Telah diriwayatkan bahawa Umar bin Abdul Aziz pernah mengumpulkan para penghafal Kitabullah dan para fuqaha di Syam lalu berkata, “Sesungguhnya aku mengundang kalian untuk suatu urusan kezaliman yang terjadi dalam keluargaku (yakni pada masa Khalifah Sulaiman), bagaimana pendapat kalian?” Mereka menjawab, “Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya hal itu bukanlah tanggung jawab Anda, dan dosanya ditanggung oleh orang yang merampas hak tersebut.” Namun, jawapan tersebut belum dapat memuaskan hati Umar bin Abdul Aziz. Kemudian, salah seorang di antara mereka yang tidak sependapat dengan pendapat tersebut berkata, “Undanglah Abdul Malik, wahai Amirul Mukminin, kerana beliau layak untuk Anda undang kerana ilmu, kefakihan, dan kecerdasannya.” Tatkala Abdul Malik masuk, Amirul Mukminin bertanya, “Bagaimana pendapatmu tentang harta yang diambil oleh anak-anak bapa saudara kita (Sulaiman) secara zalim? Padahal, orang-orang yang memiliki hak tersebut telah datang dan menuntutnya, sementara kita mengetahui hak mereka?” Abdul Malik berkata, “Menurut pandangan saya, hendaknya Anda mengembalikan barang tersebut kepada yang memiliki selagi Anda mengetahui urusannya kerana jika Anda tidak melakukannya maka Anda telah bersubahat dengan orang yang mengambil hak tersebut dengan cara yang zalim.” Menjadi teranglah hati Umar, menjadi tenanglah jiwa beliau, dan hilanglah rasa gelisah yang menyelimuti hatinya.
Surat Umar kepada Abdul Malik
Abdul Malik lebih memilih hidup di bumi ribath (perbatasan untuk menjaga serangan musuh) dan menetap di salah satu desa yang dekat dengannya daripada tinggal di Syam. Beliau menuju ke sana dan beliau tinggalkan Damaskus yang penuh dengan taman yang subur, pepohonan yang rendang, dan sungai-sungai yang indah. Ayahanda beliau—walaupun telah mengetahui betul akan kesolehan dan ketakwaan buah hatinya—masih merasa khuatir jika anaknya tergelincir oleh tipu daya syaitan. Sang ayah amat mendambakan jika anaknya senantiasa menjadi pemuda yang tegar. Dia selalu ingin mengetahui urusan anaknya selagi mampu mengetahuinya. Dia sama sekali tidak meremehkan urusan ini. Maimun bin Mahran, menteri Umar bin Abdul Aziz sekaligus penasihat yang membantu beliau, bercerita, “Aku menemui Umar bin Abdul Aziz sedangkan aku lihat beliau sedang menulis surat yang ditujukan untuk putera beliau, Abdul Malik. Beliau bermaksud menasihati puteranya, memberikan pengarahan, peringatan dan khabar gembira. Di antara yang beliau tulis adalah, “Amma ba’du, sesungguhnya orang yang paling berhak menjaga dan memahami perkataanku adalah engkau. Dan sesungguhnya Allah Taala—alhamdulillah—telah mengurniakan kebaikan kepada kita sejak kecil hingga sekarang. Maka ingatlah wahai anakku akan kurnia Allah kepadamu dan juga kepada kedua orang tuamu. Jauhilah olehmu sifat takabbur dan merasa besar, kerana hal itu adalah perbuatan syaitan, sedangkan syaitan adalah musuh yang nyata bagi orang-orang beriman. Ketahuilah, sesungguhnya aku mengirim surat ini untukmu bukan kerana aku mendengar suatu berita tentangmu, aku tidak mendengar berita tentangmu kecuali yang baik-baik. Hanya saja telah sampai kepadaku tentang kebanggaanmu terhadap dirimu. Seandainya rasa ujub ini muncul pada dirimu hingga menyebabkan aku tidak menyukainya, maka engkau akan melihat sesuatu yang tidak kau sukai dariku.” Maimun berkata, “Kemudian Umar menoleh kepadaku dan berkata, ‘Wahai Maimun, sesungguhnya dalam pandangan mataku, Abdul Malik begitu baik, tetapi aku khuatir jika kecintaanku kepadanya mengalahkan pengetahuanku terhadapnya sehingga aku menempatkan diriku seperti orang tua yang buta, pura-pura tidak tahu terhadap kekurangan anaknya.’ Lalu, Maimun menjawab, “Maka datanglah kepadanya, selidikilah keadaannya, dan lihatlah apakah engkau melihat tanda-tanda kesombongan dan kebanggaan pada dirinya? Kerana dia masih terlalu muda, belum tentu aman dari tipu daya syaitan.” Atas perintah Khalifah Umar, Maimun melakukan perjalanan menemui Abdul Malik hingga bertemu dengannya. Dia meminta izin lalu masuk. Setelah masuk, dia hanya mendapati seorang pemuda yang masih belia, pemuda yang gagah, tampan dan tawaduk, dia duduk di atas alas dari rambut. Lalu, Abdul Malik mendekati Maimun seraya berkata, “Aku telah mendengar ayah menyebut-nyebut kebaikan Anda, saya berharap agar Allah memberikan manfaat kerana Anda.” Maimun berkata, “Bagaimanakah keadaanmu hari ini?” Lalu Abdul Malik menjawab, “Mendapatkan keyakinan dan nikmat dari Allah Swt.. Hanya saja aku takut jika teperdaya oleh sikap husnuzan ayah kepadaku, padahal saya belum mencapai keutamaan sebagaimana yang beliau sangka. Aku khuatir jika kecintaan beliau kepadaku telah mengalahkan pengetahuan beliau tentang diriku, sehingga hal itu menjadi bencana bagiku.” Maimun bergumam dalam fikirannya, “Aku sungguh hairan, bagaimana keduanya boleh sepakat pemikirannya?” Maimun kembali bertanya kepada Abdul Malik, “Beritahukanlah kepadaku, dari mana engkau mencari nafkah?” Abdul Malik menjawab, “Dari hasil bumi yang telah aku beli dari orang yang mendapatkan warisan dari ayahnya, aku membayarnya dengan wang yang tidak ada syubhat di dalamnya. Dengannya aku dapat mencukupi keperluanku.” Maimun bertanya kembali, “Apa yang kau makan setiap hari?” Abdul Malik berkata, “Sehari daging, sehari adas, dan sehari makan cuka dan zaitun, dengan ini cukup untuk hidup.” Maimun berkata, “Apakah engkau merasa bangga dengan keadaanmu?” Abdul Malik menjawab, “Begitulah pada awalnya, namun manakala ayah menasihatiku, memberikan pengertian kepadaku dan mengingatkan akan kekuranganku, maka Allah memberikan manfaat kepadaku dengannya. Semoga Allah membalas kebaikan ayah dengan balasan yang baik.” Kemudian, Maimun duduk-duduk beberapa saat sambil berbincang-bincang dengan Abdul Malik. Dia tidak melihat pemuda yang lebih tampan, lebih berakal, lebih bagus adabnya darinya walaupun masih sangat muda dan sedikit pengalamannya. Ketika waktu telah menjelang petang, seseorang mendatangi Abdul Malik dan berkata, “Semoga Allah menjadikan Anda sejahtera, kami telah mengosongkannya.” Abdul Malik terdiam, lalu Maimun bertanya, “Apa maksud dia berkata, ‘Kami telah mengosongkannya,’?” Abdul Malik menjelaskan bahawa yang dimaksud ialah kolam mandi yang mana orang-orang mengosongkannya untuknya. Maimun bekata, “Sungguh engkau telah melakukan sesuatu yang besar hingga aku mendengar berita ini.” Abdul Malik dengan rasa takut membaca istirja [‘inna lillahi wa inna ilaihi raji’un], lalu berkata, “Dalam hal mana, wahai bapa saudaraku?” Maimun melanjutkan, “Apakah kolam tersebut milikmu?” “Bukan!” jawab Abdul Malik. Maimun bertanya lagi, “Lantas atas dasar apa engkau menyuruh manusia keluar darinya kemudian engkau memakainya? Seakan engkau ingin mengunggulkan dirimu di atas mereka dan engkau menjadikan kehormatanmu di atas kehormatan mereka? Engkau juga mengganggu pemilik kolam tersebut untuk memenuhi keperluan hariannya dan engkau membuat orang-orang kecewa kerana terpaksa pulang lantaran tak boleh masuk.” “Tentang pemilik kolam, dia telah merelakan dan memberikan haknya kepadaku,” ujar Abdul Malik. “Itulah pelayanan yang dengannya engkau dapat tercemari oleh takabbur. Apa yang menghalangimu untuk masuk bersama manusia, sedangkan engkau seperti mereka juga?” tanya Maimun. Lalu Abdul Malik menjawab, “Yang menghalangiku adalah sebahagian orang-orang miskin masuk kolam tanpa menggunakan penutup maka aku tidak suka melihat aurat mereka. Dan aku tidak boleh pula memaksa mereka untuk menggunakan penutup kerana mereka akan menganggap aku menggunakan kekuasaanku yang mana aku memohon kepada Allah agar membersihkan kami dari dorongan seperti itu maka berilah nasihat kepadaku semoga Anda mendapatkan rahmat dari Allah sehingga saya dapat mengambil manfaatnya. Dan berilah masukan agar saya dapat memecahkan persoalan ini.” Lalu Maimun memberinya nasihat agar Abdul Malik menunggu sampai orang-orang keluar semua dari kolam di malam hari dan mereka telah kembali ke rumah mereka masing-masing, kemudian barulah Abdul Malik masuk ke kolam. Abdul Malik menanggapi, “Baik, aku janji tidak akan masuk ke dalamnya di siang hari setelah hari ini.” Kemudian, dia diam sejenak seakan memikirkan sesuatu. Lalu, dia mengangkat kepalanya dan berkata, “Aku mohon kepada Anda agar tidak menyampaikan khabar ini kepada ayah, kerana aku khuatir dia akan marah kepadaku. Aku takut jika sewaktu-waktu ajal tiba sedangkan beliau dalam keadaan tidak redha kepadaku.” “Jika Amirul Mukminin bertanya adakah aku melihat suatu kejanggalan pada dirimu, maka apakah engkau rela jika aku harus berdusta kepada beliau?” tanya Maimun. Dia menjawab, “Tentu saja tidak, na’udzubillah, akan tetapi Anda boleh berkata, “Aku memang melihat sesuatu darinya, lalu aku menasihatinya dan memberikan gambaran bahawa urusannya itu besar, kemudian dia mahu memperbaiki dirinya, kerana ayah tidak akan meminta Anda untuk membuka rahsia ini selagi Anda tidak menceritakan kepada beliau. Dan Allah Swt. telah menjaga beliau dari mengorek sesuatu yang menjadi rahsia.” Maimun berkata “Aku belum pernah melihat seorang anak dan orang tua seperti mereka berdua, semoga Allah merahmati keduanya.”
Kisah ini menjadi pelajaran penting bagi para orang tua bahawa kesolehan orang tua sangat berpengaruh dalam pembentukan keperibadian anak. Begitu juga bagi seorang anak. Keteladanan orang tua adalah role model untuknya menjadi peribadi yang bertakwa. Orang tua dan anak soleh kerana sistem Islam mampu membentuk kesolehan dan ketakwaan individu. Semoga memberi hikmah bagi kita semua.
Sumber: Sindonews

