Dalam riwayat yang bersumber dari Abdullah bin Mas’ud diceritakan bahawa Nabi ﷺ bersabda, “Barang siapa yang bermimpi melihatku di dalam tidurnya, maka sesungguhnya dia benar-benar melihatku kerana sesungguhnya syaitan tidak mampu menyerupaiku.” Abu Hurairah ra. menerangkan, Rasulullah ﷺ bersabda, “Barang siapa melihatku pada waktu tidur, maka sesungguhnya dia benar-benar melihat aku. Kerana sesungguhnya syaitan tidak akan mampu menyerupai (atau) menyamaiku.”
Dalam sebuah riwayat yang bersumber dari Abi Malik al-Asyja’i yang dia terima dari ayahnya dikemukakan, Rasulullah ﷺ bersabda, “Barang siapa melihat aku dalam tidur, maka sesungguhnya dia benar-benar melihat aku.” Yazid al-Farisi bercerita, aku bermimpi melihat Rasulullah ﷺ pada waktu tidur. Waktu itu Ibnu Abbas ra. masih hidup, maka aku bertanya pada Ibnu Abbas ra., “Sesungguhnya aku melihat Rasulullah ﷺ dalam tidur.” Ibnu Abbas ra. berkata, “Sesungguhnya Rasulullah ﷺ bersabda, ‘Sesungguhnya syaitan tidak mampu menyerupaiku. Maka, barang siapa melihatku dalam tidur, sesungguhnya dia benar-benar melihatku.’ “Adakah kau boleh menyebutkan sifat orang yang kau lihat dalam tidur itu?” (Tanya Ibnu Abbas ra.)
Yazid al-Farisi menjawab, “Ya, beliau adalah seorang lelaki dari dua orang lelaki (sederhana). Kulitnya putih (bukan putih seperti lelaki Inggeris), hitam kedua matanya, manis senyumnya, indah raut wajahnya. Janggutnya memenuhi ini sampai ke sini (Janggutnya memenuhi leher bahagian muka).” ‘Auf (perawi) berkata, “Aku tidak tahu apa yang tersirat dalam sifat ini!” Ibnu Abbas ra. berkata, “Sekiranya kau melihatnya dalam keadaan jaga, tentu kau tidak mampu menyifatkannya lebih dari ini.”
Abu Qatadah ra. berkata, Rasulullah ﷺ bersabda, “Barang siapa melihat aku (dalam tidur), maka betul-betul melihat yang sebenarnya.” Anas ra. mengungkapkan sesungguhnya Nabi ﷺ bersabda, “Barang siapa melihat aku pada waktu tidur (mimpi), maka sesungguhnya dia benar-benar melihat aku. Sesungguhnya syaitan tidak dapat menyerupai aku.” Beliau bersabda lagi, “Dan mimpi orang mukmin itu merupakan satu bahagian dari 46 bahagian sifat kenabian.”
Imam Tirmidzi menutup kitab asy-Syamail dengan dua buah atsar. Abdullah bin al-Mubarak berkata, “Bila diuji untuk menegakkan hukum (di antara umat), maka hendaklah kau berpegang dengan atsar.” Ibnu Sirin berkata, “Hadis ini adalah (pegangan) dalam beragama, maka perhatikanlah oleh kalian orang yang menjadi sumber pengambilan agama kalian.” Wallaahu a’lam.
Sumber: https://m.facebook.com/MuslimahNewsCom/posts/2016125148565290/

