Site icon MuslimahHTM News

[Fikrul Islam] Akidah Islamiyyah

Akidah Islamiyyah telah memecahkan uqdatul kubra (permasalahan besar) yang terdapat pada manusia. Akidah Islamiyyah juga telah memberikan jawapan kepada persoalan-persoalan manusia kerana Islam telah menjelaskan bahawa alam semesta, manusia dan kehidupan merupakan ciptaan (makhluk) bagi sang pencipta (Al-Khaliq) iaitu Allah SWT dan selepas kehidupan ini akan ada hari kiamat.

Sesungguhnya hubungan diantara kehidupan dunia dengan apa yang ada sebelum wujudnya kehidupan dunia ialah ketundukan manusia kepada perintah-perintah dan larangan-larangan Allah SWT. Manakala hubungan diantara kehidupan dunia dengan apa yang ada selepas kehidupan dunia ialah wujudnya hari kiamat yang di dalamnya terdapat pahala dan seksa serta syurga dan neraka.

Al-Quran dan hadis telah menetapkan rukun-rukun akidah ini. Allah SWT berfirman,

اٰمَنَ الرَّسُوْلُ بِمَآ اُنْزِلَ اِلَيْهِ مِنْ رَّبِّهٖ وَالْمُؤْمِنُوْنَۗ كُلٌّ اٰمَنَ بِاللهِ وَمَلٰۤىِٕكَتِهٖ وَكُتُبِهٖ وَرُسُلِهٖۗ

لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ اَحَدٍ مِّنْ رُّسُلِه

“Rasul telah beriman kepada al-Quran, yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, dan rasul-rasul-Nya. (Mereka mengatakan), ‘Kami tidak membeza-bezakan antara seorang pun (dengan orang lain) dari rasul-rasul-Nya.’” [TMQ al-Baqarah (2):285]

Di dalam sebuah hadis yang panjang, Jibril AS pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Beritahukanlah kepadaku tentang iman!” Lalu Rasul SAW menjawab, “Iman itu ialah percaya kepada adanya Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari kiamat, dan percaya kepada al-qadar (takdir), baik dan buruknya berasal dari Allah SWT” Jibril berkata, “Kamu benar. ”[HR. Muslim, Tirmidziy, Abu Dawud, dan an Nasaiy]

Rukun Iman

Pemikiran-pemikiran mendasar dalam akidah Islam (rukun-rukun iman) ada enam rukun, iaitu:

Iman kepada adanya Allah SWT;

Iman kepada adanya Malaikat;

Iman kepada adanya kitab-kitab samawi;

Iman kepada rasul-rasul;

Iman kepada hari akhir/kiamat;

Iman kepada takdir, baik buruknya berasal dari Allah SWT

Iman merupakan keyakinan (al-i’tiqaad), yang bermakna pembenaran yang bersifat pasti, yang sesuai dengan fakta, serta berdasarkan bukti. Terdapat dua jenis dalil akidah:

Dalil aqli, iaitu suatu pembuktian (al-burhaan) yang boleh dibuktikan oleh aqal untuk mencapai sebuah pembenaran yang bersifat pasti (at-tashdiiq ul-jaazim) pada salah satu rukun dari rukun-rukun akidah.

Dalil sam’i (naqli), iaitu suatu berita yang bersifat pasti (al-khabar al-qath’i) yang memberitakan kepada kita tentang rukun-rukun akidah. Contohnya ialah ayat-ayat al-Quran.

Exit mobile version