Site icon MuslimahHTM News

NABI MENJADI IMAM PARA NABI (Bahagian 1)

Perjalanan Nabi Muhammad saw diteruskan hingga Baginda saw tiba di kota Baitul Maqdis dan memasuki kota itu dari pintu gerbang sebelah kanan. Kemudian Baginda saw turun dari Buraq dan menambatnya berdekatan pintu masjid dengan kekang yang biasa digunakan oleh nabi.

Dalam Riwayat lain, Jibril as pergi ke sebuah batu besar dan membuat lubang pada batu besar dengan jarinya dan di situlah Jibril menambat Buraq itu.

Baginda saw masuk ke dalam masjid melalui pintu yang berada di arah terbenam matahari dan bulan (sebelah barat). Kemudian Baginda saw dan Jibril as solat dua rakaat. Tidak lama kemudian, banyak manusia berkumpul di situ. Nabi saw mengetahui bahawa mereka itu ialah para nabi, dan ada di kalangan mereka yang sedang solat, rukuk dan sujud.

Kemudian, muazzin mengumandangkan azan menandakan solat akan didirikan. Maka mereka semua berbaris Menyusun saf dan menunggu imam. Jibril mencapai tangan Baginda saw yang mulia dan mempersilakannya menjadi imam. Maka, Baginda saw pun solat dua rakaat bersama mereka.

Daripada Ka’ab RA meriwayatkan: “Maka Jibril as mengumandangkan azan dan para malaikat turun dari langit. Allah memerintahkan seluruh nabi dan rasul berkumpul. Maka, Baginda saw pun menjadi imam dan solat Bersama seluruh malaikat dan para rasul. Setelah solat, Jibril as berkata, “Wahai Rasulullah! Adakah tuan mengetahui siapakah mereka yang solat di belakang mu sebentar tadi?” Baginda saw menjawab, “Mereka ialah seluruh nabi yang diutuskan Allah.”

Al Syaami menambah, dalam hadis Abu Hurairah ra yang diriwayatkan oleh Al Hakim dan beliau telah mensahihkannya, dan juga Al Baihaqi: Baginda saw bertmu ruh para nabi, lalu mereka memuji Tuhan mereka.

Nabi Ibrahim as bersabda:

“Segala puji bagi Allah yang telah mengangkatku sebagai kekasihNya, mengurniakan kepadaku kerajaan yang besar, menjadikanku umat yang soleh, diikuti oleh orang lain, menyelamatkanku dari api (Namrud) dan menjadiknannya dingin dan selamat atasku.”

Kemudian, Nabi Musa as pula memuji Tuhannya:

“Segala puji bagi Allah yang telah berbicara denganku, menjadikan kebinasaan Firaun dan keselamatan Bani Israil di tanganku, dan menjadikan dalam kalangan uamtku suatu kaum yang diberi petunjuk dengan kebenaran dan dengannya mereka berlaku adil.”

Seterusnya Nabi Daud as pula memuji Allah:

“Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku kerajaan yang besar, mengajariku kitab Zabur, membuatkan besi lembut di tangnku, menundukkan untukku gunung dan burung yang bertasbih dan memberikan daku hikmah dan kebijaksanaan membuat keputusan.”

Kemudian, Nabi Sulaiman as pula memuji Allah:

“Segala puji bagi Allah yang telah menundukkan angin, syaitan-syaitan dan manusia untukku; mereka melakukan untukku apa sahaja yang aku kehendaki seperi bangunan-bangunan yang tinggi, patung-patung*, pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam dan periuk-periuk besar yang tetap di atas tungkunya, yang telah mengajarku pertuturan burung, mengurniakanku kelebihan segala sesuatu, menundukkan untukku tentera-tentera syaitan, manusia, jin dan burung, melebihkanku atas hamba-hambaMu yang mukmin, mengurniakanku kerajaan besar yang tidak pernah diperolehi oleh orang lain selepasku, menjadikan kerajaanku aman: yang tidak ada padanya hisab dan juga balasan azab.”

*ia tidak diharamkan pada zaman Nabi Sulaiman as tetapi diharamkan di sisi syariat Nabi Muhammad saw.

Kemudian Nabi Isa ibn Maryam as pula memuji Allah dengan sabdanya:

“Segala puji bagi Allah yang telah menciptkanku hanya dengan kalimahNya, menjadikanku seperti Nabi Adam as yang diciptakan dari tanah, kemudian Allah berfirman, “Kun (jadilah)!” Maka jadilah dia, mengajarku kitab, hikmat, Taurat, Injil, menjadikanku dapat menyembuhkan orang yang buta dan sopak, menjadikan aku dapat menghidupkan orang yang telah mati dengan izin Allah, mengangkat dan mensucikanku, memeliharaku serta bondaku dari syaitan yang terkutuk. Maka, tidak ada jalan bagi syaitan untuk mengganggu kami.”

Kemudian, Baginda Nabi Muhammad saw bersabda, “Wahai para nabi! Kalian telah memuji Allah dan aku juga akan memuji Allah dengan pujianku.” Lalu, Baginda saw pun memulakan pujiannya kepada Allah dengan sabdanya:

“Segala puji bagi Allah yang telah mengutusku sebagai rahmat bagi sekalian alam dan seluruh manusia, sebagai pemberi khabar gembira dan peringatan, dan Dia telah menurunkan ke atasku Al-Quran yang mengandungi penerangan bagi setiap perkara, menjadikan umatku sebaik-baik umat yang diciptakan untuk manusia, menjadikan umatku umat yang adil, menjadikan umatku umat yang terawal (memasuki syurga) dan yang terakhi (diutuskan), melapangkn dadaku, meghapuskan daripadaku segala dosa, meninggikan namuku, dan menjadikan aku sebagai pembuka dan penutup segala nabi.”

Kemudian, Nabi Ibrahim as pun berkata kepada para nabi, “Dengan inilah, Nabi Muhammad saw melebihi kalian.”

Sumber: Buku Mukjizat Isra’ dan Mi’raj Al Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad Ibn A’lawi Al Maliki Al Hasani

Bersambung ….

 

Exit mobile version