Penulis: Kholishoh Dzikri
Imam Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan hadis dari jalur Abu Hurairah ra. bahawa Nabi SAW bersabda,
إِنَّمَا الإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ فَإِنْ أَمَرَ بِتَقْوَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ وَعَدْلٌ كَانَ لَهُ بِذَلِكَ أَجْرٌ ، وَإِنْ يَأْمُرُ بِغَيْرِهِ كَانَ عَلَيْهِ مِنْهُ [رواه البخاري ومسلم]
“Sesungguhnya seorang imam itu [laksana] perisai. Dia akan dijadikan perisai, di mana orang akan berperang di belakangnya dan digunakan sebagai perisai. Jika dia memerintahkan takwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla dan adil, dengannya dia akan mendapatkan pahala. Namun jika dia memerintahkan yang lain, dia juga akan mendapatkan dosa/azab kerananya.” (HR Bukhari dan Muslim)
Makna Hadis
Hadis di atas menggunakan lafaz “al-imam”, bukan lafaz “al-amir”. Nabi SAW memilih dan menggunakan lafaz ini bukanlah tanpa maksud. Dengan menelaah berbagai hadis yang membahas bab al-Khilafah dan al-imamah, tampak jelas bahawa Nabi SAW, para Sahabat ra. dan para tabi’in yang meriwayatkannya tidak membezakan antara lafaz “khalifah” dan “imam”. Dengan kata lain, lafaz “imam” di sini mempunyai konotasi Khalifah. Kedua-duanya mempunyai konotasi yang sama kerana ketika digunakan lafaz “imam”, maka yang dimaksudkan adalah khalifah.
Setelah Umar bin Khattab ra. diangkat menjadi khalifah menggantikan Abu Bakar As-Siddiq, para Sahabat menambahkan lafaz “amirul mukminin”. Kerana itu, para ulama kemudiannya menggunakan dan menjadikan ketiga-tiga lafaz tersebut iaitu “imam”, “khalifah” dan “amirul mukminin” sebagai satu sinonim, dengan konotasi yang sama. Imam An-Nawawi menjelaskan, “untuk seorang imam (ketua negara), boleh disebut dengan menggunakan istilah Khalifah, Imam dan Amirul Mukminin.” Penjelasan yang sama juga diberikan oleh Ibn Khaldun. Beliau menegaskan, “Ketika kami menjelaskan tentang hakikat jawatan ini dan bahawa jawatan ini merupakan pengganti dari pemilik syariat dalam menjaga agama dan mengurus dunia dengan agama, maka disebut khilafah dan imamah. Orang yang menjalankannya disebut sebagai Khalifah dan Imam.”
Berangkat dari sini, Al-‘Allamah Najîb al-Muthî’i, dalam Takmilah al-Majmû’ karya Imam an-Nawawi menegaskan, “Imamah, Khilafah dan Imaratu al-Mu’minîn itu adalah sinonim (perkataan yang berbeza, dengan konotasi yang sama).” Imam Abu Zahrah juga menjelaskan hal yang sama, bahawa imamah dan khilafah, begitu juga imam dan khalifah itu sama, “Semua mazhab politik berkisar tentang khilafah, iaitu imamah kubra. Ia disebut khilafah, kerana yang mengurus dan menjadi penguasa tertinggi bagi kaum muslim itu menggantikan Nabi SAW dalam mengurus urusan mereka. Ia juga disebut imamah, kerana khalifah biasa dipanggil dengan sebutan imam. Mentaatinya pula hukumnya adalah wajib, kerana masyarakat berjalan di belakangnya, sebagaimana orang yang berada di belakang orang yang menjadi imam solat mereka.”
Kerana itu, jelaslah bahawa yang dimaksudkan dengan imam di dalam hadis Bukhari dan Muslim di atas, tidak lain adalah khalifah. Mengapa hanya imam/khalifah yang disebut sebagai junnah (perisai)? Kerana dialah satu-satunya yang bertanggungjawab sebagai perisai sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis lain,
«الإِمَامُ رَاعٍ وَهُوَ مَسْؤُوْلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ».
“Imam/khalifah itu laksana penggembala, dan hanya dialah yang bertanggungjawab terhadap gembalaannya.” (HR Bukhari dan Muslim)
Menjadi junnah (perisai) bagi umat Islam khususnya, dan rakyat umumnya, memerlukan imam itu menjadi kuat, berani dan terdepan. Bukan orang yang pengecut dan lemah. Kekuatan ini bukan hanya pada peribadinya, tetapi juga pada institusi negaranya. Kekuatan ini dibangun atas asas keperibadian dan negaranya yang sama, iaitu akidah Islam. Inilah yang ada pada diri Nabi SAW dan para khalifah setelahnya. Sebagai contoh, peristiwa bagaimana negara melindungi seorang muslimah yang dinodai kehormatannya oleh orang Yahudi Bani Qainuqa’ di Madinah. Nabi Muhammad SAW sebagai ketua negara ketika itu, melindungi serta menyatakan perang terhadap Yahudi Bani Qainuqa’ dan mereka pun diusir dari Madinah. Perkara ini bukan hanya dilakukan oleu Rasulullah SAW, tetapi juga oleh para Khalifah sesudahnya. Harun ar-Rasyid, pada era Khilafah Abbasiyah, telah menyumbat mulut Nakfur, Raja Romawi dan memaksanya berlutut kepada Khilafah. Al-Mu’tasim, pada era Khilafah Abbasiyah juga, menyahut seruan dan jeritan seorang wanita muslimah yang kehormatannya dicabul oleh tentera Romawi. Beliau melumat habis kota Amuriah yang mengakibatkan 9000 tentera Romawi terbunuh dan 9000 lainnya menjadi tawanan. Sultan Abdul Hamid pada era Khilafah Uthmaniyyah juga melakukan perkara yang sama.
Para Khalifah tersebut telah menjadi junnah buat umat Islam. Khilafah dan para Khalifahnya sangat ditakuti oleh orang kafir kerana kekuatan akidahnya. Kerana akidah Islam inilah, mereka bersiap untuk menang dan mati syahid. Mereka berperang bukan kerana harta, tetapi kerana dorongan keimanan. Kerana keimanan inilah, rasa takut dalam hati mereka memudar. Musuh-musuh mereka juga merasakan ketakutan yang luar biasa ketika berhadapan dengan pasukan kaum muslimin. Kata Raja Romawi, “Lebih baik ditelan bumi berbanding berhadapan dengan mereka.” Sehingga tertancap di pemikiran mereka bahawa kaum muslimin itu tidak terkalahkan.
Inilah generasi umat Islam yang luar biasa. Generasi ini hanya ada dalam sistem khilafah. Bagaiman dengan penguasa hari ini? Adakah mereka layak menempati posisi sebagai junnah? Ketika muslim Ugyur dibantai di Tiongkok, umat muslim dibunuh dan diusir dari negerinya dan para wanitanya diperkosa, semua penguasa negara-negara umat Islam diam tidak bersuara. Ketika wilayah Palestin semakin menyempit kerana dirampas oleh Israel laknatullah, penguasa umat Islam justeru duduk manis berdampingan dalam berbagai rundingan damai dengan puak Yahudi. Masih banyak lagi penderitaan umat Islam di setiap ceruk dunia, tetapi penguasa umat Islam, terkunci mulutnya, langsung tidak membela saudara-saudara mereka. Bahkan mereka sendiri menghalang para pelarian memasuki negara mereka demi secebis perlindungan. Belum lagi kisah tentang rompakan sumber daya alam di negara-negara umat Islam. Penguasa dengan penuh ketundukan menyerahkan hasil bumi kepada pihak asing atas nama pelaburan demi mengkayakan mereka dan memiskinkan rakyat sendiri.
Sungguh jauh dari sikap ra’in (pelayan) bagi rakyat yang sepatutnya ada dalam diri penguasa. Pembelaan terhadap agama Islam juga hampir-hampir tidak ada. Ketika Al-Quran dan Nabi-Nya dihina, negara bahkan membela penistanya. Ketika non-muslim menyerang masjid dan membunuh jemaahnya, penyerangnya malah diundang ke istana. Ketika ada umat Islam yang menunaikan kewajipan dakwah menyerukan tegaknya syariat, mereka malah ditangkap, dituduh sesat dan radikal. Sungguh, kewujudan penguasa hari ini sangat jauh dari tuntunan hadis tersebut iaitu sebagai junnah umat Islam. Kerana itu, hanya khalifah, imam dan amirul mukminin yang akan mampu menjadi pelindung yang menjaga agama, kehormatan, darah dan harta umat Islam. Khalifah, imam dan amirul mukminin akan menjaga kesatuan, persatuan dan keutuhan setiap jengkal wilayah kaum muslimin. Khalifah, Imam dan amirul mukminin hanya akan terwujud apabila asas sistem pemerintahannya dibangun berlandaskan akidah Islam. Oleh kerana itu, hadis tersebut juga menegaskan bahawa keberadaan sistem pemerintahan Khilafah Islamiah yang akan dipimpin oleh khalifah, amir, atau amirul mukminin adalah keperluan mendesak umat hari ini agar keperluan mereka dilayani dan dilindungi jiwa serta raganya.

