Site icon MuslimahHTM News

Pentingnya Adab

Penulis: Arief B. Iskandar

Suatu ketika, Imam Yahya bin Qaththan setelah melaksanakan solat asar, bersandar di bawah menara masjid beliau. Di sekitar beliau terdapat Ali bin al-Madini, Asy-Syadzakuni, Amru bin Ali, Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Main, serta ulama lainnya yang ingin berguru dengan beliau. Mereka berdiri hingga menjelang solat Magrib. Saat itu, Imam Yahya bin Qaththan tidak meminta mereka untuk duduk. Kerana itu mereka pun enggan duduk dalam rangka menghormati guru. (Al-Jami’ al-Akhlaq ar-Rawi wa Adab as-Sami’, hlm. 78) Demikianlah cara ulama terdahulu menghormati guru mereka. Mereka tetap memilih berdiri meski dalam waktu yang cukup lama sebelum sang guru mempersilakan mereka duduk.

Di lain waktu, Imam al-Fara’—seorang ulama Kufah yang paling pandai dalam ilmu nahu dan sastera—diminta oleh Khalifah Makmun untuk mengajarkan ilmu nahu kepada kedua puteranya. Ketika beliau selesai mengajar dan beransur diri untuk pergi, kedua anak Khalifah itu berebut-rebut untuk membawakan sandal Imam al-Fara’ sebagai tanda penghormatan mereka kepada sang guru. Mengetahui akan hal itu, Imam al-Fara’ akhirnya meminta kepada kedua anak itu masing-masing membawa satu sandal sehingga keduanya sama-sama menyerahkan sandal kepada beliau. (Wafayat al-A’yan, 2/228). Bukan hanya murid terhadap guru, adab juga acapkali ditunjukkan oleh ulama kepada ulama lainnya. Di antaranya ialah Imam Syafie. Sebagaimana yang diketahui, Imam Syafie berpendapat tentang kewajipan membaca doa qunut dalam solat Subuh. Namun, Imam Syafie—seorang ulama besar sekaligus imam mujtahid—pernah beberapa kali melaksanakan solat Subuh di makam Imam Abu Hanifah. Saat itu beliau memilih untuk tidak membaca doa qunut Subuh dalam rangka menjaga adab terhadap Imam Abu Hanifah yang berpendapat bahawa doa qunut Subuh tidak disyariatkan. (Ad-Dahlawi, Al-Inshaf fi Bayan Asbab al-Ikhtilaf, hlm. 110)

Demikianlah, betapa para ulama besar di zaman terdahulu amat hormat kepada ulama lainnya meski berbeza pendapat. Bahkan, terhadap ulama yang sudah wafat pun adab itu tetap dijaga. Adab yang sama ditunjukkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal. Selama ini beliau berpendapat mengenai kewajipan keharusan membaca basmalah (saat membaca surah Al-Fatihah) secara sirr (suara yang perlahan dan hanya diri sendiri yang mendengar) dalam solat. Namun, di wilayah tertentu beliau berpendapat, “Basmalah dibaca jahr (dengan suara jelas yang boleh didengari orang lain) jika berada di Madinah.” Ibnu Taimiyah menyimpulkan bahawa Imam Ahmad kadang-kadang meninggalkan beberapa perkara sunnah demi kesatuan dan menghindari perpecahan. Alasannya, menyatukan hati umat lebih agung dalam agama dibandingkan dengan beberapa perkara sunnah. (Risalah al-Ulfah bayna al-Muslimin, hlm. 47—48)

Dalam riwayat lain disebutkan bahawa Qadhi Abu Utsman al-Baghdadi, meskipun termasuk ulama besar dan hakim mazhab Maliki, sering mengunjungi Imam ath-Thahawi yang bermazhab Hanafi untuk menyemak karya-karya beliau. (Al-Maqalat al-Kautsari, hlm. 348). Adab juga ditunjukkan oleh para ulama terhadap ilmu. Suatu saat, Imam al-Hulwani—ulama pengikut mazhab Hanafi yang menjadi imam besar di Bukhara—pernah menyampaikan, “Sesungguhnya aku memperoleh ilmu ini dengan memuliakannya dan aku tidak mengambil catatan ilmu kecuali dalam keadaan suci.”

Hal ini diikuti oleh murid beliau yang juga seorang ulama besar, yakni Imam Syamsuddin as-Sirakhsi. Suatu saat, beliau mengulang wuduk pada malam hari hingga 17 kali kerana sakit perut. Hal itu beliau lakukan agar dapat menelaah ilmu dalam keadaan suci. (Mukhatsar al-Fawaid al-Makkiyah, hlm. 30) Adab dan penghargaan para ulama terhadap ilmu juga ditunjukkan oleh Al-Hafizh Muhammad bin Abdissalam al-Bilkandi, salah seorang guru Imam Bukhari. Suatu saat, beliau menghadiri majlis imla‘ hadis. Saat Syeikh di majlis tersebut membacakan hadis, tiba-tiba pen Al-Bikandi patah. Khuatir kehilangan kesempatan untuk mencatat, beliau akhirnya mencari cara agar segera memperoleh sebatang pen. Tidak lama kemudian, beliau berteriak, “Saya mahu membeli pen dengan harga satu dinar!” Seketika itu juga, banyak pen yang dihulurkan kepada beliau. (Umdah al-Qari, 1/165).

Begitulah sosok Imam al-Bikandi. Beliau rela kehilangan wang sebanyak itu agar beliau tetap berkesempatan mencatat hadis. Beliau bertindak sebegitu sudah pasti kerana penghormatan dan penghargaannya yang luar biasa terhadap ilmu. Adab juga ditunjukkan oleh penguasa terhadap ulama. Pada suatu masa, Imam Ar-Rafii mengunjungi Sultan Khawarzmi Syah setelah tiba dari medan pertempuran. Ulama tarjih mazhab Syafie tersebut menyampaikan, “Saya telah mendengar bahawa Anda memerangi orang-orang kafir dengan tangan Anda sendiri. Saya ke sini untuk mencium tangan Anda itu.” Namun, Khawarizmi Syah menjawab, “Saya justeru yang yang ingin mencium tangan Anda.” Akhirnya, Khawarizmi mencium tangan Imam ar-Rafii. (Thabaqat asy-Syafi’iyah al-Kubra, VIII/284)

Disebabkan begitu berharganya akhlak atau adab para ulama, ada sebuah kisah menarik terkait seorang ulama besar bernama Ibn al-Mubarak. Saat itu beliau bertetangga dengan seorang Yahudi. Si Yahudi merancang untuk menjual rumahnya. Datanglah seseorang yang menawar rumahnya, “Engkau menjual dengan harga berapa?” Si Yahudi menjawab, “Dua ribu.” Si penanya berkata, “Harga rumahmu ini paling mahal seribu.” Si Yahudi menjawab, “Memang benar, tetapi yang seribu lagi untuk ‘harga’ tetanggaku, Ibnu Mubarak.” (Al-Makarim wa al-Mafakhir, hlm. 23)

Demikianlah, memiliki tetangga baik, berakhlak, dan beradab seperti Ibnu Mubarak merupakan sebuah ‘harta’ yang amat mahal bagi si Yahudi. Kerana itu beliau meletakkan nilai rumahnya bukan hanya nilai rumahnya yang berharga, tetangganya yang baik juga memiliki harga tersendiri. Mengapa begitu mulia akhlak atau adab para ulama dan para salaf soleh terdahulu? Kata-kata Imam Ibn Qasim, salah seorang murid senior Imam Malik barangkali dapat menjelaskan hal ini saat dia berkata, “Aku telah mengabdi kepada Imam Malik bin Anas selama 20 tahun. Selama itu, 18 tahun aku mempelajari adab (akhlak) dari beliau, sedangkan baki dua tahun untuk belajar ilmu.” (Tanbih al-Mughtarrin, hlm. 12) Bagaimana dengan kita?

Wama tawfiqi illa bilLah wa ‘alayhi tawakaltu wa ilayhi unib.

Exit mobile version