Penulis: Muhammad Husain Abdullah
Pengumpulan dan pelembagaan al-Quran berlangsung selama tiga zaman iaitu zaman Rasulullah saw, Khalifah Abu Bakar ra, dan Khalifah Uthman bin Affan ra.
Zaman Rasulullah saw.
Telah disebutkan dalam hadis-hadis sahih, ketika satu atau lebih ayat al-Quran diturunkan kepada Nabi saw, beliau segera memerintahkan seorang jurutulis untuk menuliskan wahyu. Setelah itu, beliau menyampaikan al-Quran kepada sebilangan umat Islam sehingga perkataan mereka menjadi hujah yang pasti bagi mereka. Sehingga akhirnya, orang-orang yang mendengarkan ayat-ayat al-Quran mencapai jumlah yang tawaatur.
Mereka juga menghafal al-Quran, sama ada satu atau beberapa ayat. Pada setiap ayat al-Quran terdapat penghafaz yang bilangannya mencapai darjat tawaatur, terutama ketika penulisannya. At-tawaatur adalah nas yang diriwayatkan oleh sebilangan orang yang mustahil secara adat mereka bersepakat untuk berdusta. Mengenai pemeliharaan al-Quran (hifzh ul-Quran) pada zaman Rasulullah saw dilakukan dengan dua cara.
– Pemeliharaan al-Quran di dalam dada sejumlah besar sahabat dan umat Islam yang bilangannya mencapai had tawaatur.
– Penulisan al-Quran oleh penulis wahyu (kuttaab ul-wahyi) yang dipilih oleh Rasulullah saw. Di antara mereka terdapat al-khulafaa al-rasyidun yang empat, Mu’aawiyah, Zaid bin Tsaabit, Ubay bin Ka’ab, Khalid bin al Walid, dan Tsaabit bin Qays. Rasulullah saw memerintahkan mereka untuk menulis setiap ayat al-Quran (yang turun) di atas ruqqaa’ (bentuk jamak dari kata ruq’ah/papan, kadang-kadang ditulis di atas batu, berupa pelepah kurma, tulang unta, biri-biri, kayu, atau kulit).
Penyusunan Ayat dan Surah
Susunan ayat dan surah bersifat tauqifiy iaitu merupakan hak prerogatif Allah SWT. Allah memerintahkan Rasul-Nya melalui jalan wahyu untuk meletakkan setiap ayat dalam sebuah surah pada kedudukannya masing-masing. Rasulullah saw bersabda, “Jibril datang kepadaku kemudian memintaku untuk meletakkan ayat ini pada kedudukan ini dalam surah ini. Sesungguhnya Allah memerintahkan untuk berbuat adil dan berbuat baik, memberi pertolongan kepada kaum kerabat sehingga akhir ayat [An Nahl(16): 90]. (HR Ahmad dengan isnad yang sahih)
Telah terbukti bahawa beliau saw membaca sejumlah surah dengan tartib (susunan) ayatnya di dalam solat atau ketika beliau saw berkhutbah Jumaat dengan disaksikan oleh para sahabat. Ini merupakan bukti bahawa penyusunan ayat-ayat al-Quran bersifat tauqifiy. Selama para sahabatnya menyusun ayat menurut tartib (penyusunan) yang mereka dengar dari Nabi saw yang telah membacakan al-Quran dan telah mencapai darjat tawaatur, maka penyusunan surah di dalam mushaf juga bersifat tauqifiy.
Walaupun demikian, ada sebahagian pendapat yang mengatakan bahawa sebahagian bersifat tauqifiy dan sebahagian yang lain bersifat ijtihaadiy (Imam Suyuuthiy, Al Itqaan fiy ‘Uluum il Qur’an). Bukti bahawa susunan surah bersifat tauqifiy adalah susunan surah yang disusun oleh Uthman yang tercantum di dalam mushaf-mushaf, dilembagakan dengan susunan seperti itu. (Shubhiy al-Shaalih).
Susunan tersebut tidak dinafikan oleh seorang sahabat atau mereka juga tidak menyangkal penyusunan seperti itu. Oleh itu, pelembagaan al-Quran adalah termasuk sebahagian dari ijmak sahabat. Padahal, ijmak sahabat merupakan salah satu dalil yang diakui secara syarie.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah. Studi Dasar-Dasar Pemikiran Islam.

