Site icon MuslimahHTM News

Israk Mikraj: Mukjizat Allah Buat Nabi Muhammad Saw

Israk dan Mikraj keduanya merupakan mukjizat. Setelah menghadapi penyeksaan fizik sejak bapa saudaranya, Abu Thalib meninggal dunia, iaitu bapa saudara yang telah banyak membelanya daripada penganiayaan dengan memanfaatkan kedudukannya yang tinggi di Mekah; setelah menderita tekanan mental sejak meninggalnya isteri tercinta, Siti Khadijah, isteri yang sangat setia yang berfungsi sebagai minyak angin bagi mengubati dan meredakan luka-luka Rasulullah saw akibat perbuatan kaum musyrikin; dan setelah menelan pahitnya kegagalan cita-cita Ketika beliau pergi ke Thaif, maka Allah hendak menghormatinya dengan sebuah perjalanan yang penuh berkah ini, yakni perjalanan Israk dan Mikraj. Dengan penghormatan ini seolah-olah Allah swt berfirman kepadanya:

“Wahai Muhammad, jika bumi terasa sempit olehmu, maka langit itu sangat luas bagimu. Jika penduduk bumi memusuhimu, maka penduduk langit menyambut baik kedatanganmu. Dan jika penduduk bumi menghinakanmu, maka kedudukanmu di sisi Allah sangatlah mulia.”

Peristiwa Israk dan Mikraj ini adalah antara satu peristiwa mukjizat yang dialami oleh Rasulullah saw. Apabila ia dikatakan sebagai mukjizat, ertinya peristiwa tersebut mengabaikan hukum alam. Menyongsang hukum alam dan tidak berlaku setiap pertanyaan dan keterangan: Bagaimana Rasulullah saw mampu menempuh jarak yang sangat jauh hanya dalam beberapa saat? Bagaimana tubuh beliau mampu menahan kekuatan udara yang kuat? Bagaimana beliau mampu menghindari daya tarikan gravity dan naik ke atas langit tanpa kenderaan? Bagaimana baginda menembusi 7 lapis langit tanpa oksigen di sana? Dan beribu-ribu lagi persoalan..Bagaimana, Mengapa…Sungguh semua persoalan ini dapat dirungkaikan sekiranya peristiwa tersebut berlaku sesuai dengan hukum alam.

Setelah kita mengetahui dan memahami bahawa peristiwa itu berlaku di luar hukum alam dan berlaku dengan kekuasaan Zat yang Maha Kuasa atas segala sesuatu, maka tidak lama kemudian persoalan-persoalan tersebut semuanya melebur dalam derasnya keimanan kepada Allah yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. Selama mukjizat tersebut berlaku di luar hukum alam dan mengabaikan hukum alam, maka mukjizat tersebut tidak mungkin dimiliki oleh nabi dan makhluk-makhluk lainnya. Namun, ianya hanya dimilik oleh Zat yang menciptakan hukum alam ini, Yang Maha Besar dan Kuasa atas segalanya. Dengan demikian, bukanlah nabi yang menciptakan serta mengada-adakannya, akan tetapi Allah lah yang mengatur dengan kekuasaannya.

Allah swt telah menjelaskan kebenaran ini di dalam kitabNya yang agung tentang dialog yang didokumentasikan oleh Al-Quran al-Karim antara kaum musyrikin di satu pihak dan para utusan Allah di pihak yang lain. Kaum musyrikin berkata kepada para rasul:

قَالُوٓا۟ إِنْ أَنتُمْ إِلَّا بَشَرٌۭ مِّثْلُنَا تُرِيدُونَ أَن تَصُدُّونَا عَمَّا كَانَ يَعْبُدُ ءَابَآؤُنَا فَأْتُونَا بِسُلْطَـٰنٍۢ مُّبِينٍۢ

“Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga. Kamu menghendaki untuk menghalang-halangi (membelokkan) kami dari apa yang selalu disembah nenek moyang kami, kerana itu datangkanlah kepada kami bukti yang nyata.” [TMQ Ibrahim (14): 10]

Yakni mukjizat yang dilihat banyak orang. Para rasul pun menjawab apa yang mereka katakan:

قَالَتْ لَهُمْ رُسُلُهُمْ إِن نَّحْنُ إِلَّا بَشَرٌۭ مِّثْلُكُمْ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ يَمُنُّ عَلَىٰ مَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ وَمَا كَانَ لَنَآ أَن نَّأْتِيَكُم بِسُلْطَـٰنٍ إِلَّا بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۚ

“Kami tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, akan tetapi Allah memberi kurnia kepada siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya. Dan tidak patut bagi kami mendatangkan suatu bukti kepada kamu melainkan dengan izin Allah..” [TMQ Ibrahim (14): 11]

Dengan demikian, ini merupakan keputusan akhir bahawa mukjizat itu bukanlah buatan para rasul, akan tetapi ia termasuk di antara ciptaan Allah swt.

(Dipetik dari: Buku Sirah Nabawiyah – Sisi Politis Perjuangan Rasulullah, Prof. Dr. Muhammad Rawwas Qal’ahji)

Hikmah:

  1. Perjalanan Israk Mikraj yang dilalui Nabi adalah perjalanan yang disertai jasadnya. Bukan dialaminya dalam mimpi.
  2. Israk Mikraj antara bukti kekuasaan Allah swt yang Maha Kuasa atas sesuatu dan merupakan satu bentuk mukjizat buat Nabi Muhammad saw.
  3. Peristiwa Israk Mikraj adalah peristiwa yang bertentangan dengan hukum alam yang menuntut sebuah keimanan bagi setiap manusia untuk mengimaninya tanpa ragu dan sangsi.
  4. Israk Mikraj adalah antara bentuk kemuliaan yang Allah swt angkat dan hadiahkan buat kekasihnya Muhammad saw setelah berhadapan dengan ujian dakwah dan kematian 2 insan kesayangan.
Exit mobile version