Site icon MuslimahHTM News

Keganasan Rumahtangga – Derita Belum Bernoktah

Keganasan rumahtangga boleh diklasifikasikan kepada 4 jenis iaitu Fizikal, Sosial, Kewangan dan Seksual. Keganasan rumahtangga bukanlah isu baru yang berlaku dalam masyarakat tetapi ia merupakan keadaan yang berlaku sejak tahun 1960 lagi. Masalah ini masih tidak dapat diselesaikan dengan sebaiknya kerana kita dapati kes ini berulang-ulang berlaku sehingga ke hari ini. Buktinya adalah Akta Keganasan Rumahtangga 1994 (Akta 521) Dan Peraturan-peraturan beserta Kanun Keseksaan (Akta 574) telah dikuatkuasakan tetapi masih tidak dapat membendung dan seterusnya menyelesaikan masalah keganasan rumahtangga. Golongan yang mendapat perlindungan dibawah akta ini adalah :
1. Isteri atau suami, bekas isteri atau bekas suami
2. Orang dewasa yang tidak berkeupayaan (Wargaemas, OKU)
3. Kanak-kanak bawah umur 18 tahun
4. Mana-mana anggota lain yang tinggal bersama.

Kebanyakan menganggap tempoh PKP ini merupakan satu peluang untuk merapatkan hubungan suami isteri dan juga anak-anak, namun sebaliknya yang berlaku. Keganasan rumahtangga berlaku sepanjang PKP dilaporkan meningkat berbanding sebelum PKP. Situasi ini menunjukkan keadaan keganasan rumahtangga di Malaysia khususnya adalah pada tahap yang teruk. Kes keganasan rumahtangga juga berlaku di luar negara dan laporan dari WHO menunjukkan 35% wanita pernah mengalami keganasaan rumahtangga ini samaada penderaan secara fizikal ataupun emosi. Statistik menunjukkan 1 dari 3 orang wanita pernah menjadi mangsa keganasan rumahtangga.

Undang-undang terkait keganasan rumahtangga telah dipinda beberapa kali sebagai penambahbaikan berikutan pelaporan keganasan rumahtangga yang berlaku ke atas wanita masih terus berlaku sehingga kini. Terdapat banyak kes yang dilaporkan di media sosial menunjukkan kes keganasan melibatkan kecederaan fizikal ke atas wanita dan terdapat juga kes keganasan sehingga menyebabkan kematian. Realiti menunjukkan bahawa masalah ini berlaku ke atas wanita tidak mengira kaum dan juga agama, kelas ekonomi dan tingkat jawatan. Keganasan terhadap kanak-kanak juga berlaku berikutan masalah rumahtangga yang juga melibatkan golongan tersebut. Kesan yang berlaku pada wanita dan kanak-kanak ini melibatkan kesan jangka pendek dan jangka panjang. Perkara ini bukan satu perkara yang boleh dipandang ringan dan perlu diberikan perhatian yang serius oleh pemerintah serta memerlukan satu penyelesaian yang tuntas.

Namun adakah penyelesaian yang diambil di negara Malaysia ini berkesan? Secara kesimpulannya walaupun telah ada garis panduan pengendalian kes keganasan rumahtangga dan penguatkuasaan undang-undang, tetap sahaja ianya tidak dapat menyelesaikan masalah ini secara menyeluruh. Penyelesaian yang diambil itu hanya bersifat merawat dan tiada tindakan mekanisme pencegahan yang efektif dilaksanakan. Malah penyelesaian yang diambil itu adalah semata-mata dari buah akal fikiran manusia dan berasal dari pemikiran orang kafir (baca CEDAW). Jelas ianya bertentangan dengan anjuran daripada Allah dalam surah Al-An’am ayat 114 dan 115:

“Maka patutkah aku mencari hakim selain daripada Allah, padahal Dialah yang telah menurunkan kitab (Al-Quran) kepadamu dengan terperinci? Orang-orang yang telah Kami datangkan kitab kepada mereka, mereka mengetahui bahwa Al-Quran itu diturunkan dari Tuhanmu dengan sebenarnya. Maka janganlah kamu sekali-kali termasuk orang yang ragu-ragu. Telah sempurnalah kalimat Tuhanmu (Al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat merubah rubah kalimat-kalimat-Nya dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”.

– Puan Syamsiyah Jamil
Pembentang E-Forum Keluarga Sejahtera Wanita Bahagia

Exit mobile version