Penulis: Ustazah Rohmah Rodhiyah
وَيَوۡمَ نَبۡعَثُ فِي كُلِّ أُمَّةٖ شَهِيدًا عَلَيۡهِم مِّنۡ أَنفُسِهِمۡۖ وَجِئۡنَا بِكَ شَهِيدًا عَلَىٰ هَٰٓؤُلَآءِۚ وَنَزَّلۡنَا عَلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ تِبۡيَٰنٗا لِّكُلِّ شَيۡءٖ وَهُدٗى وَرَحۡمَةٗ وَبُشۡرَىٰ لِلۡمُسۡلِمِينَ
“(Dan ingatlah) akan hari (ketika) Kami bangkitkan pada tiap-tiap umat seorang saksi atas mereka dari mereka sendiri dan Kami datangkan kamu (Muhammad) menjadi saksi atas seluruh umat manusia. Dan Kami turunkan kepadamu Al-Kitab (Al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang Islam.” [TMQ An-Nahl (16): 89]
Mac merupakan bulan duka bagi kaum muslimin yang tidak dapat dilupakan, iaitu hilangnya institusi Islam, Khilafah Islamiyah. Secara mencatat Khilafah berdiri tegak selama 13 abad dan memiliki wilayah yang sangat luas, iaitu lebih dari 2/3 dunia. Barat berjaya menghancurkannya secara rasmi pada bulan Mac tahun 1924 dan terpecah belah menjadi lebih 50 buah negara.
Tempoh masa kepemimpinan Rasulullah saw. berlangsung di Madinah selama 10 tahun (622—632 M). Tempoh masa Khulafa Ar-Rasyidin berlangsung selama 29 tahun (632 M – 661 M). Tempoh masa Khilafah Bani Umayyah berlangsung sekitar 89 tahun. Tempoh masa Khilafah Bani Abbasiyah berlangsung sekitar 549 tahun. (Imam As Suyuthi, Tarikh Khulafa’ [Sejarah Khulafaurasyidin, Bani Umayah, dan Bani Abbasiyah], Jakarta: Pustaka Al Kautsar, 2005). Selanjutnya Khilafah Uthmaniyah berdiri tegak sehingga tahun 1924 M. Wilayahnya mencapai 2/3 dunia, meliputi sebahagian Asia, Afrika, dan Eropah (Dr. Ali Muhammad ash Shalabi, Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Uthmaniyah, Jakarta: Pustaka Al Kautsar, 2004). Dengan tertegaknya Khilafah Islamiyah, seluruh hukum Islam dapat diterapkan, kerana tujuan tegaknya Khilafah adalah untuk menerapkan hukum Islam secara sempurna.
Sebagai umat Islam, kita wajib menjadikan syariat Islam sebagai pedoman saat beraktiviti dalam seluruh urusan kehidupan, baik urusan dunia mahupun akhirat. Yakni menjadikan syariat Islam sebagai pedoman saat beribadah, makan-minum, bersosial, berekonomi, berhukum, berpolitik, berkeluarga, bertetangga, bermasyarakat dan bernegara (Muhammad Husain Abdullah, Dirasat fi Al Fikri Al Islamiyah, Aman: Darul Bayariq, 1990).
Manusia memerlukan aturan yang benar, aturan yang dibuat oleh Allah Yang Maha Benar. Kenapa demikian, kerana aturan kalau dibuat oleh manusia tidak ada jaminan kebenarannya dan bebas dari berbagai kepentingan. Kerananya tidak ada jaminan bahawa aturan itu benar dan menguntungkan bagi semua manusia. Berbeza jika aturan dibuat oleh Allah yang tidak mempunyai kepentingan terhadap dunia, sehingga aturan itu mampu menguntungkan semua umat manusia. Perhatikan dunia Islam tanpa Khilafah, tidak ada satu negara pun yang mampu menerapkan syariat Islam secara kaffah. Negara tidak mampu melindungi kaum muslim dari penderitaan. Penderitaan berlaku di mana-mana, di India, Uyghur, Palestin, dan lain-lain. Lebih parah lagi, kaum muslimin merasa biasa (selesa) saat negara mengurusi kehidupan dunia menurut aturan buatan mereka sendiri, dan bahkan buatan orang kafir. Sedangkan syariat Islam hanya dipakai untuk mengurusi urusan akhirat. Hal ini dianggap biasa, seakan-akan tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan tidak ada penjelasan dalam Al-Quran. Padahal Al-Quran menjelaskan dalam surah An-Nahl ayat 89.
وَنَزَّلْنا عَلَيْكَ الْكِتابَ تِبْياناً لِكُلِّ شَيْءٍ
“Dan Kami turunkan kepadamu Al-Kitab (Al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu.”
Imam Jalaluddin menafsirkan, “Dan Kami turunkan kepadamu Al-Kitab (Al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu berupa syariat Islam yang diperlukan manusia dan petunjuk dari kesesatan.’ (Imam Jalaluddin, Tafsir Jalalain, Surah An-Nahl ayat 89). Sedangkan Imam Ali Ash Shabuni menjelaskan, “Dan Kami turunkan kepadamu Al-Kitab (Al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu. Ibn Mas’ud berkata, ‘Allah menjelaskan di dalam Al-Quran seluruh pengetahuan atas segala sesuatu. Mujahid berkata, ‘(Seluruh pengetahuan) berkaitan dengan setiap yang halal dan setiap yang haram. Sesungguhnya Al-Quran meliputi semua pengetahuan yang bermanfaat berupa khabar yang terdahulu dan khabar yang akan datang, dan setiap yang halal dan haram, dan apa yang diperlukan manusia dalam mengurus urusan dunianya, agamanya, kehidupannya, tempat kembalinya–akhirat.’” (Imam Ali Ash Shabuni, Mukhtashar Ibn Katsir, Surah An-Nahl ayat 89, Beirut-Libanon: Dar Al-Quran Al-Karim).
Akibat tidak diterapkan syariat Islam, kehidupan menjadi tidak berkah, tidak mendatangkan kesejahteran, kerana sebenarnya manusia itu memerlukan aturan yang benar dan ada jaminan bahawa dengan menerapkannya akan mendapatkan rahmat dan kesejahteraan dunia-akhirat. Ertinya dengan menerapkan seluruh hukum Islam akan mendatangkan solusi atas permasalahan dan mampu mencapai kesejahteraan dan kemakmuran, serta terhindar dari krisis/penderitaan dunia. Dan di akhirat akan mendapatkan kebahagiaan di syurga dan terhindar dari neraka.
Firman Allah dalam Surah An-Nahl ayat 89,
وَهُدٗى وَرَحۡمَةٗ وَبُشۡرَىٰ لِلۡمُسۡلِمِينَ
“Dan (Al-Quran) sebagai petunjuk, rahmat, dan khabar gembira bagi orang-orang Islam.”
Ibn Abbas menjelaskan, “Bahawa Al-Quran sebagai petunjuk dari kesesatan serta rahmat dari azab dan khabar gembira dengan syurga bagi orang-orang Islam.” (Ibn Abbas, Tanwir Miqbas min Tafsir Ibn Abbas, Tafsir Surah An-Nahl ayat 89).
Sekularisme menjadikan kaum muslimin mempunyai dalih untuk tidak menerapkan hukum Islam dalam mengurus urusan kehidupan dunia. Hujah yang mereka sampaikan pun bermacam-macam. Sebahagian mengatakan apa yang mereka lakukan sudah sesuai dengan hadis, “antum a’lamu bi umuriddunyakum (Kalian lebih mengetahui urusan dunia kalian).” Padahal hadis itu tentang teknik penyerbukan, sudah pasti diserahkan kepada ahli penyerbukan kurma, bagaimana memilih teknik penyerbukan yang paling efektif dan produktif. Ada juga yang berdalih bahawa hukum Islam diterapkan dalam bingkai Khilafah itu tinggal sebagai sejarah dan tidak lagi relevan dengan zaman sekarang. Sebahagian berdalih Khilafah tidak mempunyai sistem pemerintahan yang tetap dan akan memecah belah bangsa, dan lain-lain. Memang benar, selama mereka masih hidup di dunia, mereka masih dapat berdalih dengan berbagai macam hujah dan alasan, dari hujah yang seakan-akan syarie dan intelektual, sehinggalah yang cakap-cakap kosong tanpa asas. Namun ingatlah bahawa pada hari kiamat, saat manusia dibangkitkan di akhirat kelak, manusia sudah tidak dapat berhujah lagi. Pada saat itu para rasul sebagai saksi bahawa syariat Islam yang diturunkan Allah telah disampaikan kepada manusia.
Firman Allah dalam Surah An-Nahl ayat 89,
” وَيَوۡمَ نَبۡعَثُ فِي كُلِّ أُمَّةٖ شَهِيدًا عَلَيۡهِم مِّنۡ أَنفُسِهِمۡۖ وَجِئۡنَا بِكَ شَهِيدًا عَلَىٰ هَٰٓؤُلَآءِۚ”
“(Dan ingatlah) akan hari (ketika) Kami bangkitkan pada tiap-tiap umat seorang saksi atas mereka dari mereka sendiri dan Kami datangkan kamu (Muhammad) menjadi saksi atas seluruh umat manusia.”
Imam Mawardi dan Imam Qurtubi menafsirkan, iaitu, “(Dan ingatlah) akan hari (ketika) Kami bangkitkan pada tiap-tiap umat seorang saksi, iaitu para nabi sebagai saksi atas umat-umat mereka pada hari kiamat. Pada setiap zaman ada saksi. Jika tidak ada nabi, ada pengganti. Ada dua pendapat: Pertama, penggantinya adalah pemimpin kaum muslimin yang mendapatkan petunjuk, iaitu para Khalifah. Kedua, penggantinya adalah para ulama yang Allah menjaganya kerana mereka istiqamah menerapkan syariat Nabi Muhamad saw., yakni syariat Islam (Tafsir Al Qurtubi dan Tafsir Al Mawardi, Surah An-Nahl ayat 89). Adapun Imam Alqaththan menafsirkannya, “Dan pada hari kiamat Kami (Allah) kumpulkan manusia, dan Kami akan datangkan dari setiap umat saksi yang menyaksikan mereka atau atas mereka bahawa mereka telah menerima rasul-rasul Kami. Pada hari Kiamat tidak didengar/tidak diterima lagi alasan-alasan apa pun dari orang-orang kafir, tidak diterima uzur yang mereka sampaikan. Sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Mursalat: 35—36 yang ertinya, “Ini adalah hari, yang mereka tidak dapat berbicara (pada hari itu). Dan tidak diizinkan kepada mereka minta uzur…” (Al Qaththan, Tafsir Al Qaththan, Surah An-Nahl ayat 89).
Dengan demikian sudah selayaknya kaum muslimin bergegas/lari kepada Allah, selagi hayat dikandung badan. Bersegera menyambut seruan Allah dan Rasul-Nya untuk menerapkan syariat kaffah dalam bingkai Khilafah. An-Nawawi mengatakan, “Mereka (para ulama) telah bersepakat bahawa kaum muslimin wajib mengangkat seorang khalifah.” (Syarh Shahih Muslim: 12/205).

