Site icon MuslimahHTM News

Khalifah Umar bin Khattab ra. Sentiasa Mengutamakan Kepentingan Rakyat

Penulis: Nabila Ummu Anas

Umar bin Khattab ra. memiliki keperibadian yang sederhana, tidak membezakan seseorang berdasarkan kedudukan, sentiasa tegas dalam menegakkan syariat Islam dan bersikap tegas terhadap musuh Islam.

Sebagai khalifah, pemimpin umat Islam, Umar bin Khattab ra. sentiasa memberikan perhatian yang besar kepada rakyat yang dipimpinnya, baik yang muslim mahupun non-muslim. Umar berusaha secara langsung untuk mengetahui pelbagai masalah yang dihadapi oleh rakyat Daulah Islam.

Amirul mukminin sentiasa meluangkan masa mengelilingi wilayah untuk melihat dan jika perlu segera campur tangan memberikan bantuan kepada penduduk yang sedang mengeluh atau ditimpa kesusahan. Umar bin Khattab ra. berpegang kepada kata-katanya, “Jika dia sendiri tidak merasakan apa yang dirasakan orang lain, mana mungkin dirinya boleh mengetahuinya.”

Tidak Ada Hak Istimewa bagi Keluarga Khalifah

Tanggungjawab kepimpinan yang sangat besar dimiliki oleh Khalifah Umar bin Khattab ra.. Maka wajar Umar bin Khattab ra. dikenali sebagai Khalifah yang sangat dekat dengan rakyatnya.

Di mana ada rakyat yang sengsara, di situ ada Khalifah Umar ra. hadir untuk mengeluarkannya dari kesengsaraan. Para sahabat sangat mengagumi apa yang dilakukan oleh Khalifah Umar bin Khattab ra..

Umar bin Khattab ra. menyantuni keluarganya dan rakyat mengikut bahagiannya masing-masing. Tidak ada hak istimewa bagi keluarga khalifah. Suatu hari, Umar bin Khattab ra. berkunjung ke tempat anaknya, Abdullah bin Umar ra.. Abdullah ra. waktu itu sedang makan daging. Umar ra. berkata kepada anaknya, “Wahai Abdullah, adakah kerana engkau anak amirul mukminin sehingga engkau makan daging sedangkan rakyat sedang kelaparan? Tidak cukupkah roti dan minyak?”

Umar bin Khattab ra. tidak mahu jawatannya sebagai khalifah dimanfaatkan oleh keluarganya sebagai kesempatan untuk mendapatkan segala yang mereka inginkan.

Ketika Madinah mendapat bantuan dari beberapa daerah, Hafshah binti Umar bin Khattab ra. meminta bahagian sambil berkata, “Wahai Khalifah, hak keluargamu ada di dalam harta ini, Allah telah mewasiatkannya.”

Umar ra. menjawab, “Hafshah anakku, hak keluargaku adalah yang ada pada hartaku, sedangkan ini bukanlah hartaku, melainkan hak kaum muslimin, pulanglah!”

Khalifah Takut Mengambil Apa yang Bukan Haknya

Suatu hari, ada seorang tetamu yang berkunjung ke tempat Umar bin Khattab ra.. Setelah duduk, Amirul mukminin bertanyakan tujuan kedatangannya, “Wahai Fulan, engkau menemuiku untuk berbicara denganku sebagai Umar atau aku sebagai Khalifah?” Tetamu itu pun menjawab, “Aku datang untuk berbicara denganmu sebagai Umar.” Umar ra. kemudian segera mematikan lampunya. Sudah tentu tetamu bingung melihat lampu dimatikan sambil bertanya, “Mengapa lampu dimatikan, bukankah hari gelap?”

“Minyak pelita ini berasal dari negara, harta rakyat kerana itu aku matikan sebab sekarang aku sedang menjadi Umar, bukan sebagai Khalifah,” jawab Amirul mukminin.

Salah seorang wali pada zaman Khalifah Umar bin Khattab ra. pernah mengirimkan hadiah makanan kepada Khalifah. Umar ra. melihat makanan tersebut di atas meja dan bertanya asal usul makanan itu kepada utusan yang membawanya, “Makanan apakah ini?” Utusan itu pun menjelaskan, “Ini adalah kuih yang dibuat oleh penduduk negeri kami yang sengaja dikirimkan untuk Tuan dari Utbah bin Farqad.” Umar pun menjamah makanan itu, ternyata memang sedap rasanya.

Umar bertanya kembali, “Apakah semua penduduk di sana memakan ini?” Utusan menjawab, “Tidak, makanan ini hanyalah untuk orang-orang tertentu saja.” Umar kemudian menutup bekas makanan itu dan berkata kepada utusan tersebut, “Sekarang ambil makanan ini, kembalikan kepada Utbah, katakan kepadanya, ‘Umar berkata kepadamu, takutlah kepada Allah, kenyangkan dahulu kaum muslimin di negerimu dengan apa yang membuat engkau juga kenyang!’

Kehadiran Khalifah di Tengah-tengah rakyat

Pada suatu petang, beberapa pedagang tiba di Madinah dan mendirikan khemah di atas bukit yang tinggi. Umar hendak mengajak salah seorang sahabatnya, Abdurrahman bin Auf untuk mengunjungi mereka. Abdurrahman bertanya kepada Umar, “Wahai Amirul mukminin, mengapa engkau memaksa dirimu pergi ke sana pada waktu malam begini? Bukankah sekarang masanya untuk dirimu untuk beristirehat?”

Pertanyaan ini dijawab oleh Khalifah Umar bin Khattab ra. dengan tegasnya, “Apa yang engkau katakan benar, tetapi kepercayaan umat kepadaku merupakan beban di atas bahuku. Aku keluar untuk melihat dan mengetahui sendiri keadaan mereka yang sedarah denganku.”

Pergilah Khalifah Umar bin Khattab ra. bersama Abdurrahman bin Auf ra. mengunjungi mereka. Mereka berdua duduk berhampiran khemah para kafilah dagang tersebut. Khalifah Umar mengajak Abdurrahman bin Auf untuk tidak tidur demi menjaga mereka.

Ini realiti, bukan legenda. Seorang khalifah sangat dirasakan kehadirannya di tengah-tengah masyarakat, bukan hanya sosoknya, tetapi tanggungjawab dan keadilan keputusan pemimpin yang boleh menenangkan rakyat.

Seorang ketua negara yang takut kepada Allah dan lebih mementingkan permasalahan rakyat daripada diri dan keluarganya. Pemimpin seperti ini hanya ada dalam tatanan kehidupan yang diredhai Allah SWT iaitu Khilafah Islamiyah.

Exit mobile version