Site icon MuslimahHTM News

MENJADI IBU TUNGGAL YANG BERWIBAWA

Oleh : Iman Farhana

Allah SWT menciptakan manusia di muka bumi ini dengan tujuan murni iaitu beribadah kepada-Nya. Keunikan manusia ini walaupun memiliki pelbagai kecenderungan tidak sekali-kali menjadi penyebab mereka tidak mampu untuk taat dan dengan ilmu yang diajarkan-Nya itu tadi, manusia dapat merealisasikan tujuan penciptaan tanpa mengetepikan fitrah mereka termasuk keinginan memiliki pasangan dan melanjutkan zuriat. Secara umumnya manusia yang memahami tujuan penciptaan ini tadi membayangkan bahawa hal ini menjadi mudah dan mulus sekiranya anak-anak yang lahir dari kasih sayang sepasang suami isteri ini dibimbing dan dibelai sejak kecil sehingga dewasa oleh kedua-dua ibu dan bapanya yang mana masing-masing memainkan peranan sehingga muncul jati diri dan syahsiyah anak sesuai dengan tuntutan agama. Namun perlu difahami bahawa tujuan penciptaan manusia ini juga adalah untuk Dia  iaitu Zat yang menjadikan kematian dan kehidupan melihat siapakah diantara mereka yang paling baik amalannya (ahsanu ‘amala). Hal ini termasuk Dia Azza wa Jalla memberikan ujian dan dugaan sebagai prasyarat untuk manusia layak memasuki jannah, termasuk kehilangan, perpisahan atau kematian.

Apabila berlaku wabak seperti pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia, ia telah memberikan kesan dalam pelbagai sisi kehidupan manusia. Pelbagai perubahan berlaku akibat daripada wabak ini. Sebahagian wanita mengalami kejutan dan perubahan yang tidak mampu dielakkan apabila kehilangan suami yang merupakan tunggak dalam keluarga lalu bergelar ibu tunggal. Perubahan status perkahwinan bukan sekadar  menukar ‘title’  seseorang, malah memberi kesan dari segi peranan, tanggungjawab, dan emosi sesebuah institusi keluarga. Apa yang pasti ialah, kaum wanita adalah sosok yang akan memikul segala perubahan yang berlaku. Nukilan ini menyingkap apakah yang sewajarnya direnungkan oleh para wanita yang bergelar ibu tunggal dan terpaksa membesarkan anak-anak sendirian dengan merenungkan apa yang boleh mereka teladani dari kisah-kisah ibu tunggal hebat yang telah melahirkan ilmuwan Islam yang menjadi rujukan disebabkan oleh sumbangan mereka yang sangat cemerlang kepada agama yang mulia ini. Seiring dengan pandemik yang semakin beransur menuju fasa endemik, mudah-mudahan tulisan ini bakal menyuntik inspirasi untuk para ibu tunggal menanam keazaman yang tinggi dalam diri mereka untuk melahirkan singa-singa pejuang Islam sehingga mendorong mereka untuk kekal positif menjalani kehidupan yang mencabar dan bermakna bersama-sama anak, sentiasa mencari positive vibes bagi memastikan dirinya  bersemangat dan tidak berputus asa. Oleh itu, kami ingin mengajak para ibu semua termasuklah ibu-ibu tunggal untuk kita sama-sama mengambil ibrah daripada kisah-kisah di bawah.

Ayuh, Contohi Mereka!

Mari kita mengenal sosok ibu Imam Syafie, iaitu Fatimah binti Ubaidillah Azdiyah  yang kehilangan suaminya semasa anak-anaknya masih kecil lagi. Status sang anak yang memiliki darah keturunan Rasulullah SAW tidak melenakannya untuk hanya berserah pada takdir, malah dia tetap berjuang membesarkan anak-anaknya apabila suaminya meninggalkannya dan anak-anak tanpa harta. Kesungguhan Fatimah binti Ubaidillah Azdiyah memberikan penekanan terhadap pendidikan Imam Syafie ini sangat memberi inspirasi kerana walaupun dia tidak mampu memberikan keselesaan hidup kepada anaknya, namun pendidikan anaknya tetap menjadi keutamaan baginya kerana ibu tunggal ini sedar bahawa menjadi tanggungjawabnya memastikan anaknya itu menjadi orang berilmu dan beramal soleh. Imam Syafie telah diasuh oleh seorang ibu tunggal yang tidak kalah dengan kemiskinan. Kemiskinan mereka  terbukti apabila ibu Imam Syafie tidak mampu membeli kertas untuk anaknya menulis sehingga Imam Syafie terpaksa menulis di tulang-tulang. Namun, ibu ini tidak tunduk dengan perasaan, tidak menyalahkan diri kerana tidak mampu memberikan keselesaan kepada anaknya, dan tidak sesekali pernah menyalahkan takdirnya bergelar ibu tunggal. Ibu yang cekal ini telah berjaya membentuk peribadi yang teguh dalam diri Imam Syafie. Wahai Muslimah yang dikasihi, ibu ini tidak meratapi ketika dia tidak mampu menyediakan pakaian yang indah atau tempat tinggal yang selesa, tetapi keteguhannya untuk membimbing anaknya ini mencari ilmu Allah adalah wajar untuk kita sama-sama contohi. Dengan ketekunan Imam Syafie dan ibunya, akhirnya Imam Syafie dapat menyempurnakan hafalan al-Quran ketika berusia tujuh tahun dan menyelesaikan hafalan kitab al-Muwattha’ ketika berusia 10 tahun, malah  kita semua dapat menikmati sumbangan beliau sehingga hari ini dalam keilmuan Islam.

Wahai ibu tunggal sekalian, anda tidak sendirian melaluinya. Ibu Imam Bukhari juga duji dengan kehilangan suami tercinta. Namun ibu tunggal ini telah membesarkan Imam Bukhari dengan pendidikan yang terbaik. Ketika ibu ini sendirian membesarkan anaknya, Imam Bukhari pernah mengalami buta kedua-dua belah matanya.  Ibu yang diuji dengan pelbagai ujian ini sentiasa bersangka baik kepada Allah Taala. Hanya kepada Allah dia memohon dan mengadu. Namun, segala ujian ini tidak menghentikan ketekunan ibu ini untuk memastikan anaknya ini mendapatkan pendidikan terbaik sehinggalah Imam Bukhari dikenali di serata dunia Islam kerana sumbangannya dalam ilmu hadis. Kejayaan Imam Bukhari bukan datang bergolek, tetapi melalui pelbagai cabaran dan ketekunan seorang ibu tunggal.

Kisah dua ibu hebat di atas bukan sahaja memberikan cahaya kepada ibu tunggal, tetapi menjadi inspirasi kepada semua ibu. Menyayangi anak-anak bukan bermaksud dia hanya perlu memastikan segala-galanya tersedia untuk mereka tetapi menyayangi anak bermakna mengasuh mereka menjadi manusia yang berilmu. Ibu-ibu ini cukup sedar bahawa menjadi ibu tunggal tidak bermakna ada keringanan dalam kewajipan mengasuh dan mendidik anak-anak mereka. Mereka cukup faham bahawa dengan ilmulah anak-anak mereka mampu menjalani kehidupan dunia ini selari dengan perintah dan larangan Allah SWT.  Ibu-ibu ini tahu bahawa mendidik anak-anak adalah hal yang utama berbanding menyediakan makanan yang lazat, pakaian baharu dan membawa anak-anak mereka melancong.

Jom, Kita Telusuri Kisah Seterusnya!

Imam Ahmad bin Hanbal dilahirkan dan diasuh oleh seorang ibu tunggal yang telah kehilangan suaminya sejak Imam Ahmad berusia 3 tahun lagi. Namun, ibu ini tetap gigih dalam mengasuh anaknya. Selain mengasuh sendiri Imam Ahmad, ibu tunggal yang bernama Shafiyah binti Maimunah ini telah menghantar Imam Ahmad ke Baghdad untuk mendalami ilmu agama. Ibu hebat ini sentiasa menyokong Imam Ahmad dalam mendalami agama. Ketika Imam Ahmad giat mencari ilmu, ibu Imam Ahmad tidak henti-henti menasihati anaknya sehinggalah Imam Ahmad berjaya menghafal al-Quran dan Hadis. Berbekalkan ilmu yang dipelajari, Imam Ahmad bin Hanbal telah berbakti kepada masyarakat Islam dengan keilmuannya. Ternyata tokoh yang tidak asing disebut-sebut sehingga hari ini adalah hasil asuhan seorang ibu tunggal.

Mari kita lihat kisah seterusnya yang juga sangat memberikan inspirasi kepada kita,  iaitu kisah Tumadhir binti Amr bin Syuraid atau dikenali sebagai Al Khansa yang telah menyiapkan anak-anaknya untuk berjihad di jalan Allah. Keyakinan ibu ini untuk memastikan anak-anaknya mendapatkan kemuliaan daripada Allah Taala menjadi fokus ibu tunggal ini dalam proses pendidikan anak-anaknya. Ibu ini sentiasa memberikan semangat kepada anak-anaknya untuk mengejar peluang jihad dan sentiasa mengingatkan anak-anaknya untuk tidak lari dari medan jihad. Kasih sayang Tumadhir binti Amr bukanlah dengan melimpahkan harta dan keselesaan dunia kepada anak-anak, tetapi ibu ini membimbing anak-anaknya untuk fokus mencari syurga Allah. Impian ibu tunggal ini tertunai apabila keempat-empat puteranya telah meraih syahid dalam jihad. Tumadhir binti Amr redha dan bersyukur kerana anaknya telah kembali kepada Penciptanya melalui jalan kemuliaan. Beliau cukup faham dengan tujuan hidupnya dan anak-anaknya, iaitu mencari redha Allah Taala dan berkejar mencari syurga Allah. Setelah keempat-empat anaknya syahid di medan jihad, ibu tunggal ini berdoa pada Allah agar dia juga segera ditemukan dan berkumpul dengan anak-anaknya di syurga Allah.  Allahuakbar!

Wahai ibu-ibu, menjadi ibu tunggal bukan satu halangan untuk membentuk anak-anak yang soleh. Syarat untuk menjadi soleh bukan mesti dibesarkan di rumah yang selesa, makanan yang lazat, baju yang mahal atau kesempurnaan dalam pelbagai aspek duniawi. Jika para ibu yang dinyatakan di atas, hanya fokus untuk memberikan keselesaan dunia kepada anak-anak mereka, mereka juga akan mengalami kekangan untuk memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak. Namun, ibu-ibu tunggal ini tidak terpesona dengan keselesaan dunia yang bersifat sementara, tetapi lebih mengimpikan kenikmatan syurga yang bersifat kekal dan sudah tersedia untuk orang-orang beriman. Mereka telah membuat pilihan yang bijak. Bagaimana dengan kita?

PENUTUP                                     

Kehidupan dunia yang sementara ini adalah medan ujian sehingga ujian itu adalah sesuatu yang pasti mendatangi kita semua. Sebahagian daripada kita diuji dengan status sebagai ibu tunggal. Sebahagian yang lain juga diuji dengan kemiskinan, kecacatan, penyakit, didera dan masalah rumahtangga. Ada pula yang diuji dengan kematian anak, suami curang, dan pelbagai lagi konflik. Hakikatnya, tiada manusia tanpa ujian. Jika ujian ini dijadikan jambatan untuk mendekatkan diri kepada Allah, ujian-ujian ini adalah peluang untuk menjadi hamba yang lebih baik di sisi Allah Taala.

Wahai ibu-ibu, ujian ini tidak pernah memadam segala kewajipan kita untuk mendidik dan mengasuh anak-anak kita untuk benar-benar memahami agama Allah.  Jangan dirisaukan jika kita masih belum mampu membawa anak-anak pergi melancong. Jangan khuatir jika anak-anak ini jarang dapat menyarung pakaian baharu. Risaulah jika anak-anak masih tidak boleh memahami makna bacaan dalam solat dan belum dapat memahami isi-isi al-Quran. Risaulah wahai ibu jika hari ini anak-anak kita lebih mencintai hiburan daripada bacaan al-Quran. Di sinilah peranan besar kita untuk membimbing mereka memahami tujuan hidup mereka iaitu untuk mencari redha Allah SWT. Tiada jalan lain untuk mencapai redha Allah kecuali memberikan ilmu agama tanpa henti kepada anak-anak kita sehingga mereka benar-benar memahami tujuan hidup mereka, seterusnya melaksanakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Inilah tanggungjawab kita semua para ibu!

Exit mobile version