Penulis: Ustazah Arini Retnaningsih
“Alangkah mengagumkan keadaan orang yang beriman kerana semua keadaaanya (membawa) kebaikan (untuk dirinya) dan ini hanya ada pada seorang mukmin, jika dia mendapatkan kesenangan dan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” (HR Muslim no.2999)
Pandemik Covid-19 terus mengganas hampir ke semua bahagian dunia di beberapa bulan terakhir ini. Pandemik ini telah menjadi satu musibah besar bagi umat manusia. Ada yang menjadi sakit, ada yang meninggal dan ada yang walaupun tidak terkena wabak, tapi masih terkena tempiasnya. Terkurung di dalam rumah, aktiviti luar terbatas dan ramai yang hilang pekerjaan dan punca pendapatan. Keadaan ini, ditambah lagi dengan polisi penguasa kapitalis yang tidak berorientasi pada kepentingan rakyat telah menimbulkan stress dan kemurungan terutamanya di kalangan masyarakat bawahan. Bagaimana tidak, mereka dilarang untuk keluar rumah, usaha mereka banyak ditutup, ekonomi merundum, lebih malang lagi, bantuan dari kerajaan jauh dari memadai bahkan ada yang langsung tidak menerima bantuan.
Bagi seorang muslim, kita sepatutnya meletakkan keyakinan akan qada Allah termasuklah dalam bab rezeki, kesihatan dan ajal dalam menghadapi ujian dan musibah. Dalam konteks musibah wabak ini, hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di atas sangat tepat untuk dijadikan pegangan. Hadis di atas, mengajar kita bagaimana bersikap saat mendapat kesenangan dan juga kesulitan dalak hidup.
Dengan syukur, kesenangan tidak akan menjerumuskan kita dalam kelalaian. Dengan bersabar, musibah dan ujian tidak akan menjauhkan kita dari Allah SWT. Inilah sebab mengapa Rasulullah sebut sebagai kebaikan baginya.
Bagaimana mungkin dalam musibah ada kebaikan? Inilah hikmah yang terkadang kita tidak mampu untuk menjangkakannya ketika sesuatu perkara terjadi. Tetapi setelah peristiwa itu telah berlalu, barulah kita menyedarinya. Buya Hamka, saat beliau dimasukkan ke dalam penjara pada tahun 1964 yang lalu, mungkin tidak menyedari kebaikan yang telah Allah persiapkan untuknya iaitu dengan memiliki waktu yang terluang untuk menyusun kitab tafsirnya yang sangat penting iaitu Tafsir Al Azhar.
Allah SWT berfirman,
وَعَسَىٰ أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” [TMQ Al-Baqarah (2): 216]
Nabi SAW bersabda:
إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا سَبَقَتْ لَهُ مِنْ اللَّهِ مَنْزِلَةٌ لَمْ يَبْلُغْهَا بِعَمَلِهِ ابْتَلَاهُ اللَّهُ فِي جَسَدِهِ أَوْ فِي مَالِهِ أَوْ فِي وَلَدِهِ
“Sesungguhnya seorang hamba ketika kedudukannya di sisi Allah telah mendahuluinya, sedangkan amalannya tidak sampai (pada kedudukan tersebut), maka Allah akan mengujinya di badan, atau harta, atau anaknya.” (HR Abu Dawud: 3090, dinyatakan sahih Al Albany)
Allah SWT mendatangkan ujian agar hamba tersebut bersabar yang dimana dengan pahala sabar ini akan sampailah mereka pada kedudukan yang Allah tetapkan baginya kerana pahala sabar itu sangat besar. Allah SWT berfirman,
إِنَّمَا يُوَفَّى ٱلصَّٰبِرُونَ أَجۡرَهُم بِغَيۡرِ حِسَابٖ
“Sungguh hanya kaum yang bersabar itu dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” [TMQ Az-Zumar (39): 10]
Lafaz “innama” merupakan perangkat pengkhususan (qashr) yang menguatkan isyarat atas keutamaan sifat sabar sehingga dia diganjarkan pahala tanpa batas. Sufyan bin Uyainah ra. juga menegaskan keutamaan sabar, “Tidaklah para hamba-Nya dianugerahi sesuatu yang lebih utama daripada kesabaran kerana dengan sabar itulah mereka masuk syurga.” (Abu Nu’aim dalam Al-Hilyah [VII/305], Ibn Abi al-Dunya dalam Ash-Shabr halaman50).
Ibnu Katsir dalam kitab tafsirnya menjelaskan bahawa sabar memiliki tiga dimensi yang perlu diperhatikan oleh orang-orang beriman. Dimensi pertama adalah menghindari larangan. Sabar disini bermaksud sabar ketika hal-hal yang disukai ternyata dilarang dan ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya untuk ditinggalkan. Dimensi kedua adalah ibadah dan ketaatan. Sabar perlu sentiasa digunakan ketika menjalankan ketaatan dalam bentuk ibadah kepada Allah. Dimensi ketiga pula adalah dimensi tabah dalam menghadapi ujian. Maksudnya, tetap taat walaupun dalam ujian yang berat dan tetap menghindari larangan walaupun banyak kenikmatan yang mengikutinya. Ini termasuklah bersabar ketika dalam keadaan kesusahan menghadapi wabak tetapi tetap taat dalam menjalankan perjuangan dakwah Islam.
Prof. Dr. Muhammad Rawwas Qal’ah Ji (w. 1435 H) dalam Mu’jam Lughat al-Fuqahâ’ (hlm. 270) menegaskan makna sabar sebagai ats-tsabât (keteguhan) menghadapi berbagai kesulitan (asy-syadâ’id); mencakup kesulitan menegakkan kebenaran dan menolak kebatilan. Kesabaran seperti inilah yang menjadi wasilah meraih pertolongan-Nya. Allah Swt. berfirman,
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱسۡتَعِينُواْ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّٰبِرِينَ
“Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Sungguh Allah beserta kaum yang sabar.” [TMQ Al-Baqarah (2): 153]
Berkenaan ayat ini, ‘Atha bin Khalil Abu al-Rasytah menjelaskan bahawa kesabaran itu tergambar dalam usaha menyampaikan kebenaran, mengamalkannya, serta mampu menghadapi cabaran di jalan Allah; kejayaan menjalaninya itu semua berdasarkan tuntunan Allah dan Rasul-Nya, tanpa ada penyimpangan dan sikap lemah dalam menghadapi itu semua (lihat juga: TMQ al-Baqarah (2): 249; TMQ al-Anfal (8): 46]
Sabar perlu sentiasa disertai dengan syukur kerana kedua-duanya merupakan kebaikan bagi seorang mukmin. Rasulullah SAW ketika mendapat sesuatu yang tidak disukai, Baginda mengucapkan, الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ yang bermaksud “Segala puji hanya milik Allah atas setiap keadaan.” (HR Ibnu Majah. Syekh Al Albani mengatakan hadis ini hasan)
Imam Ibnu al-Qayyim menyatakan bahawa ada empat tahap atau maqam sikap manusia terhadap musibah yang menimpa. Pertama, tahap lemah. Tahap ini berupa keluh kesah atau marah. Perkara tersebut hanya dilakukan oleh orang yang lemah akal, agama dan kehormatannya (muru’ah). Kedua, sabar. Ketiga, redha atas musibah yang menimpa. Redha ini lebih tinggi tahapnya daripada sabar. Tidak ada kenikmatan kecuali di dalamnya terdapat musibah. Begitu juga sebaliknya, tidak ada musibah kecuali di dalamnya ada kenikmatan. Kerana itu kita perlu bersabar dan bersyukur.
Syukur bukan hanya sekadar amalan hati atau ucapan Alhamdulillah, tetapi syukur juga perlu diwujudkan dengan perbuatan iaitu dengan menggunakan nikmat yang Allah berikan untuk menguatkan amal, mencari keredhaan Allah. Maka, di tengah pandemik ini, kita yang masih diberikan nikmat kesihatan perlulah sentiasa bersyukur dengan memperbanyakkan amal ibadah, infak di jalan Allah, mencari ilmu, berdakwah dan melakukan amar makruf nahi mungkar. Buat yang sakit, selain dari bersabar dan bersyukur, kita juga perlu bersangka baik pada Allah. Kemungkinan Allah berkenan menggugurkan dosa-dosa kita dan menganugerahkan pahala sabar dan syukur.

