama tidak ada dalil yang mengharamkannya.”

Kaedah inilah yang digunakan oleh seorang muslim untuk menghukumi benda (al-asyâ’). Kerana realitinya memang berbeza dengan perbuatan. Sekalipun perbuatan dan benda ini bagaikan dua sisi mata wang yang tidak dapat dipisahkan. Sebab setiap perbuatan yang dilakukan manusia pasti memerlukan benda. Perbuatan adalah gerak organ tubuh, sedangkan benda adalah materi yang digunakan untuk menlaksanakan perbuatan. Kerana cara berfikir masing-masing adalah berbeda, tentu cara berfikir orang Islam yang menggunakan kaedah tersebut berbeza dengan orang non Islam dalam melihat benda. Jika kaedah yang dijadikan standard orang Islam adalah halal-haram, atau, “Hukum asal benda adalah mubah, selama tidak ada dalil yang mengharamkannya,” maka kaedah yang menjadi standard orang kapitalis dan sosialis adalah, “Hukum asal benda dikembalikan kepada nilai kegunaannya.” Adapun yang menentukan ada dan tidaknya nilai guna tersebut tergantung pada ada dan tidaknya orang yang memanfaatkannya. Jika tidak ada lagi orang yang memanfaatkannya, benda tersebut dianggap tidak mempunyai nilai guna. Oleh kerana itu benda tersebut kemudian dipandang “haram” dan diabaikan. Contoh pandangan seorang ahli politik muslim, misalnya, boleh dijadikan contoh dalam konteks ini: Pertama, berkaitan dengan aktivitinya dalam melakukan aktiviti politik, seorang ahli politik muslim tidak akan menghalalkan segala cara semata-mata untuk mencapai tujuannya. Sebaliknya akan sentiasa terikat kepada hukum Allah. Antara lain tidak akan menjatuhkan pihak lawan politiknya dengan memfitnah, ataupun melakukan praktik demokrasi kerana semata-mata ingin mencapai tujuan dan sasaran politiknya dengan cepat.

Kedua, berkaitan dengan benda yang digunakan untuk mencapai tujuannya, orang tersebut juga hanya akan menggunakan benda-benda yang dihalalkan oleh Allah, bukan menggunakan benda-benda yang diharamkan. Misalnya menggunakan pelacur untuk menjerat lawan politiknya agar boleh dijatuhkan, pasti bukan merupakan tindakan ahli politik muslim yang terikat dengan kaedah di atas. Dengan demikian, aqliyah seseorang yang dibentuk berdasarkan kaedah, baik berkaitan dengan perbuatan mahupun benda, hanya akan berjalan dengan konsisten ketika dibangun berdasarkan akidah yang kukuh. Orang tersebut akan sentiasa terikat dan tunduk pada hukum Allah. Kerana kesadaran untuk tunduk dan patuh kepada hukum Allah ini merupakan manifestasi keimanan seseorang. Oleh sebab itulah, Nabi saw. bersabda, “Tidaklah beriman salah seorang di antara kamu, sehingga menjadikan saya sebagai (standard) akalnya, yang digunakan untuk berfikir.” Dengan perbezaan akidahnya, aqliyah orang akan berbeza-beza. Jika akidah Islam yang menjadi kaedah berfikir seseorang, tentu aqliyah-nya adalah aqliyah Islam. Jika akidah kapitalisme yang menjadi kaedah berfikirnya, aqliyah-nya pasti merupakan aqliyah kapitalis. Demikian halnya dengan orang yang menjadikan akidah sosialisme sebagai kaedah berfikirnya. Jadi, yang menentukan aqliyah seseorang; Islam, sosialis, kapitalis, atau aqliyah yang lain adalah orang itu sendiri. Setelah masing-masing akidah tersebut dijadikan sebagai landasan berfikirnya. Mengapa? kerana, secara lahiriah kadang-kadang seseorang berakidah Islam, tetapi akidah tersebut tidak dijadikan sebagai landasan berfikirnya. Kerana itu aqliyah-nya tidak pernah menjadi aqliyah Islam.

Sumber: Hafidz Abdurrahman, Islam Politik dan Spiritual

Exit mobile version