[KHILAFAH & ANAK YATIM]
Tokoh Anak Yatim Cemerlang dalam Islam –
Imam Bukhari
Imam Bukhari atau nama penuhnya Abu Abdullah Muhammad bin Ismail al-Bukhari (810 – 870M) merupakan tokoh yang tidak asing lagi dikalangan kaum Muslim. Beliau merupakan ulama yang sangat berberjasa kepada ummah ini, terutama dalam usaha beliau melakukan pengumpulan terbesar sunnah hadis Rasulullah saw.
Namun, tahukah anda bahawa Imam Bukhari merupakan seorang anak yatim? Imam Bukhari kehilangan ayahnya ketika beliau masih kecil. Walaupun membesar tanpa ayah dan dibesarkan oleh ibunya secara sendirian, namun status keyatiman beliau dan status ibu tunggal ibunya tidak mengahalang keduanya menempa kejayaan bersama dalam catatan sejarah peradaban Islam yang gemilang.
Sejak kecil lagi, Imam Bukhari sangat terkenal dengan kecerdasan dan tahap intelektualnya yang luar biasa. Berkat kelebihan kurniaan Allah swt kepada dirinya ini, dan disertai dengan kesungguhan ibunya berkorban demi memelihara dan mendidik Imam Bukhari, beliau telah mendapat pendidikan yang terbaik semasa kecil. Beliau sangat mencintai ilmu sepanjang hayatnya.
Kecintaan ini tergambar dalam satu peristiwa ketika beliau yang masih remaja bersama ibunya pergi ke Mekah untuk menunaikan haji. Dek kerana kecintaan dan keseronokannya dalam menimba ilmu, beliau mengambil kesempatan tersebut memanjangkan tempoh lawatannya untuk berguru dengan cendekiawan di Mekah. Ketika masih berusia belasan tahun, Imam Bukhari sudah pun menghasilkan buku sendiri, dan menghafal 70,000 hadis Rasulullah SAW. Kewarakan, kesungguhan dan kecerdasan beliau dalam pelajaran menjadikan beliau tokoh anak yatim yang cemerlang dan wajar dicontohi oleh generasi hari ini.

