Penulis: Yuana Ryan Tresna
Pemerintah melalui pelbagai kementerian, termasuk Kementerian Agama (Kemenag), sedang berkempen untuk moderasi beragama dan kontra-naratif radikalisme. Salah satu bentuk kempen tersebut ialah dengan membina pusat pengajian agama di pelbagai kampus.
Pemerintah mentakrifkan radikalisme sebagai usaha yang dilakukan oleh individu atau kumpulan melalui perubahan radikal hingga ke akar dengan cara kekerasan. Masih menurut pandangan Kementerian Agama, kumpulan itu mahu mengubah asas Pancasila dengan Khilafah. Oleh itu, pemerintah melakukan usaha deradikalisasi secara sistematik, besar-besaran, tersusun, dan boleh diukur.
Namun, gagasan ini secara faktanya lebih menjurus kepada Islam dan umatnya. Umat Islam dan ajarannya menjadi sasaran utama program moderasi beragama ini. Kemudian dibuat hujah-hujah bahawa moderasi adalah selaras dengan Islam. Tulisan ini bertujuan untuk mengkritik hujah bahawa moderasi beragama mempunyai akar normatif dalam Islam.
Sikap Curiga
Moderasi beragama ialah kecurigaan terhadap agama sebagai punca konflik. Agama dianggap sebagai permulaan kepada kemunculan ekstremisme dan radikalisme. Oleh itu, adalah wajib untuk melakukan deradikalisasi.
Bagi para penggagasnya, moderasi ialah jalan tengah. Menurut mereka, ia sesuai dengan inti ajaran Islam yang sesuai dengan fitrah manusia. Oleh itu, umat Islam digelar ummat[an] wasath[an]. Sedangkan, menuduh agama sebagai satu-satunya punca konflik merupakan sebuah kesalahan.
Moderasi beragama yang ditujukan kepada Islam juga merupakan sikap kalah para penggagasnya. Apa yang dikatakan oleh Menteri Agama suatu ketika dahulu bahawa banyak fiqh dan hukum Islam yang tidak sesuai dengan perkembangan zaman ialah suatu bentuk “inferior” dari segi intelektual di hadapan agama lain.[1]
Kempen moderasi beragama hakikatnya merupakan satu usaha agar Islam tidak muncul sebagai kekuatan nyata dalam memberikan penyelesaian kepada semua masalah umat manusia. Ia juga tidak membezakan penyesuaian Islam dengan perkembangan zaman dalam menghukum fakta yang ada dengan ketundukkan fiqh Islam kepada fakta.
Rupanya yang selama ini dikempenkan ialah yang kedua, iaitu bagaimana menjadikan fiqh Islam tidak berdaya sebagai jalan penyelesaian. Fiqh Islam dipaksa tunduk kepada realiti yang rosak.
Penting untuk kita melihat ungkapan Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani rahimahullahu dalam kitabnya. Beliau menegaskan bahawa amalan fiqh Islam yang betul akan menjadi kunci kepada kebangkitan dan kebaikan. Beliau menyampaikan,
فَلَوْ أَنَّ الْمُسْلِمِين ( الْيَوْم ) عَمِلُوْا بِأَحْكَامِ الْفِقْهِ وَالدِّيْنِ كَمَا كَانَ أباؤُهُمْ لَكَانُوْا أَرْقَى اْلأُمَمِ وَأَسْعَدَ النَّاس!
“Sekiranya umat Islam hari ini menerapkan hukum-hukum fiqh dan agama (Islam) sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang terdahulu, nescaya mereka akan menjadi umat yang paling terkehadapan dan paling bahagia.”[2]
Topik-topik fiqh merangkumi konsep pemerintahan/imamah, jihad dan futuhat, konsep ad-dar (darul Islam/hijrah, darul kufr/harb), ghanimah, fai’, jizyah, kharaj, dan lain-lain. Namun hari ini, topik-topik tersebut belum mendapat tempat, bahkan dicurigai. Selain itu, sikap rendah diri sebilangan intelektual muslim telah membawa kepada gagasan moderasi beragama yang banyak ditujukan kepada Islam. Fiqh Islam dianggap sebagai inspirasi kepada lahirnya radikalisme dan ekstremisme.
Menguji Hujah “Moderasi Islam”
Bermula dari moderasi beragama, muncul wacana moderasi Islam dan moderasi al-Quran. Sebenarnya, gagasan moderasi Islam adalah bermasalah secara istilah dan cacat secara metodologi. Lebih-lebih lagi, moderasi Islam telah menjadikan beberapa gagasan utama yang sangat berat sebelah dan mudah disalahtempatkan. Menurut mereka, umat Islam digelar ummat[an] wasath[an], iaitu umat yang serasi dan seimbang kerana mampu menggabungkan dua kutub agama terdahulu, iaitu Yahudi dan Nasrani.
Ada yang mengatakan bahawa terdapat dua ciri utama moderasi Islam, iaitu tawassuth (moderat/pertengahan) dan tasamuh (toleransi).
Pertama: Tawassuth (moderat/pertengahan).
Menurut penggagasnya, tawassuth diertikan sebagai sikap pertengahan, sederhana, tidak ekstrem kiri ataupun ekstrem kanan. Dalil yang biasa digunakan ialah al-Quran, Surah al-Baqarah, ayat 143. Namun begitu, banyak perkara yang mesti diluruskan dalam memahami ayat ini. Allah SWT berfirman,
وَكَذَٰلِكَ جَعَلۡنَٰكُمۡ أُمَّةٗ وَسَطٗا لِّتَكُونُواْ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيدٗاۗ
“Demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) umat yang adil supaya kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan supaya Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.” [TMQ al-Baqarah (2): 143].
Sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan ummat[an] wasath[an]? Bagaimana pula kedudukan sebenarnya?
Dalam khazanah Islam klasik, terdapat banyak pendapat dari ulama yang membawa kepada pengertian wasathiyah (bahagian pertengahan). Hal itu dapat kita temui dalam pendapat Ibnu Asyur, al-Asfahani, Wahbah az-Zuhaili, at-Thabari, Ibnu Kathir dan sebagainya. Jadi apakah yang dimaksudkan dengan pertengahan?
Dalam menafsirkan sesuatu perkataan, Imam at-Thabari sering melakukannya berdasarkan riwayat. Terdapat 13 riwayat yang menunjukkan kata al-wasath yang bermakna al-‘adl. Sebab, hanya orang-orang yang adil sahaja yang boleh bersikap seimbang dan boleh digelar sebagai orang pilihan. Riwayat tersebut ialah,
عَنْ أَبِي سَعِيْدٍ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ في قَوْلِهِ وَكَذَالِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا قَال: عُدُوْلًا
“Dari Abi Sa’id al-Khudri RA, dari Nabi SAW bersabda, “Demikianlah Kami jadikan kamu umat yang wasath[an].’ Beliau berkata, ‘(Maknanya itu) adil.’” [HR al-Bukhari, at-Tirmidzi, dan Ahmad].
Selain bermakna adil, ummat[an] wasath[an] juga bermakna umat pilihan.[3[ Syeikh ’Atha bin Khalil menjelaskan bahawa Allah SWT menjadikan umat Muhammad SAW sebagai umat yang adil di antara umat-umat untuk menjadi saksi atas umat manusia. Allah SWT menjadikan umat ini dengan sifat (al-ummah al-wasath), iaitu umat yang adil untuk menjadi saksi atas manusia. Keadilan merupakan syarat utama untuk bersaksi.
Al-Wasath dalam perkataan orang-orang Arab berkonotasi al-khiyâr (pilihan) dan orang terpilih dari umat manusia ialah mereka yang adil.[4]
Berdasarkan pemahaman ini, sering dipersoalkan mengapa Allah lebih memilih menggunakan perkataan “al-wasath” daripada perkataan “al-khiyar”? Terdapat sekurang-kurangnya dua sebab untuk jawapan mengenai hal ini:
- Allah menggunakan perkataan al-wasath kerana Allah akan menjadikan umat Islam sebagai saksi atas (perbuatan) umat yang lain. Kedudukan saksi semestinya berada di tengah-tengah supaya dapat melihat dari kedua-dua sisi secara seimbang. Lain halnya jika dia hanya berada di satu sisi, maka dia tidak boleh memberikan penilaian dengan baik.
- Penggunaan perkataan al-wasath mempunyai petunjuk (indication) yang menunjukkan identiti sebenar umat Islam, iaitu mereka yang terbaik. Sebab, mereka berada di tengah-tengah, tidak berlebih-lebihan dan tidak mengurangi baik dari segi aqidah, ibadah, mahupun muamalah.
Maka dapat disimpulkan bahawa frasa ummat[an] wasath[an] bermakna umat pilihan dan adil (khiyar[an] ’udul[an]), iaitu umat yang adil dengan menegakkan ajaran Islam, bukan umat yang menegakkan kezaliman dengan menyalahi ajaran Islam. Begitu juga, mentafsirkan ummat[an] wasath[an] dengan sikap moderat (pertengahan) antara benar dan salah merupakan penyesatan.
Kedua: Tasamuh (toleransi).
Tasâmuh dimaknakan oleh penggagasnya dengan menghormati perbezaan serta menghormati orang yang mempunyai prinsip hidup yang tidak sama, tetapi itu bukan bermakna mengakui atau membenarkan kepercayaan yang berbeza tersebut dalam meneguhkan apa yang mereka percaya.
Merujuk kepada definisi tersebut, sebenarnya sikap toleransi ini bukanlah bebas tanpa batasan. Perlu ada had, prinsip dan kaedah yang jelas supaya tidak liar dan disalahgunakan.
Tasâmuh wujud semata-mata dalam merespon perbezaan (ikhtilaf) fiqh dalam kalangan ulama muktabar (yang berautoriti). Di mana pun terdapat perbezaan pendapat yang dikategorikan sebagai ikhtilaf dan yang tidak ada kaedah dan prinsipnya. Mana-mana ikhtilaf yang muktabar dan yang tidak dianggap/tidak diterima, juga ada kaedah dan prinsipnya.
Sementara dalam masalah keyakinan (aqidah) dan hukum syariah yang bersifat pasti (qath’ie) tidak boleh membina sikap tasamuh, termasuk tidak boleh bertoleransi dengan kemungkaran. Hal itu dijelaskan dalam banyak hadis Nabi SAW berkaitan dengan perintah mengubah kemungkaran.
Allah SWT berfirman,
فَقُولَا لَهُۥ قَوۡلٗا لَّيِّنٗا لَّعَلَّهُۥ يَتَذَكَّرُ أَوۡ يَخۡشَىٰ ٤٤
“Berbicaralah kamu berdua (Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS) kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut dan mudah-mudahan dia ingat dan takut.” [TMQ Taha (20): 44].
Ayat ini membicarakan tentang perintah Allah SWT kepada Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS untuk berkata dan bersikap baik kepada Firaun, bukan untuk mengakui prinsip atau keyakinan Firaun. Ini semata-mata berkaitan dengan cara penyampaian dakwah yang baik dan tepat sasaran.
Al-Hafiz Ibnu Kathir ketika menghuraikan ayat ini berkata, “Sesungguhnya dakwah Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS kepada Firaun ialah dengan menggunakan perkataan yang penuh belas kasih, lembut, mudah, dan ramah. Hal itu dilakukan supaya lebih menyentuh hati, lebih dapat diterima dan lebih berfaedah.”[5]
Perkara yang dibawa oleh Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS ialah ayat-ayat Allah; mereka membawa hujah, bukti, dan mukjizat-Nya [TMQ Taha (20): 42]. Sebab Firaun telah melampaui batas, iaitu membangkang, berlaku sewenang-wenangnya, dan derhaka kepada Allah [TMQ Taha (20): 43].
Bukan Tajdid, tetapi Taghrib
Lanjutan dari moderasi Islam ialah usaha mengkaji semula ajaran Islam yang dianggap “radikal” dan mentafsirkannya dengan tafsiran baharu untuk menjadikan Islam sebagai agama yang moderat. Ayat-ayat jihad dan qisas ditafsir semula; ajaran Khilafah dikaji semula; Islam mesti menjadi agama “damai” yang menjadi perantara antara Timur dan Barat. Padahal, ia jauh dari prinsip wasathiyah umat Islam. “Ummat[an] wasatha[n]” ialah umat yang adil, bukan umat yang goyah tanpa prinsip.
Apa yang mereka lakukan sehingga hari ini, termasuk penyemakan pelajaran Agama Islam di Madrasah, merupakan satu bentuk liberalisasi dengan cover moderasi. Malah, lebih jauh lagi ia merupakan satu bentuk taghrib (pembaratan) bahkan sekularisasi ajaran Islam.
Perkataan “jadid” itu sendiri sering digunakan di dalam al-Quran dan Sunnah. Ia juga sering digunakan oleh ulama. “Tajdid” menurut bahasa, maknanya berkisar tentang ‘menghidupkan (al-ihya), membangkitkan (al-ba’ath), dan mengembalikan (al-i’adah)’. Makna-makna ini memberikan gambaran tentang tiga unsur, iaitu kewujudan sesuatu, kemudian musnah atau hilang, kemudian dihidupkan dan dikembalikan.[6]
Seorang ulama salaf, Sahal as-Su’luqi (w. 389 H), berkata, “Allah mengembalikan agama ini sesudah terhapus sebahagian daripadanya, melalui Ahmad bin Hanbal, Abu Hasan al-Asy’ari dan Abi Nu’aim al-Istirabazi.”[7]
Oleh itu, menurut beliau, istilah yang tepat ialah “tajdid al-fikr al-islami”. Sebab, yang diperbaharui ialah pemahaman, pemikiran, metod pengajaran, dan pengamalan ajaran agama tersebut.
Menurut Imam Ahmad bin Hanbal istilah yang tepat ialah “ta’lim ad-din” bukannya “tajdid ad-din”. Ini berdasarkan Hadis Nabi SAW, “Sesungguhnya Allah SWT mengutus pada setiap akhir abad, seorang yang mengajarkan agamanya.” [HR Abu Bakar al-Barraz][8]
Terdapat hadis Nabi SAW yang menerangkan kaitan antara ijtihad dan tajdid. Ketika itu Nabi SAW mengutus Muaz bin Jabal ke Yaman. Nabi SAW bertanya kepada Muaz, “Dengan apakah engkau menghukumi sesuatu?” Beliau menjawab, “Dengan al-Quran.” Kemudian Nabi SAW bertanya lagi, “Jika engkau tidak temui?” Beliau menjawab, “Dengan al-Hadis.” Kemudian Nabi SAW bertanya lagi, “Jika engkau tidak temui?” Beliau menjawab, “Aku berijtihad dengan pendapatku.” [HR Abu Dawud, ad-Darimi, Ahmad dan al-Baihaqi].
Jadi ijtihad merupakan sarana untuk melakukan tajdid, iaitu menyelesaikan masalah baru yang belum ada pada zaman Nabi Muhammad SAW, tetapi tetap berlandaskan sumber hukum Islam.
Tajdid ialah menghidupkan kembali apa yang telah dilupakan/ditinggalkan daripada ajaran-ajaran agama demi mereformasi kehidupan umat Islam secara umum ke arah yang lebih baik. Jadi, tajdid merupakan usaha mengembalikan umat kepada Islam yang berpegang pada al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW sesuai dengan kefahaman ulama salafus soleh dari kalangan para Sahabat, tabiin, dan orang yang mengikuti jejak langkah mereka dalam beragama.
Dengan demikian, tajdid dalam Islam bukanlah bermaksud membuat Islam yang baru, tetapi mengembalikan Islam kepada masa Rasulullah SAW dan Khulafa’ ar-Rasyidin berdasarkan sumber-sumbernya.
Penutup
Dengan memahami bahawa frasa ummat[an] wasath[an] bermaksud umat pilihan dan adil (khiyar[an] ’udul[an])’, maka gagasan moderasi Islam tidak mendapat tempat sama sekali. Umat yang adil ialah umat yang menegakkan ajaran Islam, bukan umat yang menegakkan kezaliman dengan menyalahi ajaran Islam.
Dengan demikian, menafsirkan ummat[an] wasath[an] dengan sikap moderat (pertengahan) antara benar dan salah merupakan satu penyesatan. Lebih-lebih lagi moderasi Islam telah menjadikan beberapa gagasan utama yang sangat berat sebelah dan mudah disalahtempatkan.
Islam tidak menafikan adanya inovasi, kreativiti, dan dinamika dalam memikirkan masalah-masalah yang mungkin berubah (mutaghayyirat), tetapi tidak dalam perkara-perkara yang bersifat tetap (thawabit).
Tajdid dalam Islam bukan bermaksud membuat Islam yang baru, tetapi mengembalikan Islam kepada masa Rasulullah SAW dan Khulafa’ ar-Rasyidin berdasarkan sumber hukum Islam. Tajdid juga bukan moderasi (baca: liberalisasi) Islam, kerana sebenarnya ia merupakan satu bentuk taghrib (pembaratan) bahkan sekularisasi ajaran Islam. Wallahu a’lam.

