Penulis: Ruruh Anjar
Abu Thalhah al-Ansari adalah nama kun-yah (gelaran) bagi Zaid bin Sahl bin al-Aswas bin Haram bin Amr bin Malik bin an-Najjar al-Ansari al-Khazraji. Beliau merupakan tokoh dari kalangan Ansar. Beliau mula memeluk Islam ketika ingin berkahwin dengan Ummu Sulaim, ibu dari Anas bin Malik yang telah menjanda. Sebelum menerima lamaran Abu Thalhah, Ummu Sulaim berkata, “Sungguh aku tertarik padamu. Orang seperti anda tidak layak untuk ditolak. Tetapi, anda seorang lelaki kafir sedangkan aku seorang muslimah. Jika engkau mahu memeluk Islam, itulah mahar untukku. Aku tidak meminta selain itu.” Mendengar jawapan tersebut, Abu Thalhah pun pergi ke berhala-berhalanya yang diperbuat dari kayu dan beribadah di hadapannya. Ummu Sulaim yang melihat perbuatannya berkata, “Abu Thalhah, bukankah engkau tahu Tuhan yang kau sembah selain Allah itu berasal dari tanah?” “Ya,” jawab Abu Thalhah. Ummu Sulaim berkata, “Tidakkan engkau malu bahawa engkau menyembah potongan pohon. Sebahagian dari pohon itu kau jadikan Tuhan, sementara sebahagian yang lain kau jadikan alat untuk menguli adunan roti?” Abu Thalhah kemudian menjawab, “Siapa yang mahu mengajarkanku tentang Islam?” Ummu Sulaim berkata bahawa dialah yang akan menunjukkan Abu Thalhah cara untuk masuk agama Islam. “Engkau bersaksi bahawasanya tidak ada sembahan yang benar kecuali Allah dan Muhammad adalah utusan Allah. Pergilah ke rumahmu, hancurkan berhalamu kemudian buang,” ujar Ummu Sulaim. Abu Thalhah mengikuti kata-kata Ummu Sulaim. Kemudian mereka pun berkahwin. Pernikahan ini juga mendapat sambutan baik di kalangan kaum muslimin. Mereka berkata, “kami sama sekali tidak pernah mendengar mahar yang lebih mulia dari maharnya Ummu Sulaim. Beliau menjadikan keislaman suaminya sebagai mahar untuknya.” Sejak saat itu, Abu Thalhah menjadi orang yang sangat mencintai Islam, mencintai Rasulullah dan tidak pernah berpaling dari tuntunannya.
Peperangan
Abu Thalhah adalah salah seorang Sahabat yang ahli dalam memanah dan juga berani. Beliau termasuk dalam salah seorang dari 12 orang yang turut serta dalam Baiat Aqabah, menyertai Perang Badar dan perang-perang seterusnya. Anas bin Malik ra. mengisahkan, “Ketika Perang Hunain, Rasulullah SAW berkata, “Siapa yang berjaya membunuh musuh, untuknya barang-barang tersebut.” Ketika itu, Abu Thalhah berjaya membunuh 20 orang musuh dan barang-barang yang dibawa oleh mereka menjadi miliknya.”
Ketika Perang Uhud, barisan kaum muslimin tercerai-berai. Pertahanan mereka hancur lebur sehinggakan posisi Rasulullah begitu terbuka. Orang-orang musyrikin mengepung Nabi dari segala sisi sehingga gigi seri baginda patah, dahi baginda berdarah, bibir terluka dan darah mengalir di wajah baginda. Melihat keadaan itu, Abu Thalhah dengan segera berdiri di hadapan Rasulullah dan menjadi bentang baginda. Abu Thalhah mengarahkan anak panahnya sehingga satu-persatu terkena orang-orang musyrikin. Beliau melakukan perkara tersebut sehingga tiga busurnya patah. Beliau juga berjaya membunuh ramai musyrikin. Dari Anas bin Malik berkata, “Abu Thalhah berada di depan Rasulullah di dalam perang, sambil berkata, نفسي لنفسك الفداء *** ووجهي لوجهك الوفاء “Diriku ini menjadi tebusan untukmu. Wajahku adalah perisai wajahmu.” Kemudian, beliau menyasarkan anak panahnya ke arah kafir musyrikin. Nabi berkata, “Sungguh suara Abu Thalhah dalam pasukan lebih baik dari 100 orang.” Diriwayatkan Humaid dari Anas, dia berkata, “Abu Thalhah berada di hadapan Rasulullah. Ketika itu, Rasulullah mengeluarkan kepalanya dari belakang Abu Thalhah untuk melihat bidikan panah. Kemudian Abu Thalhah mengangkat dadanya agar posisinya lebih tinggi supaya dapat melindungi Rasulullah. Dia berkata, “leherku menjadi perisai untuk lehermu, ya Rasulullah.”
Baihara
Selain itu, Abu Thalhah terkenal sebagai seorang yang dermawan baik dalam keadaan susah ataupun senang. Abu Thalhah memiliki kebun kurma dan anggur dan tidak ada di kawasan Madinah, kebun yang lebih luas, lebih banyak pohonnya, lebih bagus kualiti buah dan airnya melebihi kebun Abu Thalhah. Suatu ketika, di saat Abu Thalhah sedang solat di kebunnya, beliau melihat ada seekor burung berwarna hijau dan paruhnya berwarna merah. Beliau terkesima melihat burung itu sehinggakan beliau terlupa rakaat solatnya. Seusai solat, beliau menemui Rasulullah kemudian menceritakan perihal burung itu dengan bermaksud untuk mensedekahkan kebunnya disebabkan kerana beliau tidak khusyuk solat kerana keindahan pemandangan di kebunnya. Kemudian beliau berkata, “Wahai Rasulullah, aku bersaksi, kupersembahkan kebun ini sebagai sedekah di jalan Allah. Gunakanlah kebun itu sesuai apa yang Allah dan Rasul-Nya cintai.” Dalam Shahihain dari Anas bin Malik, tatkala turun firman Allah, لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ “Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai.” [TMQ Ali Imran (3): 92]
Abu Thalhah berkata kepada Rasulullah, “Sesungguhnya hartaku yang paling aku cintai adalah Baihara, dan kupersembahkan ia sebagai sedekah. Aku berharap kebaikannya dan simpanan (di akhirat).” Nabi SAW bersabda, بخ بخ ذاك مال رابح “Wah.. wah.. Ini benar-benar harta yang menguntungkan.” Kemudian Rasulullah berkata, “Inilah harta yang diberkati. Aku telah mendengar apa yang kau ucapkan dan aku menerimanya. Aku kembalikan lagi kepadamu dan berikanlah ia kepada kerabat-kerabat terdekatmu.” Rasulullah menyarankan agar harta itu dibahagikan kepada keluarga Abu Thalhah, iaitu sanak-saudara terdekat yang lebih memerlukan. Kemudian barulah diberikan kepada orang-orang lain di kalangan kaum muslimin. Abu Thalhah juga memberikan sebahagian kepada Rasulullah. Kemudian Baginda mengagihkan bahagiannya kepada seorang penyair, Hassan bin Tsabit al-Ansari serta sejumlah Sahabat yang memerlukan. Antaranya, Zaid bin Tsabit dan Ubay bin Ka’ab.
Menghidangkan Makanan
Dalam Riwayat al-Bukhari dari Ishaq bin Abdullah bin Abu Thalhah. Abdullah mendengar Anas bin Malik menceritakan, “Abu Thalhah berkata pada Ummu Sulaim, ‘Aku mendengar suara Rasulullah yang begitu lirih. Aku tahu Baginda lapar. Apakah kau mempunyai sesuatu untuk dimakan? Isterinya berkata, ‘Ya.’ Lalu kukeluarkan sejumlah gandum. Kuambil penutup dari kain untuk menutupi roti. Menyelipkan sebahagiannya di bawah tanganku. Suamiku menyuruhku menemui Rasulullah. Aku pun pergi. Ternyata Rasulullah berada di masjid bersama orang-orang. Aku pun berdiri di hadapan mereka. Rasulullah berkata padaku, ‘Abu Thalhah yang menyuruhmu ke sini?’ ‘Ya,’ jawabku. Baginda berkata lagi, ‘Membawa makanan?’ ‘Ya,’ jawabku lagi. Rasulullah berkata kepada orang-orang yang bersamanya, ‘Berdirilah.’ Mereka semua pun berangkat bersamaku. Sesampainya di rumah, kukhabarkan kepada Abu Thalhah apa yang terjadi. Abu Thalhah berkata, ‘Ummu Sulaim, Rasulullah datang bersama banyak orang, padahal kita tidak memiliki makanan yang cukup untuk mereka.’ Ummu Sulaim berkata, ‘Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.’ Abu Thalhah pun menyambut kedatangan Rasulullah. Rasulullah berkata, ‘Ummu Sulaim, apa yang kau ada?’ Aku bawakan tepung. Lalu kuuli. Kemudian Rasulullah berkata mengenai makanan itu apapun yang dikehendaki Allah untuk baginda katakan. Lalu Baginda perintahkan, ‘Izinkan 10 orang (untuk makan).’ Mereka pun diberi izin. Lalu mereka makan hingga kenyang dan keluar dari rumah. Baginda berkata lagi, ‘Izinkan 10 orang lagi.’ Lalu mereka makan hingga kenyang dan keluar dari rumah. Baginda berkata lagi, ‘Izinkan 10 orang lagi.’ Lalu mereka makan hingga kenyang dan keluar dari rumah. Baginda berkata lagi, ‘Izinkan 10 orang lagi.’ Semua orang dapat makan sehingga kenyang. Jumlah mereka adalah sebanyak 80 orang.”
Sabar
Sewaktu anaknya meninggal, Abu Thalhah tidak ada di rumah. Ummu Sulaim berkata, “Jangan kalian khabarkan Abu Thalhah tentang berita ini. Biarlah aku saja yang memberitahunya.” Saat sang suami tiba di rumah, Ummu Sulaim merancang untuk mengalih sebentar perhatian suaminya dengan menjamu beliau dengan makanan. Ketika suaminya sedang makan, Ummu Sulaim berdandan dan memakai minyak wangi dengan tujuan untuk menarik perhatian sang suami sehingga keduanya berhubungan. Setelah suaminya kelihatan tenang, dia memberikan kata-kata pembuka sebelum menyampaikan berita duka. Disampaikan melalui perumpamaan yang menunjukkan kecerdasannya, “Wahai Abu Thalhah, sesungguhnya keluarga Fulan meminjam sesuatu dari keluarga Fulan. Lalu yang meminjam mengutuskan orang untuk meminta barang tersebut. Mereka malah menolak untuk mengembalikannya.” Abu Thalhah berkata, “Mereka tidak boleh berbuat seperti itu. Barang pinjaman perlu dipulangkan kepada yang punya.” Ummu Sulaim menambah, “Sesungguhnya anakmu adalah pinjaman dari Allah. Dan Allah telah mengambilnya.” Abu Thalhah mengucapkan kalimat istirja’. Peristiwa itu sampai ke pengetahuan Nabi SAW dan baginda mendoakan, “Semoga Allah memberkati malam keduanya.”
Masa Tua
Di masa Kekhalifahan Uthman bin Affan, kaum muslimin mempersiapkan Angkatan Laut. Abu Thalhah turut mengambil bahagian untuk berangkat. Lalu anaknya berkata,
يرحمك الله يا أبانا، لقد صرت شيخًا كبيرًا، وقد غزوت مع رسول الله وأبي بكر وعمر، فهلا رَكَنتَ إلى الراحة، وتركتنا نغزوا عنك
“Semoga Allah merahmatimu, Ayah. Sekarang engkau sudah sangat tua. Engkau telah berperang bersama Rasulullah, Abu Bakar dan Umar. Sekiranya engkau mahu beristirehat, dan engkau biarkan kami saja yang berangkat menggantikanmu.” Abu Thalhah menolaknya dengan mengutip firman Allah, انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالاً “Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan mahupun berat.” [TMQ At-Taubah (9): 41]
Beliau tetap bertegas untuk turut serta bersama-sama mereka. Semangat Abu Thalhah, ketawadukannya, kesabaran, kedermawanan, ketaatan dan pembelaannya terhadap agama Allah terus mengakar sehingga ke akhir hayat. Memberikan inspirasi keistiqamahan untuk mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih dari segala-galanya. Wallahualam.

