Site icon MuslimahHTM News

Bila Ghibah Dibolehkan?

Ada enam keadaan yang membolehkan ghibah untuk dilakukan. Pertama, ketika mengadukan kezaliman (at-tazhallum). Diperbolehkan bagi orang yang dizalimi untuk mengadukan kezaliman yang menimpa dirinya kepada penguasa, qadi atau yang memiliki kekuasaan hukum ataupun pihak yang berwajib lainnya. Ia dapat menuntut keadilan ditegakkan contohnya dengan mengatakan si Fulan telah melakukan kezaliman terhadapku dengan cara begini dan begitu.

Yang kedua adalah ketika meminta bantuan untuk mengubah kemungkaran dan mengembalikan pelaku maksiat pada kebenaran (al isti’anah ala taghyiril munkar wa raddal ashi ila ash shawab). Seseorang boleh menyampaikan kepada orang yang diharapkan mampu mengubah kemungkaran tersebut dengan mengatakan si Fulan telah berbuat begini dan begitu, selamatkan orang tersebut dari kemaksiatan. Ataupun dengan cara lain yang sejenis dengan itu yang jelas maksudnya adalah untuk menghilangkan kemungkaran atau kemaksiatan yang dilakukan. Tetapi jika ianya tidak mengarah kepada perkara seperti ini, maka ianya adalah haram.

Ketiga, ketika meminta fatwa (al istifta). Contohnya seseorang mengatakan kepada seorang mufti (pemberi fatwa), ayahku (atau saudaraku atau suamiku atau si fulan) telah menzalimi aku dengan cara begini, bagaimana cara aku untuk menanganinya? Bagaimana cara agar aku terlepas darinya, mendapatkan hakku dan terlindung dari kezaliman itu? Atau pertanyaan apapun yang sama maksudnya seperti itu. Maka hukumnya adalah boleh jika diperlukan.

Tapi lebih tepat dan lebih afdah jika ia mengatakan, bagaimana pendapat anda tentang orang atau seseorang atau seorang suami yang telah berbuat seperti ini? Maka perkara ini dapat membuatnya mencapai hasil (jawapan) tanpa perlu menyebutkan secara terperinci (tanpa perlu menyebut siapa orangnya). Walaupun demikian, tetap dibolehkan untuk menceritakan secara terperinci (at ta’yin) sebagaimana yang akan kami sebutkan dalam hadis dari Hindun nanti, insya Allah.

Keempat, ketika memperingatkan kaum muslimin agar waspada terhadap suatu keburukan dan menasihati mereka (tahdzîrul muslimîn min asy syarr wa nashîhatuhum). Tentang hal ini, terdapat beberapa contoh, antaranya adalah menyebutkan sifat orang yang memang layak disebutkan keburukannya (jarhul majruhin) iaitu mereka yang dari kalangan para perawi hadis dan saksi-saksi (di pengadilan). Perkara ini diperbolehkan menurut ijma’ kaum muslimin. Bahkan boleh jadi wajib untuk situasi tertentu. Contoh lainnya adalah ketika meminta pendapat atau nasihat (musyawarah) sebelum memutuskan sesuatu dengan seseorang contohnya ketika ingin berkahwin, bekerjasama, memutuskan kerjasama, bermuamalat dan sebagainya atau tentang hubungan kejiranan. Wajib bagi orang yang diminta nasihat untuk tidak menyembunyikan apa-apa informasi tentang orang yang ingin diketahui keadaan dirinya. Bahkan dia mesti menyebutkan perangai-perangai buruknya yang memang diniatkan untuk melakukan nasihat.

Antara contoh situasinya adalah, ketika seseorang melihat ada orang yang sedang belajar agama dari pelaku bid’ah atau orang fasik dengan niat untuk mempelajari ilmu bid’ah tersebut, kemudian dia khuatir orang tersebut akan mendapat mudharat, maka dia perlu menasihatinya dan memberikan penjelasan mengenai keadaan yang sebenarnya. Dengan syarat, perkara itu dilakukan dengan maksud untuk membeti nasihat. Perkara ini memang berpotensi untuk terjadi kekeliruan kerana terkadang si pemberi nasihat mungkin ada sedikit perasaan dengki sehingga syaitan mencampuradukkan antara nasihat dan kedengkian itu. Syaitan menghadirkan bayangan kepadanya bahawa perkara itu adalah nasihat, tetapi akhirnya ia terjerumus ke dalam fitnah.

Yang juga termasuk dalam poin ini adalah ketika mana seseorang mempunyai kekuasaan tetapi ia tidak menggunakannya di jalan yang benar. Boleh jadi kerana dia sememangnya tidak layak atau kerana dia fasik mahupun lalai atau yang sejenis dengannya. Maka, perkara ini wajib diungkapkan kepada orang yang memiliki kekuasaan yang lebih tinggi darinya agar kelalaian itu dapat dimuhasabah atau orang tersebut diganti dengan seseorang yang lebih layak atau apa saja cara yang boleh dilakukan untuk mengambil tindakan terhadap orang yang lalai itu.

Kelima, ketika seseorang memperlihatkan secara terang-terangan (al-mujahir) suatu kefasikan atau perilaku bid’ahnya sebagaimana orang yang secara terang-terangan meminum arak, mengambil ufti, mengumpulkan harta secara haram dan zalim, memimpin menggunakan sistem yang batil dan banyak lagi. Perkara ini boleh dighibahkan kerana pelakunya melakukan perbuatan itu secara terang-terangan (mujaharah). Tetapi perkara-perkara lain yang merupakan satu aib yang disembunyikan, tidak boleh turut disebut-sebut, kecuali adalah kebolehan yang disebabkan oleh alasan yang telah kami sebutkan pada keempat-empat poin sebelumnya.

Keenam, ketika penyebutan nama (at-ta’rif). Jika seseorang memang telah dikenali dengan nama laqab (julukan) seperti al-A’masy (si kabur penglihatannya) atau al-A’raj (si pincang), atau al-Ashamm (Si Tuli), al-A’maa (Si Buta), al-Ahwal (Si Juling) dan sebagainya, maka dibolehkan untuk menyebut nama mereka dengan sebutan itu. Tetapi, tetap diharamkan untuk menyebut sisi kekurangannya yang lain. Namun, jika ada nama panggilan lain yang lebih elok, sudah tentu ia lebih diutamakan.

Inilah enam sebab yang disebutkan oleh para ulama dan sebahagian besarnya mereka sepakati. Adapun dalil-dalilnya adalah dari hadis-hadis sahih yang mahsyur, antaranya adalah :

عن عائشة رضي الله عنها أن رجلا استأذن على النبي صلى الله عليه وسلم فقال‏:‏ “ائذنوا له، بئس أخو العشيرة‏؟‏ ‏”‏ ‏(‌‏(‏متفق عليه‏)‌‏)‌‏.‏

Dari Aisyah ra. bahawa seseorang meminta izin pada Nabi SAW, lalu Baginda berkata: izinkanlah ia, seburuk-buruk saudara suatu kabilah. (Muttafaq Alaih)

Al Bukhari berhujah dengan hadis ini mengenai kebolehan bergibah terhadap ahlul fasad (pembuat kerosakan) dan ahlu ar rayb (menciptakan keraguan).

وعنها قالت‏:‏ قال رسول الله صلى الله عليه وسلم‏:‏ ‏”‏ما أظن فلانًا وفلانًا يعرفان من ديننا شيئًا‏”‏ ‏(‌‏(‏رواه البخاري‏)‌‏)‌‏.‏ قال الليث بن سعد أحد رواة هذا الحديث‏:‏ هذان الرجلان كانا من المنافقين

Dan masih dari Aisyah, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda, aku melihat si fulan dan si fulan tidaklah mengetahui sedikitpun dari perkara agama kami. (HR al Bukhari). Al Layts ibn Sa’ad—salah seorang perawi hadis ini—berkata: kedua orang yang disebut di sini adalah orang munafiq.

وعن فاطمة بنت قيس رضي الله عنها قالت‏:‏ أتيت النبي صلى الله عليه وسلم، فقلت‏:‏ إن أبا الجهم ومعاوية خطباني‏؟‏ فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم‏:‌‏”‏أما معاوية، فصعلوك لا مال له ، وأما أبوالجهم، فلا يضع العصا عن عاتقه‏”‏ ‏(‌‏(‏متفق عليه‏)‌‏)‏

Dari Fathimah binti Qays ra., ia berkata: aku mendatangi Nabi SAW. lalu aku berkata, sesungguhnya Abul Jahm dan Mu’awiyah telah mengkhitbahku. Lalu Rasulullah SAW. berkata, adapun Mu’awiyah adalah orang fakir, ia tidak mempunyai harta. Adapun Abul Jahm, ia tidak pernah meletakkan tongkat dari pundaknya. (Muttafaq alaih)

Dan dalam riwayat Muslim, hadisnya berbunyi:

Adapun Abul Jahm, ia suka memukul wanita.

Ini merupakan penjelasan dari riwayat sebelumnya yang mengatakan ia tidak pernah meletakkan tongkat dari pundaknya. Juga dikatakan bahawa makna ia tidak pernah meletakkan tongkat dari pundaknya adalah katsiirul asfaar, iaitu banyak merantau (berpergian).

وعن زيد بن أرقم رضي الله عنه قال‏:‏ خرجنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم في سفر أصاب الناس فيه شدة، فقال عبد الله بن أبي‏:‏ لا تنفقوا على من عند رسول الله حتى ينفضوا وقال‏:‏ لئن رجعنا إلى المدينة ليخرجن الأعز منها الأذل فأتيت رسول الله صلى الله عليه وسلم، فأخبرته بذلك، فأرسل إلى عبد الله بن أبي ، فاجتهد يمينه‏:‏ ما فعل، فقالوا‏:‏ كذب زيد رسول الله صلى الله عليه وسلم فوقع في نفسي مما قالوا شدة حتى أنزل الله تعالى تصديقي ‏{‏إذا جاءك المنافقون‏}‏ ثم دعاهم النبي صلى الله عليه وسلم، ليستغفر لهم فلووا رءوسهم‏.‏ ‏(‌‏(‏متفق عليه‏)‌‏)

Dari Zaid bin Arqam ra, ia berkata: kami pernah keluar bersama Rasulullah SAW. dalam sebuah perjalanan di mana orang-orang ditimpa kesulitan. Lalu Abdullah bin Ubay berkata, jangan engkau memberi infaq kepada orang-orang yang bersama Rasulullah supaya mereka bubar. Lalu ia berkata lagi, “sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah, benar-benar orang yang kuat akan mengusir orang-orang yang lemah daripadanya”. Kemudian aku mendatangi Rasulullah SAW, lalu aku mengemukakan hal tadi, maka Baginda bertanya kepada Abdullah bin Ubay, namun ia bersumpah bahawa ia tidak melakukannya. Lalu orang-orang mengatakan¸ “Zaid telah membohongi Rasulullah SAW”. Lalu Baginda mencelaku dengan keras atas apa yang orang-orang katakan sehingga Allah SWT menurunkan apa yang dapat membenarkanku ‏{‏إذا جاءك المنافقون‏} “apa bila datang orang-orang munafiq” [TMQ Al Munaafiquun]. Kemudian Nabi SAW. memanggil mereka untuk memintakan ampun bagi mereka, tapi mereka memalingkan wajah mereka. (Muttafaq alayh)

وعن عائشة رضي الله عنها قالت‏:‏ قالت هند امرأة أبي سفيان للنبي صلى الله عليه وسلم ‏:‏ إن أبا سفيان رجل شحيح وليس يعطيني ما يكفيني وولدي إلا ما أخذت منه، وهو لا يعلم‏؟‏ قال‏:‏ ‏”‏خذي ما يكفيك وولدك بالمعروف‏”‏ ‏(‌‏(‏متفق عليه‏)‌‏)‏

Dari Aisyah ra., ia berkata: Hindun isteri Abu Sufyan berkata kepada Nabi SAW., “Sesungguhnya Abu Sufyan adalah seorang laki-laki yang kedekut, ia tidak memberikan kepadaku apa yang mencukupi aku dan anakku kecuali apa yang aku ambil secara diam-diam tanpa sepengetahuannya”. Lalu Nabi SAW. berkata “Ambillah apa yang mencukupimu dan anak-anakmu dengan cara yang baik (bil ma’ruf)” (Muttafaq Alayh)

===

Sumber: Riyadush Sholihin Iman An Nawi

Exit mobile version