Seorang wanita dalam puncak keluhuran dan kehormatan dengan pilar-pilar kemuliaan terangkat di antara keluarga dan kerabatnya dari para khalifah dan pembesar khalifah. Beliau ialah Ummu Al-Banin Binti Abdul Azin Bin Marwan, adik perempuan Umar Bin Abdul Aziz sekaligus isteri dari Al-Walid Bin Abdul Malik, sepupunya sendiri. Dari pernikahan Ummu Al-Banin dan Al-Walid, lahirlah Abdul Aziz, Muhammad, dan Aisyah.
Para sejarawan yang menulis biografi mengenai Ummu Al-Banin Binti Abdul Aziz sepakat bahawa beliau termasuk salah seorang wanita terbaik pada zamannya. Beliau menghabiskan waktunya untuk mengkaji ilmu, fikih, dan beribadah kepada Allah SWT, dan beliau juga berguru kepada para ulama dan tokoh tabiin.
Ummu al-Banin memiliki perhatian yang tinggi dalam kajian Islam. Setiap Jumaat beliau akan duduk di atas singgahsananya untuk berdakwah di jalan Allah. Beliau mengajar di hadapan para wanita ahli ibadah yang mengelilinginya untuk berbincang dan belajar padanya.
Salah satu perkataan masyhur yang menggambarkan kebijakannya ialah ketika beliau mengatakan, “Orang yang paling bakhil ialah orang yang bakhil pada dirinya sendiri dengan syurga,” dan “Setiap orang itu tamak akan sesuatu dan Allah menjadikanku tamak untuk menderma.”
Selain itu, beliau fasih berbicara sehingga lawan bicaranya tidak dapat berhujah mencari alasan. Seperti ketika beliau mendedahkan kesalahan Hajjaj Bin Yusuf Ats-Tsaqafi, orang yang terbukti membunuh orang-orang bertaqwa pada masa itu sehingga Hajjaj tidak dapat menghindari dari kesalahan yang telah dituduhkan kepadanya. Ummu Al-Banin senantiasa berzikir kepada Allah dan mentautkan hatinya dengan al-Quran. Beliau sering membaca al-Quran setiap pagi dan petang sehingga yang terlihat padanya selalu membaca al-Quran dengan menundukkan diri kepada Zat yang Maha Pengasih, Allah SWT.
Ummu Al-Banin ialah wanita tabiin yang sangat dermawan. Di antara bentuk kedermawanannya ialah ketika beliau mengundang ramai wanita ke rumahnya. Lalu, beliau mengagihkan pakaian mewah dan memberi mereka ribuan dinar sambil berkata ”Pakaian ini menjadi milik kalian dan agihkanlah dinar-dinar ini kepada para fakir miskin di antara kalian.”
Kerana sangat ingin bersedekah, Ummu Al-Banin pun meletakkan wangnya di tempat orang-orang fakir dengan tulisan ”Saya sama sekali tidak akan iri hati kepada sesiapa pun kecuali mereka yang mempunyai kebaikan. Kerana itulah sebabnya saya benar-benar mahu bekerjasama dengannya.”
Alkisah, suatu hari Ummu al-Banin bertemu dengan Katsir, suami Izzah Binti Jamil. Lelaki itu berkata kepadanya, “Semua yang berhutang telah melunaskan hutangnya sehingga terhindar dari orang yang memberi hutang. Bagi Izzah pula, dia berlengah-lengah dan menyusahkan orang yang memberi hutang.”
Ketika bertemu dengan Izzah, Ummu Al-Banin bertanya maksud dari kata-kata Katsir. Bukannya menjawab, malah Izzah justeru meminta maaf kepadanya. “Anda perlu memberitahu saya perkara yang sebenar,” berkata Ummu al-Banin.
Izzah pun menjelaskan masalah yang dibimbangkannya. “Saya telah berjanji kepada suami saya sebuah ciuman. Dia menagih janji itu, kemudian saya berasa tidak bahagia dan tidak dapat memenuhi janji itu padanya.” Ummu Al-Banin mengatakan, “Tepatilah janjimu padanya. Biarlah saya yang menanggung dosanya.”
Tidak didedahkan sama ada nasihat itu benar-benar dilakukan oleh Izzah. Namun, kemudiannya Ummu Al-Banin menyedari kesilapannya bahawa seseorang itu tidak boleh menanggung dosa peribadi orang lain. Beliau bertaubat dan meminta ampun kepada Allah SWT. Beliau juga membebaskan empat puluh hamba kerana perkataannya.
Ummu Al-Banin menangis sehingga basah tudungnya setiap kali teringat kejadian itu. “Kalaulah lidah ini kelu ketika aku mengatakannya,” sesalnya.
Seperti abangnya, Ummu Al-Banin juga mempunyai peribadi yang tegas. Sorot matanya yang tajam membuatkan orang segan. Ummu Al-Banin menjadi contoh ketaqwaan, kedermawanan, dan keberanian melawan kebatilan.

