Penulis: Najmah Saiidah
Perkahwinan adalah ikatan antara dua manusia yang mempunyai nilai ibadah dan merupakan amalan separuh agama. Perkahwinan akan penuh dengan limpahan pahala manakala semua aktiviti di dalamnya diniatkan semata-mata kerana Allah. Berkat melimpah ruah apabila suami isteri menjalankan tugas dan kewajipan masing-masing dengan penuh ketaatan kepada sang Khaliq Al-Mudabbir.
Kehidupan perkahwinan adalah kehidupan persahabatan antara seorang suami dengan isterinya, di mana suami adalah sahabat isterinya dan isteri adalah sahabat suaminya secara sempurna dalam seluruh aspek kehidupan. Ertinya kehidupan suami isteri adalah kehidupan yang penuh dengan ketenangan, ketenteraman, kasih sayang, dan persahabatan. Interaksi suami isteri berdasarkan prinsip ta’awun (tolong-menolong), saling mendukung, bersahabat, harmonis, menyegarkan, tidak kaku, dan formalistik.
Hanya saja, pada faktanya kehidupan suami isteri tidak selalu berjalan lancar, ada kalanya terjadi perselisihan atau perbezaan pendapat di antara keduanya yang jika tidak ditangani sesuai dengan hukum syarak boleh berakhir dengan kehancuran. Di sinilah kita perlu saling menguatkan antara satu sama lain, saling memahami, dan bersabar.
Juga yang paling penting adalah saling menjaga kemuliaan pasangan, jangan sampai ketika ada masalah dalaman dalam keluarga apa yang berlaku ialah mereka tidak saling menjaga satu sama lain. Kerana Islam, sebagai deen yang sempurna, sangat mementingkan menjaga kehormatan di antara pasangan suami isteri, sama ada dalam keadaan ‘selamat’ ataupun dalam keadaan bermasalah.
Islam Memerintahkan Menjaga Kehormatan Pasangan
Islam sangat menjaga kehormatan dan kemuliaan mahligai rumah tangga, sehingga institusi keluarga merupakan bangunan yang perlu dijaga dan diperkukuhkan bukan sahaja oleh ahli keluarga tetapi juga oleh masyarakat dan negara. Kesemua mereka mempunyai peranan penting termasuk pasangan suami isteri sebagai pelakon utama dalam pembinaan keluarga.
Sesungguhnya Allah menjodohkan pasangan lelaki dan wanita dalam rangka rumah tangga untuk menutupi kekurangan satu sama lain. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 187,
هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ
“Mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu juga adalah pakaian bagi mereka.”
Sungguh indah perumpamaan yang Allah gambarkan dalam ayat ini. Seperti pakaian, maka ia akan melindungi orang yang memakai pakaian tersebut. Pakaian akan melindunginya sehingga auratnya tidak kelihatan, juga akan melindungi dari hujan dan menghangatkan ketika sejuk serta akan meneduhkan ketika panas. Begitu juga dengan pasangan suami isteri, suami isteri akan saling menjaga kehormatan dan menutup perkara yang dilarang untuk diketahui oleh orang lain.
Menceritakan rahsia rumah tangga tidak akan menjadi pilihan seorang suami ataupun isteri apabila masalah berlaku di dalam rumah. Kedua-duanya akan menutupnya dan berusaha untuk mencari solusi bersama.
Jika suami melihat kekurangan dan aib pada isterinya, maka seboleh-bolehnya dia tidak memuntahkannya dan menceritakan kepada orang lain. Seboleh-bolehnya hanya dia yang mengetahui kekurangan dan aib isterinya.
Begitu juga dengan seorang isteri, jika dia melihat kekurangan dan aib suaminya, seboleh-bolehnya dia tidak menceritakannya kepada orang lain, bahkan kepada keluarganya sekalipun. Seboleh-bolehnya hanya dia yang mengetahui kekurangan dan aib suaminya. Ini kerana dalam Islam, menceritakan aib pasangan adalah sangat dilarang.
Diriwayatkan dari Abu Qatadah,
مَنْ قَعَدَ عَلَى فِرَاشِ مَغِيبَةٍ قَيَّضَ الله لَهُ ثُعْبَاناً يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Barangsiapa yang membicarakan aib pasangannya, Allah akan mengikatnya dengan ular besar pada hari kiamat nanti.” (HR Ahmad)
مثل الذي يجلس على فراش المغيبة مثل الذي ينهشه أسود من أساود يوم القيامة
“Perumpamaan orang yang membicarakan aib pasangannya itu seperti orang yang digigit beberapa ular hitam pada hari kiamat nanti.” (HR Thabrani)
Daripada dua hadis di atas, suami atau isteri yang sering suka membuka pintu aib pasangannya dan keburukannya akan dikejar oleh ular yang sangat mengerikan.
Tuntunan Islam
Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan kepada setiap muslim untuk menjaga kehormatan dan kemuliaan muslim yang lain, terutama suami atau isteri terhadap pasangannya. Aib orang lain saja Allah perintahkan untuk ditutup, apatah lagi aib seseorang yang menjadi atau pernah menjadi pasangan hendaklah lebih ditutup dan terjaga kemuliaannya.
Sepasang suami isteri yang soleh tentu tidak akan membuka aib pasangan kepada orang lain. Dari Abdullah bin Umar, Rasulullah saw bersabda,
الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ مَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ بِهَا كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Seorang muslim dengan muslim yang lain adalah bersaudara, dia tidak boleh berbuat zalim dan menganiaya kepada saudaranya. Barang siapa yang membantu keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Barang siapa yang membebaskan seorang muslim dari suatu kesulitan, maka Allah akan membebaskannya dari kesulitan pada hari kiamat. Dan barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat kelak.” (HR Muslim)
Dari Abu Hurairah ra. dari Nabi saw. beliau bersabda,
لَا يَسْتُرُ عَبْدٌ عَبْدًا فِي الدُّنْيَا إِلَّا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Tidaklah seorang hamba menutupi aib hamba yang lain di dunia, melainkan Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat kelak.” (HR Muslim no. 2590)
Suami isteri yang soleh akan menyimpan sebarang rahsia tentang pasangannya. Dalam diam, muhasabah diri sentiasa dilakukan. Hanya kepada Allah tempat mengadu. Hanya pada Allah memohon pertolongan.
Artikel dari: https://m.facebook.com/MuslimahNewsCom/posts/2033883356789469/

