Pada tahun 97 H, khalifah umat Islam, Sulaiman bin Abdul Malik bermusafir ke tanah haram. Beliau berkunjung ke Baitullah, tempat paling suci bagi umat Islam. Rombongan Khalifah bergerak cepat dari Damsyik, ibu kota Khilafah Umayyah menuju ke Madinah al-Munawwarah.
Ada sebaris rindu Khalifah di telaga nabawi yang suci, ingin mengucap salam ke atas Rasulullah Muhammad saw. Para qari (ahli Al-Quran), ahli fikih, ahli hadis, ulama, umara‘, dan para tentera turut serta dalam rombongan tersebut.
Setibanya Khalifah di Madinah dan menurunkan bekalan, penduduk dan pemimpin Madinah menghampiri mereka untuk mengucap salam dan menyambut kedatangannya. Namun, Salamah bin Dinar selaku qadhi dan Imam Kota Madinah ternyata tidak turut serta dalam rombongan yang menyambut dan mengucap salam kepada khalifah.
Setelah selesai menyapa dan melayani orang yang menyambutnya, khalifah Sulaiman bin Abdul Malik berkata, “Sesungguhnya hati itu mudah berkarat dari semasa ke semasa seperti besi apabila tidak ada yang mengingatkan dan membersihkan karatnya.” Mereka berkata, “Benar, wahai Amirul mukminin.”
Kemudian khalifah berkata, “Adakah di Madinah tidak ada orang yang boleh menasihati kita, seseorang yang pernah berjumpa dengan para sahabat Rasulullah saw.?” Mereka menjawab, “Ada, wahai Amirul mukminin. Di sini ada Abu Hazim al-A’raj.” Dia bertanya, “Siapakah Abu Hazim?”
Mereka menjawab, “Dialah Salamah bin Dinar, seorang alim, cendekiawan, dan Imam di Madinah. Beliau adalah salah seorang tabiin yang pernah bersahabat baik dengan para sahabat utama Rasulullah.”
Khalifah berkata, “Kalau begitu panggillah dia ke sini. Namun, bersopanlah kepadanya.” Pembantu rapat khalifah pun pergi memanggil Salamah bin Dinar. Setelah Abu Hazim datang, khalifah menyambut dan membawanya ke bilik mesyuarat.
“Mengapa engkau begitu angkuh kepadaku, wahai Abu Hazim?” tanya khalifah. “Angkuh yang bagaimana yang anda maksudkan?” tanya Salamah. Khalifah menjawab, “Semua pemimpin Madinah menyambutku. Sedangkan engkau tidak menampakkan diri sama sekali.”
“Seseorang dikatakan angkuh jika dia sudah berkenalan. Sedangkan anda belum mengenalku dan saya belum pernah melihat anda. Maka keangkuhan yang mana telah saya lakukan?”
“Alasan yang kamu kemukakan benar dan Khalifah yang telah salah menyangka. Dalam fikiranku, banyak masalah penting yang ingin aku sampaikan kepadamu, wahai Abu Hazim,” ujar Khalifah lagi.
“Katakanlah wahai Amirul mukminin. Allah tempat meminta pertolongan.” Khalifah bertanya, “Wahai Abu Hazim, mengapa kita membenci kematian?”
“Kerana kita memakmurkan dunia dan menghancurkan akhirat. Akhirnya kita benci keluar dari kemakmuran menuju kehancuran.” jawab Abu Hazim. “Engkau benar, wahai Abu Hazim. Adakah bahagian kita di sisi Allah kelak?” tanya khalifah kepada Salamah.
Beliau menjawab, “Bandingkan amalmu dengan Kitabullah, nescaya kamu akan dapat mengetahuinya.” Khalifah bertanya lagi, “Dalam ayat yang mana aku boleh menemukannya?” Kemudian Salamah menjawab dengan membacakan surah Al Infitar ayat 13-14 yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang banyak berbakti benar-benar berada di dalam syurga yang penuh kenikmatan dan sesungguhnya orang-orang yang derhaka benar-benar berada di dalam neraka.”
Disebabkan jawapan Salamah bin Dinar yang begitu menyentuh hati, khalifah Sulaiman tidak berhenti bertanya kepadanya. Dia bertanya lagi, “Wahai Abu Hazim, siapakah orang yang paling dermawan dan dihormati?” Salamah menjawab, “Orang yang menemukan ketaatan kepada Allah kemudian dia mengamalkan dan mengajarkannya kepada orang lain.”
Menurut Abu Hazim, orang yang paling bodoh adalah orang yang dipengaruhi oleh hawa nafsu kawannya. Padahal kawannya adalah orang yang zalim. Maka pada hakikatnya dia menjual akhiratnya untuk kepentingan dunia orang lain.
Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik bertanya kepada Abu Hazim, “Beritahu padaku apa yang kamu perlukan.” Salamah bin Dinar berkata, “Keperluanku telah aku serahkan kepada Zat yang tidak boleh menghalangi kurniaan yang Dia berikan kepada orang yang Dia kehendaki. Apa yang Dia berikan, aku bersyukur. Dan apa yang Dia tidak berikan, aku bersabar. Aku memandang sesuatu dengan dua cara. Sesuatu yang telah ditetapkan untukku. Dan sesuatu yang ditetapkan untuk orang selainku. Tentang apa yang ditetapkan untukku, seandainya semua makhluk berusaha keras untuk menghalangnya dariku, mereka tidak akan mampu. Dan tentang sesuatu yang ditetapkan untuk selainku, maka tidak mungkin aku mendahului orang yang telah ditetapkan untuk mendapatkannya. Baik pada masa yang lalu mahupun yang akan datang. Seperti mana orang lain dihalangi untuk mendapatkan jumlah barang yang telah ditetapkan untukku. Demikian juga, aku dihalangi untuk mendapatkan jumlah rezeki yang telah ditetapkan untuk orang lain.”
Kemudian Khalifah Sulaiman meminta doa kepada Abu Hazim, “Wahai Abu Hazim, doakan kebaikan untukku.” Abu Hazim menjawab, “Tidak akan bermanfaat untukmu kalau aku mendoakanmu di hadapanmu. Sementara ada orang-orang yang dizalimi kerana kebijakanmu mendoakan keburukan untukmu walaupun mereka tidak berada hadapanmu. Doa mana yang lebih berhak untuk dikabulkan?” Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik menangis dan Abu Hazim pergi meneruskan aktivitinya.
Terdapat banyak petikan nasihat Salamah kepada khalifah Sulaiman bin Abdul Malik. Berikut adalah isi nasihatnya kepada khalifah mengenai umara’ dan ulama, “Wahai Amirul mukminin, umat-umat terdahulu tinggal dalam kebaikan dan kebahagiaan selama para pemimpinnya datang kepada ulama untuk mencari kebenaran pada diri mereka. Kemudian muncullah kaum dari golongan rendah yang mempelajari pelbagai ilmu kemudian datang kepada para Amir (pemimpin) untuk mendapatkan kesenangan dunia. Seterusnya Amir itu tidak lagi menghiraukan perkataan dan nasihat ulama. Mereka juga menjadi lemah dan hina di hadapan Allah SWT. Seandainya golongan ulama itu tidak tamak terhadap apa yang ada di sisi Amir, tentulah para Amir itu akan datang kepada mereka untuk mencari ilmu. Tetapi kerana para ulama menginginkan apa yang ada di sisi Amir, maka para pemimpin itu tidak lagi menghiraukan ucapan ulama.” Di antara ucapan Salamah bin Dinar yang lain, dia pernah berkata, “Semakin berat beban agama dan dunia.” Ada yang bertanya, “Bagaimana boleh demikian”? Dia menjawab, “Dalam masalah agama, aku tidak melihat ada yang boleh membantu. Adapun dalam permasalahan dunia, tidaklah engkau menghulurkan tanganmu dalam satu bahagian dunia kecuali kau melihat seorang yang fakir telah mendahuluimu melakukannya.”
Beliau juga mengatakan, “Ada dua perkara, jika kau lakukan kedua-duanya engkau akan mendapat kebaikan di dunia dan akhirat.” Ada yang bertanya, “Apakah dua perkara itu, wahai Abu Hazim?” Dia menjawab, “Tahan (bersabar dan perjuangkanlah) sesuatu yang tidak kau sukai jika perkara itu diredhai oleh Allah. Dan tahan (cegah) dirimu dari melakukan sesuatu yang kau sukai, tetapi dibenci oleh Allah.”
Salamah bin Dinar berkata, “Orang yang mudah bosan tidak akan mempunyai kawan. Orang yang hasad tidak pernah beristirehat dan orang yang melihat akibat dari sesuatu akan memperbaiki akal.”
Salamah bin Dinar banyak memberi nasihat dan hikmah bertutur dari iman yang tidak pernah luntur. Hidupnya untuk kehidupan akhirat. Pandangan matanya selalu menuju pada redha Allah SWT. Inilah di antara nasihat Salamah yang juga digelar sebagai Abu Hazim,
“Tidaklah seseorang memperbaiki antara dirinya dengan Allah, kecuali Allah akan memperbaiki keadaannya di hadapan orang-orang. Dan tidaklah seseorang buruk hubungannya dengan Allah, kecuali Allah akan membuat buruk pula keadaannya dengan sesama manusia. Mencari muka di hadapan satu wajah (iaitu Allah) lebih baik daripada mencari muka di hadapan seluruh wajah.”
Sungguh, untaian hikmah dan nasihat Salamah wajar diresapi dan direnungi. Semoga nasihat tersebut menjadi penguat kesabaran kita dalam menghadapi pelbagai ujian hidup. Semoga keteguhan imannya yang tidak pernah meluntur menjadi motivasi untuk kita dalam menjalankan aktivitas dakwah amar makruf nahi mungkar yang penuh rintangan dan ujian.
Sumber: https://m.facebook.com/MuslimahNewsCom/posts/1961414214036384/

