Oleh : Farisha Aris
Siapa pun tidak menduga bahawa pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia meninggalkan kesan dalam pelbagai aspek. Di Malaysia khususnya, boleh dikatakan setiap lapisan masyarakat terkesan dengannya. Selain menjejaskan sektor ekonomi dan memberi impak ke atas sektor kesihatan, pandemik ini turut menyebabkan ramai anak-anak kecil menjadi yatim dalam sekelip mata. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, mereka bukan sahaja kehilangan ibu bapa atau salah seorang dari kedua-duanya, tetapi juga hilang tempat bergantung dan menumpang kasih sayang. Bagi mereka yang bertanggungjawab secara langsung kepada anak-anak yatim ini, urusan kebajikan dan hak-hak anak yatim perlulah diambil perhatian dengan serius. Dalam Islam, hak-hak anak yatim perlu dijaga dan dipelihara dengan sebaik mungkin. Setiap anggota masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam hal ini. Justeru, marilah kita telusuri kedudukan dan hak-hak anak yatim dalam Islam yang sering diabaikan kerana tidak difahami secara terperinci berdasarkan syariat Islam oleh masyarakat kita.
Definisi Yatim
Secara bahasa, Al-Yatim bermaksud al–fardu (tunggal/sendirian) dan segala sesuatu yang ditinggal oleh sesuatu yang serupa dengannya. (As-Shihah fi Al-Lughah).
Ibnu Sikkith mengatakan: “Kata ‘Al-Yatim’ untuk manusia adalah mereka yang kematian bapa, sedangkan untuk binatang, kata ‘Al-Yatim’ digunakan untuk menyebut binatang yang kematian ibunya. Ini bermaksud manusia yang kehilangan ibunya tidak boleh disebut “Yatim.” (Lisanul ‘Arab, 12:645).
Ibn Barriy pula mengatakan: “Al-Yatim adalah bagi yang kematian ayah. Al-‘Ajiy bagi yang kematian ibu manakala Al-Latim pula adalah bagi yang kematian kedua-duanya”.
Manakala secara istilah, para ulama mendefinisikan anak yatim adalah mereka yang kematian bapanya ketika mereka belum mencapai umur baligh. Ini dijelaskan sendiri oleh Rasulullah SAW yang bersabda: “Tidak ada keyatiman setelah baligh” (HR Abu Daud (2873).
Selain itu, berdasarkan hadis lain: “Tidak ada status yatim setelah mimpi basah.” (Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyah Al-Kuwaitiyah, 45:254). Hadis di atas, diriwayatkan oleh At-Thabrani, dalam Mu’jam Al-Kabir, 4:14, dari sahabat Handzalah bin Hudzaim. Al-Haitsami mengatakan dalam Majma’ Az-Zawaid, 4:266: Perawinya Tsiqah (Terpercaya).
Berdasarkan hadis-hadis di atas, jelas menyatakan bahawa yang dinamakan anak yatim adalah mereka yang kematian bapa dan belum mencapai umur baligh. Oleh itu, sekiranya mereka telah mencapai umur baligh, maka penggunaan istilah yatim tidak lagi relevan.
Hak-hak Anak Yatim
Islam telah mengajarkan kepada kita untuk memuliakan anak yatim kerana mereka memiliki posisi yang istimewa dalam Islam manakala orang yang memuliakan anak yatim juga akan mendapatkan keistimewaan tersendiri daripada Rasulullah SAW. Sabda baginda yang bermaksud, “Barangsiapa yang memelihara anak yatim dan memberinya makan dan minum, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga kecuali jika dia melakukan dosa yang tidak dapat diampuni” (HR al-Tirmizi, no. 1917). Selain itu, terdapat lagi beberapa hak-hak anak yatim yang ditunjukkan dalam Islam, antaranya ialah;
- Menyantuni anak yatim dengan baik
Sesungguhnya menyantuni anak yatim memiliki keutamaan yang besar. Antaranya adalah memiliki kedudukan yang dekat dengan Rasulullah SAW kelak di Syurga bahkan dikatakan hanya sedekat jari telunjuk dengan jari tengah. Ini kerana Rasulullah SAW merupakan teladan terbaik bagi umat manusia yang sangat mengasihi dan menyayangi anak-anak yatim.
Imam Bukhari dalam kitab sahihnya meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda:
“Aku dan orang yang menanggung anak yatim (kedudukannya) di syurga seperti ini”, kemudian baginda mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengah baginda, serta agak merenggangkan keduanya” (HR Bukhari).
Allah SWT memberi jaminan kepada hamba-Nya yang memperlakukan anak yatim dengan sebaik-baiknya. Sabda Rasulullah SAW: “Demi Yang Mengutusku dengan hak, Allah tidak akan menyeksa pada hari kiamat nanti orang yang menyayangi anak yatim, lemah lembut pembicaraan dengannya, menyayangi keyatiman dan kelemahannya.” (HR. Thabrani dari Abu Hurairah). (Imam Ath-Thabrani, Al-Mu’jam Al-Ausath, VIII/346. Hadist no. 8828).
- Larangan mengherdik dan bertindak kasar terhadap anak yatim
Demikian pula, Allah SWT melarang anak yatim daripada diherdik. Allah SWT menyebut mereka itu sebagai pendusta agama: “Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin” [TMQ al-Maa’un (107):1-3].
Mengherdik bukan hanya dengan melemparkan kata-kata kesat, malah mengganggu mental dan emosi mereka. Contohnya, ketika mereka diberikan makanan, pemberian tersebut dilakukan secara tidak sopan iaitu dengan melemparkannya kepada anak yatim itu.
Anak yatim sama sahaja seperti anak-anak yang lain yang memerlukan kasih sayang daripada orang sekeliling. Maka tidak wajar sama sekali bertindak kasar terhadap anak yang telah kehilangan ibu bapa ini. Bahkan Allah juga melarang kita daripada berkasar dengan anak yatim. Allah SWT berfirman dalam surah ad-Dhuha ayat 9 yang bermaksud; “Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya”.
- Memenuhi keperluan asas
Memastikan keperluan asas anak yatim terpenuhi merupakan hak anak yatim yang perlu diberikan perhatian. Allah memerintahkan kita untuk memberikan makan kepada anak yatim sepertimana yang disebutkan dalam surah Al-Insan “Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan”. [TMQ al-Insan(76) :8]
- Memberi kasih sayang
Sebagai anak kecil, si anak yatim tersebut tentulah memerlukan kasih sayang seperti mana kanak-kanak lain. Islam telah mengajar kita supaya memberi kasih sayang yang sewajarnya kepada anak yatim. Imam Ahmad dalam musnadnya meriwayatkan dari Abu Hurairah RA hadis yang berbunyi : Dari Abu Hurairah, “bahawa seorang lelaki mengadu kepada Nabi SAW akan hatinya yang keras, lalu Nabi berkata: ‘usaplah kepala seorang anak yatim piatu dan berilah makan individu miskin’.”
Dan hadis dari Abu Umamah yang berbunyi : Dari Abu Umamah dari Nabi SAW berkata: “Barangsiapa yang mengusap kepala seorang anak yatim piatu lelaki atau perempuan kerana Allah, adalah baginya setiap rambut yang diusap dengan tangannya itu terdapat banyak kebaikan, dan barang siapa berbuat baik kepada seorang anak yatim piatu perempuan atau lelaki yang dia asuh, adalah aku bersama dia di syurga seperti ini, baginda SAW mensejajarkan dua jarinya.
- Perlindungan harta
Wali kepada anak yatim juga wajib menguruskan harta anak yatim dengan sebaik mungkin kerana ianya termasuk salah satu daripada cabang-cabang kebaikan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya”, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seagama); dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Dia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” [TMQ al-Baqarah (2):22].
- Larangan memakan harta anak yatim
Allah mengancam golongan yang memakan harta anak yatim secara zalim dengan ancaman yang keras. Golongan sebegini termasuk penghuni neraka sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka)” [TMQ an-Nisa (4):10].
Demikian juga Allah SWT berfirman:
“Dan janganlah kalian mendekati harta anak yatim melainkan dengan cara yang terbaik sehinggalah anak tersebut sampai kepada tempoh balighnya”. [TMQ Al-An’aam(6): 152]
Kata Imam al-Baghawi Rahimahullah ketika mengulas berkenaan ayat ini: Yang dimaksudkan dengan cara yang terbaik itu adalah perbuatan yang memberikan maslahah kepada anak yatim serta mengembangkan harta tersebut. (Rujuk Ma’alim Al-Tanzil, Al-Baghawi.)
Berdasarkan ayat di atas juga dapat kita fahami bahawa menjadi suatu kewajipan kepada pengurus harta anak-anak yatim untuk menjaga harta mereka dan juga mengembangkannya serta berusaha untuk menggunakan harta tersebut pada tempat-tempat yang boleh memberikan maslahah kepada anak-anak yatim.
Khatimah
Islam sangat menitikberatkan dan memastikan kebajikan serta keperluan anak-anak yatim sentiasa terpelihara sehingga tiada berlaku keciciran. Ini kerana, anak-anak yatim merupakan tanggungjawab wali, keluarga, masyarakat dan negara. Negara adalah pemegang tanggungjawab terbesar dalam memastikan hak-hak anak yatim ini dipenuhi dan tidak diabaikan kerana itu merupakan perintah daripada Allah yang wajib dilaksanakan. Allah SWT akan meminta pertanggungjawaban daripada para penanggungjawab yang diamanahkan untuk mengurusi anak yatim. Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Sesungguhnya al-imam (khalifah) itu bagaikan perisai, di mana (orang-orang) akan berperang di belakangnya (mendukung) dan berlindung (dari musuh) dengan (kekuasaan) nya” [HR. Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Dawud].
Wallahu a’lam bi ash-showab.
Rujukan:
- Al-Quran al-Karim;
- Asbabun Nuzul; K.H.Q. Shaleh & H.S.S. Dahlan; Penerbit Deponegoro; 2000;
- https://www.surah.my
- https://www.muslimahnews.com/2021/08/12/nasib-pilu-anak-yatim-piatu-ke-mana-mereka-harus-mengadu/
- https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/1135-bayan-linnas-siri-72-anak-yatim-ihsanilah-dan-bertaqwalah
- https://news.detik.com/berita/d-5600670/ini-golongan-orang-yang-menghardik-anak-yatim
- https://konsultasisyariah.com/12436-pengertian-yatim.html
- https://www.inews.id/lifestyle/muslim/hadits-tentang-anak-yatim

