Site icon MuslimahHTM News

Menjaga Kualiti Waktu

Orang yang cerdas sentiasa memahami bahawa waktu terus berjalan. Dia juga akan memaksimumkan setiap waktu yang dimiliki kerana manusia adalah lembaran-lembaran waktu yang terkumpul sehingga ditentukan ajal. Bagi pengamal kapitalisme pula, waktu adalah wang. Mereka berusaha untuk tidak melewatkan setiap waktu untuk menghasilkan wang. Bagi kaum muslimin pula, waktu ibarat pedang. Waktu akan membawa keberkatan dari Allah SWT jika digunakan dengan baik.

Saudariku, orang yang cerdas merupakan orang yang serakah dan kedekut dengan waktu. Mereka merasa tidak cukup dengan waktu yang ada. Mereka tahu bahawa mereka akan mendapatkan manifestasi kebaikan saat melakukan sesuatu kegiatan. Inilah yang membentuk karakter mereka. Para ulama tidak pernah melewatkan waktu selain beramal. Pengurusan waktu mereka sangat baik. Mereka memberikan bahagian waktu yang lebih besar pada sesuatu yang bermanfaat. Salah satunya adalah Ahmad bin Muhammad bin Hambal, salah seorang ulama besar dalam bidang hadis dan fikih yang pernah dimiliki dunia Islam. Beliau begitu tekun belajar hadis, bahasa dan administrasi. Beliau juga berguru dengan Imam Syafi’e dan mengikutinya sehingga ke Baghdad. Karya monumentalnya iaitu Musnad Ahmad ibn Hambal disusun dalam jangka waktu sekitar 60 tahun. Beliau menghimpunkan 40 ribu hadis yang dipilih dari sekitar 700 ribu hadis yang dihafalnya serta puluhan kitab karya yang telah ditorehkannya. Bahkan, hampir setiap hari ia berpuasa dan tidurnya hanya sedikit sekali di waktu malam. Beliau lebih banyak solat dan witir sehingga subuh tiba.

Para ulama salaf membahagikan waktu dengan cukup seimbang. Waktu untuk menuntut ilmu, mencari nafkah, mendakwahkannya serta tidak lupa untuk mengamalkannya. Bahkan, kebiasaan habit para ulama salafussoleh adalah, mereka hanya makan sedikit agar tidak terlalu lama waktu terbuang saat membuang hajat di kamar mandi. Hasan al-Basri pernah berkata, “Ketika Allah tidak menyukai seorang hamba, Allah akan menyibukkannya dengan perkara-perkara yang tidak bermanfaat untuk dunianya.” Sementara orang-orang yang terpilih adalah orang yang diberikan waktu, kemudian dia manfaatkannya untuk kebaikan. Mereka termasuk golongan yang mendapatkan rahmat-Nya.

Betapa luar biasa cara para ulama memanfaatkan waktu. Waktu akan menjadi berkat bagi mereka yang serakah dan kedekut dengan waktu. Mereka sentiasa memberikan kebaikan dalam setiap waktu yang dimiliki. Sudah semestinya saudariku, kita perlu menjaga kualiti waktu dalam kehidupan kita kerana salah satu perkara yang disesali oleh penduduk neraka adalah ketika di dunia, waktu mereka tidak digunakan untuk beramal soleh. Setelah dihisab di Padang Mahsyar, hanya ada dua golongan, iaitu ahli syurga dan ahli neraka. Ahli neraka menjerit ingin kembali ke dunia untuk taat menjalankan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Allah SWT berfirman, “Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan mengerjakan amal-amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan. (lalu Allah menempelak mereka): “Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan” [TMQ Faatir (35): 37]

Imam Ibnu Katsir mentafsirkan ayat di atas bahawa mereka meminta dikembalikan ke dunia untuk mengerjakan amal soleh. Namun Allah SWT telah mengetahui bahawa seadainya mereka dikembalikan lagi ke dunia, pastilah mereka akan kembali mengerjakan apa yang Allah larang. Dan sesungguhnya mereka benar-benar berdusta dalam pengakuannya itu. Sepatutnya kita memanfaatkan waktu untuk meninggalkan jejak-jejak kebaikan di dunia. Sebagaimana kata-kata Ibnu Katsir, “Orang yang binasa dan dekat dengan kerugian dapat dilihat dari cara pengelolaan waktunya yang tidak terurus.”

Kerana itu, sangat penting bagi kita untuk memiliki ilmu dalam pengurusan waktu kerana ilmu itu laksana nasihat. Dengan ilmu, seorang manusia dapat mengendalikan waktu dan mengembangkan segala potensi yang ada pada dirinya.

 

Sumber : https://www.muslimahnews.com/2021/12/03/nafsiyah-menjaga-kualitas-waktu/

Exit mobile version