Site icon MuslimahHTM News

Khalifah Umar bin Khattab ra. Memikirkan Urusan Umat hingga Akhir Hayat

Penulis: Nabila Ummu Anas

Umar bin Khattab ra. adalah khalifah kedua kaum muslim. Banyak penerobosan kebijakan yang Khalifah Umar lakukan untuk kemaslahatan Islam dan kaum muslim. Pada masa pemerintahannya, beliau membentuk diwan baitul mal, menetapkan penanggalan hijriah, dan memungut kharaj atas tanah. Semasa menjadi khalifah, Umar mendedikasikan seluruh hidupnya untuk menjadi pelayan umat hingga akhir hayatnya. Khalifah Umar mengangkat para pegawai yang layak untuk menjadi wali di berbagai wilayah dan pemimpin pasukan. Para wali ini menjadi penanggung jawab dan pemimpin di setiap wilayah dengan kemampuan, keteguhan, semangat, dan keikhlasan.

Memohon Mati Syahid

Ibnu Katsir menuturkan, seusai menunaikan ibadah haji pada 23 H dan singgah di Abthah, Umar berdoa dan mengadu kepada Allah bahawa usianya telah tua, kekuatannya telah berkurang, sedangkan rakyat yang dipimpinnya makin banyak dan tersebar di berbagai penjuru. Umar khuatir tidak mampu mengemban amanah dengan baik. Umar lalu memohon agar Allah memberinya mati syahid di kota Rasulullah saw., iaitu Madinah. Sebagaimana disebutkan dalam Sahih Bukhari, Umar sering berdoa, “Ya Allah, berilah aku rezeki syahadah (mati syahid) di jalan-Mu dan jadikan kematianku di negeri Rasul-Mu.” (HR Bukhari)

Adil pada Seluruh Rakyat

Suatu hari, Abu Lu’lu’ah Fairuz, seorang Majusi dari Romawi telah menikam Khalifah Umar bin Khattab ra. dengan pisau kecil bermata dua. Ketika itu, Khalifah Umar sedang melaksanakan solat Subuh di mihrab pada Rabu, empat hari sebelum Zulhijjah berakhir tahun 23 H.

Kala itu Umar tersungkur, Abdurrahman bin Auf menggantikannya sebagai imam solat. Khalifah segera dibawa ke rumahnya. Orang-orang mengingatkan Umar untuk solat, Umar menjawab, “Ya, tidak ada alasan dalam Islam bagi orang yang meninggalkan solat.” Khalifah lalu solat saat itu juga. Umar kemudian bertanya tentang siapa yang membunuhnya. Para sahabat menjawab, “Abu Lu’lu’ah, hamba Mughirah bin Syu’bah.” Mendengar itu, Khalifah Umar berkata, “Segala puji bagi Allah yang tidak menjadikan kematianku di tangan orang yang mengaku sebagai mukmin dan tidak pernah bersujud sekalipun. Semoga Allah menghinakannya. Padahal, kita sudah berbuat baik padanya.” Mughirah bin Syu’bah menggaji Abu Lu’lu’ah dua dirham per hari. Kemudian dia meminta kepada Khalifah Umar untuk menambah upahnya kerana dia adalah tukang kayu, pemahat, dan tukang besi. Umar ra. lalu menambah upahnya sebesar 100 dirham per bulan. Saat itu Umar mengatakan kepadanya, “Aku dengar engkau pandai membuat penggilingan yang berputar dengan angin.” Abu Lu’lu’ah menjawab, “Demi Tuhan, aku akan membuatkan untukmu sebuah penggilingan yang akan menjadi buah bibir banyak orang di barat mahupun di timur.” Dialog antara Khalifah Umar dan Abu Lu’lu’ah itu terjadi pada hari Selasa petang, sehari sebelum dia menikam Khalifah Umar.

Masih Sempat Mengingatkan

Orang-orang berdatangan ke rumah Amirul Mukminin dan mereka memuji Umar. Seorang lelaki berkata, “Bergembiralah wahai Amirul Mukminin atas kurniaan Allah kepadamu berupa persahabatanmu dengan Rasulullah saw. dan kematanganmu dalam Islam seperti yang engkau sendiri ketahui. Setelah itu engkau memimpin kami, berlaku adil terhadap kami, kemudian mati syahid.” Umar menukas, “Aku fikir bahawa itu sudah cukup. Semoga itu semua tidak menjadi bebanku nanti dan tidak pula menjadi kebanggaanku.” Setelah lelaki itu pergi, kelihatan bajunya yang menyapu tanah. Umar pun berkata, “Suruh orang itu kembali ke sini!” Setelah lelaki itu dipanggil, Umar mengatakan kepadanya, “Wahai anak saudaraku, angkatlah bajumu, kerana bajumu dapat dipelihara dari najis dan engkau akan lebih bertakwa di hadapan Allah.”

Pesan kepada Khalifah Penggantinya

Sebelum menghembuskan nafas terakhirnya, Khalifah Umar berkata, “Aku berwasiat kepada khalifah setelahku agar dia mengetahui hak kaum Muhajirin generasi pertama dan menjaga kehormatan mereka. Aku berwasiat kepadanya agar memperlakukan kaum Ansar dengan baik. Mereka telah memberikan negeri mereka dan menyatakan iman mereka. Hendaknya khalifah sepeninggalku menghargai kebaikan mereka dan memaafkan kesalahan kaum Ansar.” Khalifah Umar juga berwasiat kepada khalifah penggantinya untuk memimpin rakyat di berbagai wilayah dengan baik sebab mereka adalah benteng Islam, penambah kekayaan baitul mal, dan penggentar musuh. Mereka tidak memungut sedikit pun kecuali kelebihan harta mereka sesuai redha rakyat.

“Aku juga berwasiat untuk memperlakukan orang-orang Arab Badwi dengan baik kerana mereka adalah benih bakal bangsa Arab dan materi utama agama Islam. Dana Islam diambil dari kelebihan harta mereka dan dikembalikan kepada kaum fakir dari kalangan mereka. Aku berwasiat kepada khalifah penggantiku atas dasar kesucian Allah dan Rasul-Nya, agar dia memenuhi perjanjian dengan kaum muslim, memerangi musuh jika musuh menyerang mereka dan tidak membebani mereka kecuali sesuai dengan kemampuan mereka,” kata Khalifah Umar lagi. Hingga akhir hayatnya, Khalifah Umar bin Khattab ra. adalah pemimpin yang amanah, bertanggung jawab, adil, dan sentiasa memastikan urusan rakyat terurus dengan baik sesuai perintah Allah dan Rasul-Nya.

Sumber: Prof. Dr. Ibrahim al-Quraibi. Tarikh Khulafa. Qisthi Press.

Exit mobile version