Penulis: Ustaz Muhammad Al-Hamdani
Allah SWT berfirman dalam Kitab Suci-Nya, “Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah seruan Allah dan Rasul-Nya apabila dia menyerumu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepadamu, dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya, dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dikumpulkan.” [TMQ Al-Anfal (8): 24].
Ayat ini merupakan seruan untuk menghidupkan kembali kejayaan dan kemuliaan umat ini seperti dahulu sebagaimana Allah SWT dan Rasul-Nya kehendaki untuk menjadi umat terbaik yang dilahirkan bagi manusia.
Kebaikan ini muncul dari aktiviti amar makruf nahi mungkar, mendirikan solat, dan menunaikan zakat dengan menjalankan Islam secara keseluruhan dan menjadikannya sebagai pedoman hidup.
Rasulullah saw telah menjelaskan bahawa langkah-langkahnya berdasarkan petunjuk dari Allah Tuhan semesta alam, mengikuti segala perintah-Nya dan melaksanakannya mengikut tatacara berdasarkan al-Quran, sesuai metode dakwah pemikiran dan berkelompok. Kemudian, mengumumkannya dan meminta dukungan untuk pembentukan negara dan membangkitkan umat. Setelah itu, mengemban dakwah ini ke seluruh umat manusia melalui dakwah dan jihad agar mereka memeluk akidah ini dan melaksanakannya kerana di dalamnya terdapat rahmat Allah Tuhan semesta alam.
Allah Taala berfirman dalam QS Al-Anbiya: 107, “Dan kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam.”
Juga hendaklah tidak melakukan pemaksaan terhadap orang lain untuk memeluk agama Islam, sebagaimana firman Allah SWT dalam QS Al-Baqarah: 256, “Tidak ada paksaan dalam (menganut) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas (perbezaan) antara jalan yang benar dan jalan yang sesat. Barang siapa ingkar kepada taghut dan beriman kepada Allah, maka sungguh, dia telah berpegang (teguh) pada tali yang sangat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Bangsa Arab dan pelbagai kaum lain yang telah memeluk Islam sesungguhnya telah keluar dari kegelapan zaman jahiliah dan kesempitan dunia menuju cahaya Islam dan ajarannya yang manusiawi, serta kesenangan di dunia dan akhirat. Dengan demikian, manusia menjadi mulia di bawah naungan sistem Islam, mendapatkan keselamatan dalam bermasyarakat, memperoleh keperluan asas harian, saling tolong-menolong dalam kebaikan dan ketakwaan; serta berhukum dengan syariat Allah, adil dalam me-riayah, dan menerapkan perkara itu tanpa membeza-bezakan.
Seorang muslim akan berjalan di pelbagai penjuru negeri umat Islam tanpa rasa takut selain hanya pada Allah ibarat tidak ada kebimbangan kepada serigala terhadap kambingnya. Hal ini ditegaskan oleh Rasulullah saw dalam sabdanya yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, “Demi Allah, sungguh urusan (Islam) ini akan sempurna sehingga ada seseorang yang menunggang kuda berjalan dari Shana’a menuju Hadhramaut, tidak ada yang ditakutinya melainkan Allah, ataupun (tidak ada) kebimbangan kepada serigala terhadap kambingnya.”
Umat Islam terus hidup dalam naungan sistem dan akidah Islam, bersama sistem kepimpinannya, serta Khalifah sebagai penjaga bagi ajaran Islam yang menerapkan Islam dan mengembannya, juga membuat perhitungan dengan orang-orang kafir, sekutunya dan orang munafik selama hampir 13 abad sehingga kejatuhannya pada tahun 1924 melalui tangan Mustafa Kemal.
Oleh itu, ikatan Islam mula terlepas satu persatu sebagai bukti atas perkataan Rasulullah saw. Dari Abu Umamah al-Bahili dari Nabi saw bahawasanya baginda bersabda, “Tali-tali [ikatan] Islam benar-benar akan terlepas satu persatu. Ketika satu tali [ikatan]nya terlepas, orang juga pasti akan melepaskan tali [ikatan] berikutnya. Yang pertama sekali terlepas adalah pemerintahan, yang terakhir adalah solat.” (HR Ahmad).
Terlepasnya ikatan ini tidak mungkin berlaku jika tidak didahului oleh faktor dalaman dan luaran. Faktor luaran seperti tampaknya permusuhan kafir secara kolektif di bawah kepimpinan kafir British, hasutan kepada idea nasionalisme dan kebangsaan, serta pembentukan parti-parti atas dasar ini melalui kakitangan yang berasal daripada pihak kita.
Manakala faktor dalaman seperti kelemahan pemikiran dan pemahaman terhadap fikih yang menimpa Daulah Uthmaniyah pada akhir zaman pemerintahannya, kejumudan dan ketidakmampuan untuk menemui solusi terhadap masalah yang muncul: cara mengurus pertanian, industri, pelaburan dan pemberian perkhidmatan untuk memenuhi rasa lapar dan keperluan manusia sebagaimana perkembangan Barat pada waktu itu. Semua ini tercermin dalam pemikiran dan perilaku umat.
Sejak kejatuhan Khilafah, umat hidup dalam keadaan yang kontradiktif(bertentangan) iaitu antara perasaan yang mereka yakini, pemikiran dan sistem yang diterapkan kepada mereka, serta pemaksaan batas-batas dan perpecahan yang memisahkan umat antara satu sama lain.
Seruan nasionalisme dan perselisihan membuatkan mereka lupa akan kehidupan Islam melalui penguasa yang mengangkat kafir penjajah ke atas mereka. Mereka hanya mementingkan urusan tuan mereka yang kafir.
Kerana tidak ada kehidupan bagi umat Islam tanpa Islam, kehidupan umat pun beralih pada kesulitan dan kembali ke zaman jahiliah setelah mereka hidup dalam kemuliaan Islam. Dengan situasi baru ini, hilangnya pemahaman dan pemikiran Islam semakin meningkat seiring lemahnya fatwa-fatwa dan pelbagai dalil yang menipu, dikalahkan serta ditindas yang semakin memburukkan lagi keadaan.
Umat semakin dihina dan mula menderita. Mereka mencari jalan keselamatan dan pembebasan daripada apa yang mereka alami. Seluruh seruan kebangkitan seperti nasionalisme, patriotisme, kebangsaan, sosialisme, tentang keagamaan yang berpecah dan tidak menyeluruh, telah dilemahkan sehingga Allah menyediakan seseorang yang menyeru kepada pembaharuan agama-Nya.
Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya, Allah akan mengutus pada umat ini setiap penghujung 100 tahun orang yang akan memperbaharui agama mereka.”
Pada awal tahun 50-an, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani mengumumkan bahawa telah lahir parti politik berideologi Islam, iaitu حزب التحرير. Ini dalam rangka mengembalikan pemahaman agama umat dengan cara yang telah dijelaskan oleh Rasulullah saw dengan mempelajari Islam dan biografi Nabi saw., melalui kajian pemikiran yang sesuai hukum (Islam) bukan kajian sejarah seperti yang banyak dilakukan oleh para pendakwah yang ingin membangkitkan umat.
Pembelajaran seperti ini mencontohi aktiviti Rasulullah saw sejak awal kehidupan beliau, ketika beliau menyendiri di Gua Hira, merenung dan berfikir tentang keberadaan alam ini; serta yang ada pada manusia, seperti kebiasaan, tradisi, penyembahan pada patung, sehingga beliau (saw) dipilih oleh Allah sebagai Rasul dan Dia mengirimkan wahyu-Nya yang menjawab segala persoalan dan kebimbangannya.
Oleh itu, Allah SWT telah menjaganya bahkan sebelum beliau diutus dan telah menyediakannya untuk melaksanakan amanah, sehingga menjadi terkenal di kalangan umatnya dari segi berakhlak mulia dan mengatasi perkara yang rendah lainnya.
Bagaimana terjadi? Ketika itu, mereka bahkan menggelarnya dengan ash-Shadiq al-Amin (yang jujur dan terpercaya). Setelah turunnya wahyu, Rasulullah saw keluar dan menyampaikan kepada manusia bahawa beliau adalah Rasulullah (utusan Allah) dan menyeru mereka untuk beribadah kepada Allah SWT dan meninggalkan ibadah kepada selain-Nya. Dengan demikian, berimanlah sekelompok orang (dari manusia yang diserukan) dan mempercayai perkataannya, kemudian terbentuklah kutlah (kelompok) keimanan.
Dari sini, bermula tahapan-tahapan aktiviti kutlah tersebut dalam mencapai perubahan, iaitu:
Tahap pertama, pendidikan dan pemantapan konsep-konsep Islam bagi pengemban dakwah secara sembunyi-sembunyi di Dar al-Arqam bin Abi al-Arqam, berlangsung selama tiga tahun ketika sahabat disempurnakan sehingga terbentuklah keperibadian Islam dalam diri mereka, baik dalam pemikiran mahupun mentaliti mereka.
Buktinya ialah penganiayaan dan penyeksaan yang mereka alami di tangan orang-orang kafir Quraisy. Semua itu tidak menghalang keyakinan mereka. Tahapan ini sangat penting dalam urusan dakwah kerana tahap kedua bergantung padanya dan setiap kesilapan di dalamnya menghalang proses peralihan menuju tahapan yang lain.
Tahap kedua, interaksi, iaitu tahap dakwah secara terang-terangan dari jemaah dan deklarasi kelompok sebagai kekuatan intelektual yang berusaha mengubah realiti setelah turunnya firman Allah SWT, “Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang yang musyrik.” [QS Al-Hijr: 94]. Kelompok tersebut telah beralih untuk melakukan aktiviti baru sebagai tambahan kepada aktiviti sebelumnya.
Kemudian, masuknya jemaah ke dalam masyarakat dan berinteraksi dengan mereka melalui pertarungan pemikiran dengan menyerang pemikiran jahiliah, seperti penyembahan berhala, menanam hidup-hidup anak perempuan, dan sebagainya; serta perjuangan politik dengan menentang para pemimpin kafir dan mengejek pemikiran mereka, seperti Abu Jahal, Abu Lahab, Walid bin Mughirah, dan lain-lain.
Di antara aktiviti pada tahap ini dalam tiga tahun terakhir adalah meminta pertolongan kepada orang-orang yang berkuasa dan kuat yang diwakili oleh kerabat dan pemimpin mereka untuk melindungi Rasulullah saw, serta memberinya kekuatan untuk memerintah dengan risalah Allah sehingga mendapat perlindungan dari Kaum Aus dan Khazraj daripada penduduk Madinah.
Di sini, bermula tahapan ketiga, iaitu penerimaan kekuasaan, penerapan hukum Allah, dan pelaksanaan hukum-hukum-Nya. Dengan demikian, umat Islam menjadi kekuatan yang diwakili oleh institusi politik yang membawa umat Islam masuk ke dalam pertarungan fizik dengan entiti Quraisy, yakni melalui aktiviti ketenteraan dan jihad di jalan Allah dan turunnya ayat-ayat yang memerintahkan berperang.
Tahapan ini berbeza dengan tahapan sebelum Daulah tegak yang terhad pada serangan pemikiran dan perjuangan politik. Sehingga akhirnya, konflik tersebut dapat diselesaikan setelah Perjanjian Hudaibiyah demi kepentingan Rasulullah saw dan para Sahabat, iaitu Fathu Makkah sebagai salah satu hasilnya.
Kemudian, Rasulullah saw mula bergerak mengemban Islam ke luar Mekah. Pada masa yang sama, syariat Islam turun secara bertahap selama ±20 tahun dan menjadi sempurna dalam semua aspek kehidupan dengan turunnya firman Allah SWT, “Pada hari ini, telah Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan telah Aku redhai Islam sebagai agamamu.” [TMQ Al-Maidah(5): 3].
Setelah Rasulullah saw wafat, para sahabat meneruskan tugas mengemban risalah Islam sehingga mampu menakluki Empayar Parsi dan Rom. Daulah Islam juga menjadi negara super power yang tiada tandingannya.
Inilah satu-satunya aktiviti untuk membangkitkan umat Islam dan meneruskan kehidupan Islam. Kita wajib melakukannya dengan meneladani sirah Rasulullah saw demi mencapai kemuliaan di dunia dan redha Allah SWT di akhirat.
Tidak ada jalan lain selain itu. Allah SWT berfirman, “Katakanlah (Muhammad), ‘Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang musyrik.’ [TMQ Yusuf(12): 108].
Ya Allah, kami memohon, anugerahkanlah kami kemuliaan dalam naungan Khilafah Rasyidah ‘alaa minhaj an-nubuwwah. Aamiin.
Sumber: Media Muslim Timur Tengah

