Penulis: Nabila Ummu Anas
Derasnya arus liberalisasi pemikiran dalam kalangan generasi muda menyebabkan keluarga muslim khuatir tentang cara meletakkan Islam dalam diri anak remaja mereka. Opini bahawa semua agama adalah benar, jangan terlalu fanatik, mengamalkan ajaran agama adalah hak individu, tidak mencampuri agama orang lain, dll., lama kelamaan akan menghancurkan keyakinan remaja muslim terhadap Islam.
Padahal, Allah SWT menegaskan Islam adalah agama yang diredhai-Nya dan telah menyempurnakannya. Sebagaimana firman-Nya, “Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan telah Aku redhai Islam sebagai agamamu.” [TMQ Al-Maidah(5): 3]
Memahamkan tentang Islam Kaffah
Perlu ada usaha untuk membuka minda remaja tentang Islam yang sebenarnya. Islam bukan agama ritual semata-mata. Lebih dari itu, Islam adalah risalah dari Allah SWT Sang Pencipta manusia dan dunia seluruhnya.
Muhammad saw telah membawa Islam sebagai tuntunan kehidupan manusia di dunia. Setiap orang yang sudah baligh dan berakal wajib mempelajari Islam sehingga mengetahui dan menjadikannya panduan dalam hidup.
Manusia akan menemukan solusi permasalahan hidup dalam Islam. Islam memberikan penyelesaian kepada pelbagai masalah, bermula dari manusia bangun tidur sehingga menutup mata selama-lamanya.
Adalah penting untuk melakukan pembentukan dan pengukuhan akidah pada remaja muslim. Sejak baligh, remaja mesti tahu dan yakin siapa penciptanya. Melalui proses berfikir, remaja meyakini kerasulan Muhammad saw dan al-Quran sebagai kalam Allah yang disampaikan oleh Rasulullah saw untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.
Melalui al-Quran, remaja muslim juga meyakini adanya malaikat, nabi, dan rasul sebelum nabi Muhammad saw, kitab suci selain al-Quran, juga hari kiamat dan kehidupan di akhirat. Remaja juga harus memahami bahawa Allah SWT memerintahkan orang mukmin untuk masuk ke dalam Islam secara keseluruhan (kaffah).
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu.” [TMQ Al-Baqarah(2): 208]
“Kaffah” di sini tentunya bukan hanya yakin akan Islam tanpa ada bukti penerapan dalam kehidupan. Bukan juga mengambil Islam hanya sebahagian seperti dalam urusan solat, puasa, membaca al-Quran; sedangkan ketika berpakaian, interaksi berlainan jantina, transaksi, pendidikan, dll. diserahkan kepada pilihan individu untuk mengambil Islam atau tidak.
Islamku Mesti Hadir dalam Kehidupan
Memang benar, Islam kaffah hari ini seolah-olah melihat susunan puzzle yang berlubang-lubang. Hal ini kerana Islam kaffah akan terasa sempurna jika diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Namun, sekurang-kurangnya jika remaja muslim memahami puzzle tersebut maka akan muncul dorongan dalam diri mereka untuk memperjuangkannya. Usaha ini mestilah berterusan dan istiqamah.
Jika sudah memahami bahawa Islam adalah agama yang sempurna dan diredhai Allah, sudah tentu tiada keinginan untuk mencari solusi alternatif kepada semua masalah. Apatah lagi membandingkan antara tawaran solusi manusia dan ajaran Islam yang berasal dari Allah SWT, sungguh tidak wajar.
Pemikiran seperti ini hendaklah sentiasa ditanam pada diri remaja muslim sehingga mempengaruhi perasaan mereka. Kebahagiaan yang mereka kejar dalam hidup ini hanyalah kesenangan yang menipu dan sementara sahaja.
Wadah yang Kondusif
Pembentukan peribadi remaja seperti ini memerlukan sokongan keluarga dan komuniti kondusif untuk menguatkan iman dan terikat dengan Islam. Pemahaman Islam kaffah mestilah menjadi perbualan harian dalam keluarga dan masyarakat.
Keluarga dan komuniti ini adalah wadah yang selesa bagi remaja untuk meluahkan setiap realiti kehidupan yang mereka rasai setiap hari. Kehadiran Islam dengan pandangan dan solusinya terhadap realiti akan menjadi dialog biasa bagi remaja.
Kebiasaan ini akan menjadikan remaja muslim peka terhadap pelbagai perkara di sekeliling mereka. Mereka akan menjadi remaja yang bijak dengan tawaran solusi Islam apabila timbul masalah.
Kebiasaan mengasah pemikiran dan perasaan dengan panduan Islam akan menjadikan remaja tidak meletakkan Islam sebagai agama ritual atau urusan peribadi sahaja. Justeru, remaja memahami bahawa Islam adalah risalah dari Allah SWT yang wajib diterapkan di muka bumi ini kerana hanya dengan melaksanakan peraturan-Nya manusia dapat mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

