Penulis: Najmah Saiidah
Kita telah sama-sama faham bahawa redha Allah bergantung kepada redha ibu bapa. Namun, selepas seorang wanita berkahwin, redha suami melebihi redha ibu bapa. Bahkan, Allah hanya akan redha kepada seorang wanita jika suaminya redha.
Seorang wanita yang tidak mendapat redha suaminya tidak akan diterima ibadahnya. Sebaliknya, wanita yang sentiasa mengharapkan keredhaan suaminya ialah sama seperti mengharapkan keredhaan Allah. Sudah tentu balasannya ialah syurga.
Dari Ummu Salamah RA, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda,
أَيُّمَا امْرَأَةٍ مَاتَتْ وَزَوْجُهَا عَنْهَا رَاضٍ دَخَلَتِ الْجَنَّةَ
“Sesiapa sahaja wanita yang meninggal dunia dan suaminya redha kepadanya, maka dia akan masuk syurga.” [HR Tirmidzi no. 1161 dan Ibnu Majah no. 1854].
Maksud hadis ini ialah jika seorang wanita mukmin meninggal dunia, dan dia benar-benar memperhatikan kewajipan suaminya sehingga suaminya redha kepadanya, maka syurga untuknya.
Redha Suami Akan Membawa Kepada Syurga Allah
Terdapat banyak hadis yang menjelaskan perkara ini. Antaranya Rasulullah SAW bersabda, “Mahukah aku beritahu kamu tentang isteri-isteri kamu di dalam syurga?” Mereka menjawab, “Sudah tentu, ya Rasulullah.’”Nabi berkata, “Wanita yang penyayang lagi subur. Jika dia marah atau mendapat perlakuan buruk atau suaminya marah kepadanya, dia berkata, ‘Ini tanganku di atas tanganmu, mataku tidak akan boleh terpejam sehingga engkau redha.’” [HR At-Thabrani]
Hadis ini mengingatkan kaum isteri agar sentiasa mengharapkan keredhaan suami sebelum dia tidur. Seorang isteri yang sangat faham bahawa redha suami akan membawanya ke syurga Allah, pasti akan berusaha untuk menyejukkan hati suaminya. Lebih-lebih lagi, lidah isteri ialah sembilu bagi hati suami.
Memang benar, hidup berumahtangga bukanlah mudah, tetapi banyak juga menghadapi onak dan duri, serta pelbagai rintangan dan cabaran dalam kehidupan suami isteri. Kita perlu mencontohi Abu Darda’ dan isterinya ketika menghadapi kesukaran-kesukaran dengan sabar dan tabah. Kedua-duanya saling redha terhadap satu sama lain.
Tariqh Damasyqus (70/151) dari Baqiyah bin Al-Walid menyebutkan bahawa Ibrahim bin Adham berkata, Abu Darda’ berkata kepada isterinya, Ummu Darda’, “Jika kamu sedang marah, maka aku akan membuatkanmu jadi redha dan apabila aku sedang marah, maka buatlah aku jadi redha. Jika tidak, maka kita tidak akan bersama.” Kemudian Ibrahim berkata kepada Baqiyah, “Wahai saudaraku, begitulah sepatutnya sikap orang-orang yang saling bersaudara itu dalam bersaudara, jika tidak begitu, mereka akan segera berpisah.”
Pentingnya Redha Suami dalam Pandangan Islam
Pentingnya redha suami juga ditekankan dalam beberapa hadis Rasulullah SAW. Sebuah riwayat menyatakan bahawa ibadah sunat pun tidak akan mendapat pahala bagi seorang isteri jika dia tidak meminta keredhaan suaminya. “Tidak halal bagi seorang isteri untuk berpuasa (sunat), sedangkan suaminya ada, kecuali dengan izinnya. Dan tidak halal memberi izin (kepada orang lain untuk masuk) ke dalam rumahnya kecuali dengan izin suaminya.” [HR Bukhari dan Muslim].
Begitu tinggi kedudukan seorang suami bagi isterinya. Jika suami marah, boleh mengakibatkan tertolaknya solat isteri. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Terdapat tiga golongan yang solatnya tidak diangkat walaupun sejengkal di atas kepala mereka (tidak diterima Allah). Orang yang mengimami suatu kaum tetapi kaum itu membencinya, isteri yang tidur sedangkan suaminya marah kepadanya, dan dua saudara yang saling mendiamkan diri (memutuskan hubungan).” [HR Ibnu Majah].
Dengan begitu, adalah sangat penting untuk mendapatkan redha suami sebelum seorang isteri memejamkan matanya. Tidurnya seorang isteri sebelum meminta keredhaan suami tidak akan menjadi ibadah, walaupun dia membaca doa sebelum tidur. Malah, jika suami marah, ia boleh mengakibatkan tertolaknya solat isteri. Wal ‘iyazubillaah.
Bagaimana Meraih Redha Suami?
Redha suami yang soleh terhadap isterinya akan membawa isterinya kepada syurga Allah. Sebaliknya, tidak redhanya suami terhadap isterinya akan membawa isterinya ke neraka-Nya. Al-Munawi rahimahullah dalam Faidhul Qodir berkata, “Suami ialah sebab yang memasukkan isteri ke dalam syurga kerana keredhaannya terhadap isterinya, dan sebab yang memasukkannya ke dalam neraka kerana kemarahannya kepadamu, maka perbaguskanlah dalam mempergaulinya dan janganlah menyelisihi perintahnya yang bukan maksiat kepada Allah.”
Maka apakah yang mesti kita lakukan untuk dapat meraih redha suami yang kelak akan membawa ke syurga-Nya?
- Taat kepada Suami
Jika seorang Isteri ingin meraih redha suami dan mendapat pahala daripada Allah SWT, hendaklah dia menjaga sikap dan mentaati perintah suaminya selagi tidak melanggar perintah Allah.
Dari Abu Hurairah RA, dia berkata,
قِيلَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ النِّسَاءِ خَيْرٌ قَالَ الَّتِي تَسُرُّهُ إِذَا نَظَرَ وَتُطِيعُهُ
إِذَا أَمَرَ وَلَا تُخَالِفُهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِهَا بِمَا يَكْرَهُ
“Pernah ditanyakan kepada Rasulullah SAW, ‘Siapakah wanita yang paling baik?’ Baginda menjawab, ‘Iaitu yang paling menyenangkan jika dilihat oleh suaminya, mentaati suami jika diperintahkan, dan tidak menyelisihi suami pada diri dan hartanya sehingga membuat suaminya benci.’” [HR An-Nasai].
“Jika seorang wanita selalu menjaga solat lima waktu, juga berpuasa sebulan (dalam bulan Ramadan), dan betul-betul menjaga kemaluannya (dari perbuatan zina) serta benar-benar taat kepada suaminya, maka dikatakan kepada wanita yang mempunyai sifat mulia ini, “Masuklah ke dalam syurga melalui pintu mana sahaja yang engkau suka.’” [HR Ahmad dan Ibnu Hibban]
- Bersyukur Terhadap Perlakuan Suami Kepadanya
Allah SWT memerintahkan setiap muslim untuk bersyukur, sebagaimana sabda Rasul SAW, “Orang yang tidak berterima kasih kepada manusia bererti dia tidak bersyukur kepada Allah.” [HR Abu Daud]. Janganlah sampai kita tergolong dalam firman Allah SWT, “Dan sedikit sekali dari hamba-hamba-Ku yang bersyukur (berterima kasih).” [TMQ Saba’ (34): 13]
Bahkan, Rasulullah SAW menekankan dalam hadis lain khusus untuk wanita. Sabdanya yang bermaksud, “Diperlihatkan neraka kepadaku dan aku melihat kebanyakan penghuninya terdiri dari kaum wanita, mereka kufur.” Para sahabat bertanya, “Adakah kerana mereka kufur kepada Allah?” Rasul menjawab, “(Tidak), mereka kufur kepada suaminya dan mereka kufur kepada kebaikan. Jika seorang suami di antara kamu berbuat baik kepada Isterinya selama setahun, kemudian Isterinya melihat sesuatu yang buruk pada suaminya, kemudian dia berkata, “Aku tidak pernah melihat sebarang kebaikan padamu.’” [HR Bukhari dari Ibnu Abbas RA]
Sedarlah kita bahawa suami yang Allah kurniakan kepada kita ialah nikmat yang besar. Perhatikanlah di sekeliling kita, bukan sedikit kaum wanita yang mendambakan kehadiran seorang suami, tetapi masih belum mendapatnya.
- Menyenangkan Suami Ketika Melihatnya
Seorang isteri yang ideal sentiasa kelihatan ceria, lemah lembut, dan menyenangkan suami. Jika suami pulang ke rumah selepas seharian bekerja, dia menemui sesuatu yang dapat menenangkan dan menghiburkan hatinya. Jika suami mendapati isterinya bersolek dan ceria menyambut kedatangannya, dia telah mendapat ketenangan hakiki daripada isterinya.
Rasulullah SAW bersabda, “Sebaik-baik isteri ialah yang menyenangkan jika engkau melihatnya, taat jika engkau menyuruhnya, serta menjaga dirinya dan hartamu semasa engkau pergi.” [HR Ibnu Majah].
”Bagi lelaki mukmin, selepas bertakwa kepada Allah SWT, tidak ada yang lebih berguna bagi dirinya selain isteri yang solehah, iaitu taat apabila diperintah, melegakan apabila dilihat, redha apabila diberi sedikit, dan menjaga kehormatan diri dan suaminya ketika suaminya pergi.” [HR Ibnu Majah].
- Tidak Menyakiti Suami, Baik Secara Lisan mahupun Perbuatan
Jika melihat sikap atau perangai pasangan yang tidak sesuai, alangkah baiknya jika kita redha dengan akhlak yang lain dengan terus menasihati antara satu sama lain. Hal ini kerana memang tidak ada peribadi manusia yang sempurna. Dia mempunyai kesalahan, keburukan, atau kekurangan di satu sisi, tetapi dia juga mempunyai (banyak) kebaikan di sisi lain.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Janganlah seorang mukmin membenci seorang mukminah. Jika dia membenci salah satu perangainya, nescaya dia akan redha dengan perangainya yang lain.” [HR Muslim]
Seorang isteri tidak boleh memanggil suaminya dengan keburukan atau mencaci-makinya kerana dia boleh menyakiti hati suami. Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah seorang isteri yang menyakiti suaminya di dunia melainkan isterinya dari para bidadari syurga akan berkata, “Jangan engkau menyakitinya. Celakalah dirimu! Kerana dia hanya berkumpul sebentar denganmu kemudian meninggalkanmu untuk kembali kepada kami.’” [HR Tirmidzi].
- Melayani Semua Keperluan Suami
Isteri wajib melayani semua keperluan suaminya. Namun, ini tidak bermakna seorang suami boleh bertindak sewenang-wenangnya. Wajib baginya menjalin hubungan baik dengan isterinya. Dalam hadis Rasulullah SAW bersabda, “Apabila suami mengajak isterinya untuk memenuhi keperluannya, hendaklah isteri mendatanginya walaupun isteri sedang berada di dapur.” [HR Tirmidzi].
Dari Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya aku akan berhias untuk isteriku, sebagaimana dia berhias untukku. Aku suka jika dia menyampaikan secara bersih segala apa yang merupakan hakku ke atasnya sebagaimana aku menyampaikan secara bersih apa yang menjadi haknya ke atasku.”
“Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidaklah seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya kemudian isterinya menolak (enggan terhadapnya), maka penghuni langit murka kepadanya hingga suaminya redha kepadanya.” [HR Bukhari dan Muslim].
Khatimah
Telah sedemikian jelas Islam memberikan panduannya kepada kita semua. Hal ini yang akan menjadi bekal kepada kaum isteri agar dapat menjadi isteri yang solehah untuk mendapat redha suami yang kelak akan membawanya ke syurga.
Wahai isteri-isteri yang solehah, mari kita jadikan bakti kita kepada suami berbalas redha Allah dan melakukannya dengan niat yang ikhlas kerana Allah. Selalulah berusaha bersungguh-sungguh dengan cara yang baik sehingga kita mendapat redha suami, maka Allah pun akan redha terhadap kita. Insyaallah. Aamiin yaa mujiibas saailiin.

