Ungkapan Allah sangat halus, hanya menyerahkan urusan kepada Allah. Namun, di sebalik kehalusan ungkapan ini, terdapat ancaman besar bahawa Allah akan membalas perbuatan mereka.
Allah SWT berfirman,
إِنَّ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا لَسْتَ مِنْهُمْ فِي شَيْءٍ إِنَّمَا أَمْرُهُمْ إِلَى اللَّهِ ثُمَّ يُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَفْعَلُونَ
“Sesungguhnya orang-orang yang memecah-belah agama mereka dan mereka (terpecah) menjadi beberapa golongan, tidak ada sedikit pun tanggungjawabmu terhadap mereka. Sesungguhnya urusan mereka terserah kepada Allah, kemudian Allah akan memberitahu kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan.” [TQM Al-An’am (6): 159]
Frasa “farraqû dînahum”, maksudnya ialah mereka menjadikan agama berpecah-belah dengan mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain.[1] Tidak jauh bezanya, al-Baidhawi juga berkata, mereka beriman sebahagian dan mengingkari sebahagian yang lain.[2]
Abdurrahman as-Sa’di menyatakan bahawa mereka mencerai-beraikan agama dan berpecah-belah di dalamnya. Setiap pihak mengaitkan dirinya pada nama-nama yang tidak berguna bagi manusia seperti Yahudi, Nasrani, atau Majusi. Boleh jadi keimanan mereka tidak sempurna dengan hanya mengambil suatu bahagian dari syariat dan menjadikannya sebagai agama mereka; lalu meninggalkan sebahagian yang lain bahkan lebih dari itu; seperti yang dilakukan oleh firkah ahli bid’ah, al-dhalâl (sesat), dan mufarriq (pemecah-belah) bagi umat ini.[3]
Kemudian Allah SWT berfirman, “Wakânû syiya’[n] (mereka [terpecah] menjadi beberapa golongan).” Ibnu Katsir, Al-Alusi, An-Nasafi, Al-Biqa’i, As-Samarqandi, dan Al-Qasimi juga mentafsirkan kata “syiya’” dalam ayat ini dengan firaq (jamak dari firqah/firkah).[4] Setiap firkah mengikut imam mereka sesuai dengan hawa nafsu mereka.
Majoriti ahli tafsir berpandangan, ayat ini bersifat umum merangkumi semua orang kafir, pelaku bid’ah dan mereka yang mengerjakan perkara yang tidak diperintahkan oleh Allah. Menurut Asy-Syaukani dan Al-Qinuji, ungkapan ayat ini memberikan makna umum, sehingga mencakup di dalamnya semua kelompok Ahlul kitab, kelompok musyrik dan bid’ah dalam Islam.[5]
Pendapat serupa juga disampaikan oleh Ibnu Katsir yang menegaskan secara zahir ayat ini meliputi semua orang yang meninggalkan agama Allah dan yang menyalahinya. Sesungguhnya Allah SWT mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar untuk mengalahkan semua agama.[6]
Seterusnya, perosak agama diancam oleh Allah SWT dengan firman-Nya, “Lasta minhum fî syay’ (tidak ada sedikit pun tanggungjawabmu terhadap mereka).” Frasa ini merupakan pesanan dari Allah SWT kepada Rasul-Nya, bahawa beliau berlepas diri dari pembuat bid’ah dan penyimpang agama di kalangan umatnya, daripada golongan musyrik dan daripada Yahudi serta Nasrani.[7]
Setelah Rasulullah saw dinyatakan terlepas daripada perbuatan mereka, ditegaskan juga bahawa penyimpangan mereka itu menjadi urusan mereka dengan Allah SWT. Allah SWT berfirman, “Innamâ amruhum ilâ Allâh (Sesungguhnya urusan mereka terserah kepada Allah).” Kata “al-amr” di sini bermakna balasan. Menurut Ibnu ‘Athiyah, frasa ini sehingga akhir ayat adalah ancaman semata-mata.[8]
Ungkapan yang digunakan oleh Allah adalah halus, hanya menyerahkan urusan kepada Allah. Namun, di sebalik kehalusan ungkapan ini, ada ancaman yang besar bahawa Allah akan membalas perbuatan mereka.
Ayat ini diakhiri dengan firman-Nya, “Tsumma yunabbiuhum bimâ kânû yaf’alûna (kemudian Allah akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan).” Kata “tsumma” menunjukkan bahawa peristiwa itu terjadi di akhirat kelak.[9] Bahawa di akhirat kelak, Allah SWT akan memberitahu kepada mereka tentang perbuatan mereka dan memberi balasan kepada mereka.[10] Hal ini sebagaimana dijelaskan dalam TMQ Al-Hajj [22]: 17.
Kerana perbuatan yang mereka lakukan termasuk dalam keburukan, mereka juga mendapat balasan buruk yang setimpal. Inilah ketetapan Allah terhadap hamba-Nya. Berbeza halnya jika hamba-Nya melakukan kebaikan. Dia akan membalasnya dengan kebaikan yang berlipat ganda sebagaimana ditegaskan dalam ayat berikutnya (Lihat: TMQ Al-An’am [6]: 160).
Dengan demikian, ayat ini memberikan dorongan agar umat Islam bersatu, tidak terpecah belah dalam agama dan tidak mengada-adakan bid’ah yang menyesatkan.[11]
Terima Keseluruhan
Islam diturunkan sebagai petunjuk bagi manusia untuk menjalani kehidupan. Dengan petunjuk Islam, manusia dapat membezakan antara hak dan batil; baik dan buruk; terpuji dan tercela; halal dan haram. Apabila dipatuhi dan dijalani, nescaya manusia akan terhindar dari kesesatan dan kecelakaan, serta dari kesempitan hidup di dunia dan kecelakaan di akhirat (lihat TMQ Thaha [20]: 123—124).
Mereka juga akan merasakan rahmat Islam bagi alam semesta (lihat TMQ al-Anbiya’ [21]: 107). Perlu diingat, semua kebaikan Islam itu hanya dapat dirasai apabila Islam diterima secara keseluruhan dan menyeluruh; tidak dikurangkan, ditambah atau diubah.
Pada ketika ini, kesegeraan untuk menjaga kesucian Islam adalah jelas. Sebagaimana umat Islam diperintahkan untuk masuk Islam secara kaffah, total dan menyeluruh (lihat TMQ Al-Baqarah [2]: 208), umat Islam juga dilarang keras melakukan tafrîq (memecah belahkan) terhadap agama. Larangan inilah yang ditegaskan oleh ayat ini.
Tindakan mengurangkan atau mengingkari bahagian tertentu dari Islam termasuk dalam cakupan ayat ini. Oleh itu, kaum Yahudi yang beriman kepada kerasulan Musa as. tetapi mengingkari kerasulan Isa as. dan Muhammad saw jelas termasuk di dalamnya. Begitu juga kaum Nasrani yang menolak kerasulan Muhammad saw.
Tidak terkecuali bagi mereka yang mengaku beriman terhadap al-Quran tetapi mengingkari as-sunnah sebagai sumber hukum seperti yang disuarakan oleh kelompok ingkâr as-sunnah; orang-orang yang mengakui kewajipan solat dan menolak kewajipan membayar zakat seperti yang dilakukan oleh segolongan manusia yang akhirnya diperangi oleh Khalifah Abu Bakar ra.; juga orang yang merendahkan Islam hanya sebagai ajaran ritual dan moral seperti yang disebarkan oleh kaum Islam liberal, Islam moderat dan seumpamanya. Pada masa yang sama, syariat Islam yang mengatur ekonomi, sosial, pendidikan, pemerintahan dan undang-undang ditolak dan diingkari serta orang yang memperjuangkannya dilabel sebagai Islam radikal.
Ini semua jelas termasuk dalam ‘perbuatan mengimani sebahagian dan mengingkari sebahagian yang lain’. Allah SWT mencela mereka. Mereka dinamakan sebagai orang kafir yang sebenar-benarnya. Allah SWT juga mengancam mereka dengan seksaan yang menghinakan (lihat TMQ Al-Baqarah [2]: 85).
Ayat ini juga melarang umatnya berpecah-belah ke dalam firkah-firkah yang sesat dan menyimpang, yang berpijak pada sebahagian Islam, dan tidak berpegang teguh kepada Islam kaffah. Larangan ayat ini selari dengan larangan dalam ayat lain kepada umat Islam menjadi kaum yang berpecah-belah (tafarruq) dan berselisih (ikhtilâf) dalam perkara yang amat jelas.
Sebagai contoh, riba dan berkahwin dengan kaum musyrik yang jelas diharamkan oleh Islam masih diperselisihkan. Jihad, hukuman qisas, dan potong tangan ke atas pencuri masih diperdebatkan. Padahal dalil-dalil yang mewajibkannya sangat jelas. Para pelakunya diancam dengan azab yang berat (Lihat: TMQ Ali Imran [3]: 105).
Semua tindakan ini, baik mengurangkan sebahagian dari Islam, menambahkan ‘syariat’ baru ke dalam Islam, bercerai-berai dan berselisih dalam perkara yang jelas dalam Islam serta memecah-belah agama Allah menjadi firkah-firkah sesat merupakan tindakan yang merosakkan agama. Pelaku perosak agama akan diancam dengan azab yang pedih. Azab itu akan berlipat ganda jika mereka mendapat pengikut yang meniru jejak kesesatannya. Wallâhu a‘lam bi ash-shawâb.
Nota kaki:
[1] Asy-Syaukani, Fath al-Qadîr, vol. 2, 231; al-Qinuji, Fath al-Bayân, vol. 4, 288.
[2] Al-Baidhawi, Anwâr at-Tanzîl wa Asrâr at-Ta’wîl, vol. 1 (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1998), 169. Tak jauh berbeda, as-Samarqandi, Bahr al-‘Ulûm, vol. 1 (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1993), 527 menyatakan, mereka mengimani sebagian rasul dan tidak mengimani sebagian lainnya.
[3] As-Sa’di, Taysîr al-Karîm ar-Rahmân, vol. 1 (Beirut: Alam al-Kutub, 1993),
[4] Ibnu Katsir, Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm, vol. 2 (Riyadh: Dar ‘Alam al-Kutub, 1997), 249; al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol. 4 (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994), 309; an-Nasafi, Madârik al-Tanzîl wa Haqâiq al-Ta’wîl, vol. 1 (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 2001), 299; al-Biqa’i, Nazhm Durar, vol. 2 (Beirut: Dar al-Kutub al-Kutub al-Ilmiyyah, 1995), 20; as-Samarqandi, Bahr al-‘Ulûm, vol. 1, 527; al-Qasimi, Mahâsin atTa’wîl, vol. 4 (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1997), 550.
[5] Asy-Syaukani, Fath al-Qadîr, vol. 2, 231; al-Qinuji, Fath al-Bayân, vol. 4, 288.
[6] Ibnu Katsir, Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm, vol. 2, 429.
[7] Ath-Thabari, Jâmi’al-Bayân, vol. 5 , 412. Bahwa makna ayat ini memberitakan bebasnya Rasulullah saw. dari tindakan kaum perosak agama itu juga dikemukan oleh Ibnu Katsir, Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm, vol. 2, 429; al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol. 4, 309; Ibnu Juzyi al-Kalbi, At-Tashîl li ‘Ulûm al-Qur’ân, vol. 1 (Beirut: Dar al-Kutub al-Kutub al-Ilmiyyah, 1995), 294; al-Baghawi, Ma’âlim at-Tanzîl, vol. 2, 120; al-Jazairi, Aysar at-Tafâsîr, vol. 2 (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1993), 146.
[8] Ibnu ‘Athiyah, Al-Muharrar al-Wajîz, vol. 2 (Beirut: Dar al-Kutub al-Kutub al-Ilmiyyah, 1993), 267.
[9] Asy-Syaukani, Fath al-Qadîr, vol. 2, 231. Kendati tidak disebutkan alasannya, kesimpulan yang sama juga disampaikan oleh al-Alusi, Rûh al-Ma’ânî, vol. 4, 310; al-Baghawi, Ma’âlim at-Tanzîl, vol. 2, 120.
[10] Ath-Thabari, Jâmi’al-Bayân, vol. 5 , 412; az-Zuhaili, At-Tafsîr al-Munîr, vol. 7,115.
[11] Al-Khazin, Lubâb at-Ta’wîl fi Ma’âni at-Tanzîl, vol. 2 (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1995), 177. Bahawa ayat ini memberikan dorongan kepada kaum Muslim untuk bersatu juga disampaikan oleh Nizhamudiin an-Naisaburi, Tafsîr Gharâib al-Qur’ân, vol. 3, 192.
Sumber: suaramubalighah.com/2020/06/30/ancaman-halus-terhadap-pemecah-belah-agama/

