Site icon MuslimahHTM News

[Fikrul Islam] Beriman kepada Al-Qadar (Bahagian 1)

Penulis: Muhammad Husain Abdullah

Al-qadar secara bahasa mempunyai beberapa makna, di antaranya ialah qaddara al-amra, yang bermakna dabbarahu (mengaturnya). Juga bermakna qaddara al-syaia bi al-syaiy, yang bermaksud qasahu (menganalogikannya). Erti lain baginya ialah qaddara rizqahu yang berarti dhayyaqa ‘alaihi rizqahu (mempersempit rezekinya), yakni ja’alahu qaliilan (menjadikan sedikit).

Secara istilah, al-qadar ialah ketetapan Allah atas segala sesuatu pada zaman azali. Dengan kata lain bahawa Allah telah menetapkan segala sesuatu yang akan terjadi—baik perbuatan mahupun bukan—sebelum Allah menciptakan semuanya. Allah SWT berfirman,

فَاَنْجَيْنٰهُ وَاَهْلَهٗٓ اِلَّا امْرَاَتَهٗ قَدَّرْنٰهَا مِنَ الْغٰبِرِيْن

“Maka kami menyelamatkannya dan keluarganya, kecuali isterinya. Kami sudah menentukannya dari golongan yang tinggal (dibinasakan).” [TMQ an-Naml (27): 57].

Maksudnya, “Kami telah menuliskan perkara itu dan menetapkannya sejak zaman azali.” Dan dalam firman-Nya,

قُلْ لَّنْ يُّصِيْبَنَآ اِلَّا مَا كَتَبَ اللّٰهُ لَنَاۚ

“Katakanlah, “Sekali-kali tidak akan menimpa kepada kami kecuali apa yang telah dituliskan bagi kami.’” [TMQ at-Taubah (9): 51]

Maksudnya, segala sesuatu yang telah ditetapkan bagi kami sejak azali sebelum kami diciptakan. Dan dalam firman-Nya,

آ اَصَابَ مِنْ مُّصِيْبَةٍ فِى الْاَرْضِ وَلَا فِيْٓ اَنْفُسِكُمْ اِلَّا فِيْ كِتٰبٍ مِّنْ قَبْلِ اَنْ نَّبْرَاَهَاۗ  اِنَّ ذٰلِكَ عَلَى اللّٰهِ يَسِيْرٌۖ

“Tidaklah sebuah musibah yang menimpa bumi dan tidak (pula) pada dirimu, melainkan (tertulis) dalam kitab sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu di sisi Allah ialah sangat mudah.” [TMQ al-Hadid (57): 22]

Maksudnya, tiada suatu bencana yang menimpa bumi dan diri manusia, kecuali telah tertulis dalam kitab Lauhulmahfuz yang juga bermaksud bahawa sesungguhnya Allah mengetahuinya sebelum menciptakannya. Ini merupakan al-qadar yang wajib kita beriman dengannya, di mana baik atau buruknya berasal dari Allah, sebagaimana yang disebut dalam hadis yang mulia, iaitu …وَتُؤْمِنُ بِالْقَدْرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ، قَلَ : صَدَقْتَ “…dan engkau beriman kepada al-qadar, baik dan buruknya. Kemudian (malaikat) mengatakan, “Anda benar.”

Ketika kita membahas mengenai masalah qadha’ dan qadar (kadar), maka kami harus menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan qadha’ dan qadar (kadar) ialah perbuatan manusia dan khasiat pelbagai benda. Sebab masalah yang dibahas ialah perbuatan-perbuatan manusia dan perkara-perkara yang lahir (al-mutawallid) dari perbuatan tersebut, iaitu pelbagai khasiat yang terdapat pada sesuatu yang digunakan oleh manusia; adakah semua itu (perbuatan dan khasiat) diciptakan dan diadakan oleh Allah? Atau diciptakan oleh manusia?

Masalah ini telah menjadi perdebatan yang panjang, di antara pelbagai kelompok umat Islam, seperti Muktazilah, Jabariah, dan Ahlussunah dalam kurun waktu yang lama tanpa menghasilkan jawapan yang memuaskan.

Sebelum masuk kepada pembahasan qadha’ dan qadar, saya akan menjelaskan makna-makna kata “qadha’” terlebih dahulu.

Dalam bahasa dinyatakan qadhaa-yaqdhii-qadhaa-an al-syaya, iaitu membuatnya dengan suatu aturan dan kemampuan. Juga dikatakan qadha bain al-khushumain, iaitu mengadili dan menyelesaikan persengketaan kedua-dua belah pihak yang bersengketa. Juga dinyatakan al-amra amdhaahu, iaitu melaksanakan sesuatu. Kata “qadha’ ” telah tercantum pada beberapa ayat al-Quran dalam pelbagai konteks.

Firman Allah SWT, بَدِيْعُ السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضِۗ وَاِذَا قَضٰٓى اَمْرًا فَاِنَّمَا يَقُوْلُ لَهٗ كُنْ فَيَكُوْنُ

“…apabila Dia telah menetapkan (qadha) sesuatu urusan, maka Dia hanya mengatakan kepadanya, ‘Jadilah’, lalu jadilah ia.” [TMQ al Baqarah(2): 117]

Maksudnya, ketika telah menetapkan perkara. Dan dalam firman-Nya,

هُوَ الَّذِيْ خَلَقَكُمْ مِّنْ طِيْنٍ ثُمَّ قَضٰٓى اَجَلًا

“Dia yang menciptakan kamu dari tanah, sesudah itu Dia menentukan (qada) ajal…” [TMQ  al-An’am (6): 2]

Maksudnya, Allah telah menjadikan ajal bagi makhluk yang telah diciptakan-Nya dari tanah.

Dan dalam firman-Nya, وَقَضٰى رَبُّكَ اَلَّا تَعْبُدُوْٓا اِلَّآ اِيَّاهُ…

 “Dan Tuhanmu menetapkan bahawa janganlah kamu menyembah melainkan kepada-Nya…” [TMQ al-Israa (17): 23].

Maksudnya ialah memerintahkan suatu perkara yang pasti (qath’ie). Allah SWT berfirman,

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَّلَا مُؤْمِنَةٍ اِذَا قَضَى اللّٰهُ وَرَسُوْلُهٗٓ اَمْرًا اَنْ يَّكُوْنَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ اَمْرِهِمْ…

“Tidak layak bagi seorang lelaki yang beriman dan wanita yang beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan (qadha) suatu perkara, malah ada pilihan lain dalam urusan mereka…” [TMQ al-Ahzab (33): 36]

Maksudnya ialah memerintahkan dengan suatu perintah dan menghukumi dengan suatu hukum. Allah SWT berfirman,

, فَقَضٰىهُنَّ سَبْعَ سَمٰوٰتٍ… “Maka Dia jadikan (qadha) tujuh langit…” [TMQ Fussilat (41): 12]

Maksudnya ialah Allah menjadikan langit sebanyak tujuh langit. Dan dalam firman-Nya,

…وَلٰكِنْ لِّيَقْضِيَ اللهُ اَمْرًا كَانَ مَفْعُوْلًا…

“…supaya Allah menentukan (yaqdhiya) suatu urusan yang mesti terlaksana… [TMQ al-Anfal (8): 42].

Maksudnya, untuk menetapkan suatu urusan yang wajib untuk dilakukan. Allah SWT berfirman, …وَقُضِيَ الْاَمْرُ… “…dan diputuskan (qudhiya) perkaranya…” [TMQ al-Baqarah(2): 210].

Maksudnya, telah menyempurnakan suatu perkara. Allah SWT berfirman, … وَكَانَ اَمْرًا مَّقْضِيًّا “…dan adalah urusan itu telah ditetapkan.” [TMQ Maryam (19): 21].

Maksudnya, urusan itu telah ditetapkan oleh Allah, dan hukumnya telah ditetapkan dengan adanya perkara tersebut, iaitu perbuatan yang terjadi diluar kemahuanmu (memaksamu), kerana perkara itu sebahagian dari qadha’ Allah. Selain itu masih banyak ayat lain juga.

Atas dasar itu, kata “qadha’ ” merupakan lafaz yang mengandungi banyak makna (musytarak), di antaranya ialah ‘membuat sesuatu berdasarkan aturan/ketetapan, menyempurnakan urusan dan menentukan sesuatu dengan ketetapan, dan menetapkan urusan, memerintahkan sesuatu urusan dan menyempurnakan urusan, menutup keberadaan sesuatu, dan lain-lain sebagaimana yang telah disebutkan pada ayat-ayat di atas.

Berdasarkan hal ini, maksud dari kata “qadha’ ” yang tercantum dalam ayat-ayat di atas, berbeza dengan masalah qadha’ dan qadar yang selama ini diperdebatkan oleh kalangan ahli ilmu kalam (mutakallimun). Ayat-ayat dan hadis-hadis di atas menceritakan tentang sifat-sifat Allah dan tentang “perbuatan” Allah. Sedangkan qadha’ dan qadar membahas tentang perbuatan hamba.

Exit mobile version